Wednesday, April 7, 2010

:: Kit Pembelajaran Di Mana-mana

Alhamdulillah, Malaysia kaya dengan kit pembelajaran bahasa Inggeris. Yang berbayar, yang percuma, semuanya ada. Dengan adanya kit-kit pembelajaran ini, tidak mustahil bagi kita untuk menguasai bahasa Inggeris dalam masa yang singkat.

Terdapat banyak stesen radio tempatan yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya. Stesen TV juga banyak menyiarkan program-program berbahasa Inggeris. Selain mendengar radio dan menonton TV, kita juga boleh berinteraksi dengan DJ radio dan pengacara program. Topik yang dibicarakan juga boleh merangkumi pelbagai topik, dari hiburan hinggalah ke politik. Kita boleh memilih topik yang bersesuaian dengan minat dan pengetahuan kita. Jika malu, gunakan sahaja nama samaran. Ini ternyata suatu kelebihan buat kita.

Ramai terlepas pandang dengan kit pembelajaran yang boleh didapati secara tidak langsung. Menggunakan Facebook dan Wordpress contohnya, boleh membantu penguasaan bahasa Inggeris kita, terutamanya dari segi pemahaman dan penulisan. Pemilihan bahasa memainkan peranan penting. Walaupun Facebook dan Wordpress sudah boleh diekses dalam bahasa Melayu, amat baik jika kita terus mengekalkannya dalam bahasa Inggeris. Kita akan berlatih mempraktikkan penggunaan bahasa Inggeris secara tidak langsung ketika menggunakan Facebook dan Wordpress.

Satu lagi contoh kit pembelajaran percuma ialah ketika membuat pesanan melalui telefon. Ketika menghubungi mana-mana restoran atau francais restoran untuk membuat pesanan, kita boleh menggunakan bahasa Inggeris. Jika tidak biasa atau bimbang melakukan kesilapan ketika berbicara, kita boleh menyediakan skrip. Sebagai contoh, tuliskan ayat "I would like to order ......" atau "Here's my address ...." di atas sekeping kertas. Berlatih menyebutnya beberapa kali sebelum menghubungi restoran berkenaan. Usah bimbang, mereka tidak tahu pun bahawa kita sebenarnya sedang membaca skrip. Jika kerap menggunakan ayat-ayat yang sama berulang kali, insya-Allah selepas ini kita tidak lagi memerlukan sebarang skrip. Bolehlah kita memberi fokus kepada ayat-ayat baru pula.

Selamat mencuba!

Syalina Ahmad