Monday, January 31, 2011

:: Simple English : Siri 5 - Pembelajaran Melalui Bahan Bacaan (Bhg 2)

Ini adalah pengisian siri kelima daripada 13 siri Simple English yang ke udara di MutiaraFM (Pulau Pinang) pada setiap hari Isnin bermula jam 3:10 petang.

SEGMEN 1 – GRAMMAR TIPS

Dalam tiga siri yang lepas, kita telah melihat penggunaan AM, ARE dan IS di dalam ayat.

Tambahan sedikit daripada apa yang telah kita bincangkan sebelum ini. Apabila kita hendak menjelaskan sesuatu perbuatan atau kata kerja, dan sebelum kata kerja tersebut terdapat perkataan AM, ARE dan IS, maka saudara perlu menambah '-ing' di hujungnya (kata kerja).

Sebagai contoh, 'makan' atau 'eat' dalam bahasa Inggeris. Saudara perlu menambah '-ing' di hujungnya menjadi 'eating'. Jadi kita akan berkata, "I am eating" (Saya sedang makan) atau "You are eating" (Awak sedang makan), atau "The cat is eating." (Kucing itu sedang makan).

Begitu juga dalam soalan, kita akan berkata, "Are you eating?" (Awak sedang makankah/Adakah awak sedang makan?), "Is the cat eating?" (Kucing itu sedang makankah?) dan sebagainya.

Beberapa contoh lain :

Cook = Cooking (She is cooking/Dia sedang memasak).

Watch = Watching (I am watching TV/Saya sedang menonton TV).

Talk = Talking (You are talking/Awak sedang bercakap).

Nota penting :

Pun begitu terdapat juga ejaan yang berubah apabila kita hendak menambah '-ing' di hujung. Sebagai contoh :

Write = Writing
Die = Dying
Live = Living
Swim = Swimming
Lie = Lying

* Ini boleh dipelajari dengan banyak membuat latihan grammar (melalui buku, Internet dan sebagainya), merujuk buku-buku dan Internet serta banyak membaca.

Apabila kita bercakap, perkara ini tidak akan membawa masalah. Pun begitu apabila kita menulis, ini adalah perkara yang perlu kita belajar dan kita jaga.

Baiklah. Mari kita praktikkan sedikit perbualan dalam bahasa Inggeris. Kita akan berbual menggunakan I AM. Saya hendak mengajak saudara pendengar supaya berkata begini setiap kali saudara melakukan/mengerjakan sesuatu. Sebagai contoh, pada masa ini saudara pastinya sedang mendengar radio. Jadi, saya mahu saudara berkata begini dengan kuat – "I am listening to the radio." Ini menunjukkan sesuatu perbuatan/kerja yang sedang berlangsung.

Selepas tamat siri kelima ini pada jam 3:25 petang, saya mahu saudara terus membina ayat menggunakan "I AM...", cuma kata kerjanya sahaja diubah. Sebagai contoh, katakan selepas ini saudara mahu pergi ke tandas, ketika berjalan menuju ke tandas itu, saudara perlu berkata dengan kuat (bukan di dalam hati) – "I am going to the toilet". Ketika sedang memasak pula, saudara berkata, "I am cooking", kemudian boleh ditambah lagi, "I am cooking fried rice" dan begitulah seterusnya setiap hari.

Ikuti contoh penggunaannya melalui perbualan seperti berikut :

SYALINA : Are you cooking chicken soup, Nurul?

NURUL : Oh, not today. I am cooking chicken curry.

SYALINA : Without mom's help? Bravo sis! But I'm going out now.

NURUL : You are eating out? Why didn't you tell me?

SYALINA : I guess I forgot to tell you. Sorry! Oh no, are you crying?

NURUL : Of course I am crying!

SYALINA : Don't worry, sis. I'll come home early, okay?

Sekian bagi segmen pertama.

LATIHAN

Pilih jawapan yang betul.

(a) What ____ (is/are) you ____ (trying/tring) to do?

(b) I ____ (are/am) ____ (singging/singing) a song.

(c) My hands ____ (is/are) ____ (shakking/shaking).

(d) She ____ (is/am) ____ (reading/redding) a novel.

(e) Why ___ (are/is) he ____ (writeing/writing) my name?

(f) I know Amirul ____ (is/are) ____ (lieing/lying).


SEGMEN 2 : TEKNIK BELAJAR BAHASA INGGERIS MELALUI BAHAN BACAAN (BAHAGIAN 2)

Saudara sedang mendengar segmen kedua rancangan Simple English di mana melalui segmen kedua ini, saya akan memberikan teknik-teknik bagaimana saudara boleh mempelajari bahasa Inggeris dengan mudah, murah dan berkesan.

Dalam siri yang lepas, saudara telah diberikan teknik pembelajaran melalui bahan bacaan bahagian pertama. Pada hari ini, kita akan sambung dengan bahagian kedua teknik berkenaan.

Selain daripada perkara-perkara yang saya sebutkan dalam siri lepas, saudara juga boleh mempraktikkan teknik ini dengan menterjemahkan bacaan.

Menterjemah teks atau bahan bacaan yang dibaca adalah satu latihan yang amat baik. Saudara boleh menterjemah secara lisan atau menulis di atas kertas. Semasa saudara menterjemah, lihatlah maksud keseluruhan ayat. Terjemahkanlah mengikut apa yang saudara faham menggunakan gaya bahasa saudara sendiri, iaitu bahasa yang saudara rasa selesa.

Saya berikan contoh. Saya mendapat perenggan berikut daripada Internet :

"Sammy is a naughty boy. He likes to disturb his neighbours and friends. He also likes to throw stones at animals. Poor animals!"

Baik. Selepas membaca, saya menterjemahkannya pula menggunakan loghat Utara seperti berikut:

"Sammy ni nakai. Dia ni suka sangat kacau orang, kacau jiran, kacau kawan-kawan. Lepas tu dia suka baling batu kat haiwan. Ish, kesian la kat haiwan-haiwan tu!"

Itu adalah salah satu cara/gaya yang boleh saudara gunakan untuk menterjemah. Ini akan melatih saudara menterjemah secara spontan.

Selain daripada menterjemah bacaan, satu lagi cara yang menyeronokkan dan mencabar ialah menghafal tongue twisters. Tongue-twisters adalah ayat-ayat yang mengandungi perkataan-perkataan yang sukar disebut dengan laju.

Sebagai contoh :

"Come kick six sticks quick."

Tongue twisters akan melatih lidah serta menjadikan saudara lebih cekap dan fasih menyebut perkataan-perkataan Inggeris. Maksudnya, jika saudara berjaya mengatasi tongue-twisters, saudara boleh mengatasi apa sahaja. InsyaAllah!

Tongue-twisters boleh didapati dengan mudah di Internet. Taipkan sahaja kata kunci 'tongue-twister' di enjin pencari (search engine) dan saudara akan mendapat banyak senarai laman web yang mengandungi tongue-twisters, daripada yang paling mudah sehinggalah yang paling susah.

Baiklah saudara, teruskan bersama kami pada minggu hadapan untuk mengikuti bahagian ketiga teknik pembelajaran bahasa Inggeris melalui bahan bacaan.

Perkongsian pada minggu ini juga boleh diakses di alamat blog http://www.englishbagus.blogspot.com.

Terima kasih kerana mengikuti Simple English di MutiaraFM. Sama-samalah kita praktikkan dan ingatlah bahawa – BAHASA INGGERIS UNTUK SEMUA!


Nota :
Untuk mendapatkan lebih banyak tip mengenai teknik belajar melalui bahan bacaan, dapatkan buku "English Bagus : Teknik-teknik Mempelajari Bahasa Inggeris Dengan Cara Mudah, Murah & Berkesan" (Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd).

Bagi pembelian daripada penulis, layari http://www.belibacabuku.blogspot.com atau e-mel ke sy_amd2001@yahoo.com.



Monday, January 24, 2011

:: Simple English : Siri 4 - Pembelajaran Melalui Bahan Bacaan (Bhg 1)

Ini adalah pengisian siri keempat daripada 13 siri Simple English yang ke udara di MutiaraFM (Pulau Pinang) pada setiap hari Isnin bermula jam 3:10 petang.

SEGMEN 1 – GRAMMAR TIPS

Melalui segmen Grammar Tips pada minggu lepas, kita telah melihat penggunaan "ARE" dalam ayat. Pada minggu ini, kita akan melihat penggunaan "IS" pula.

"IS" hanya digunakan bagi bilangan satu atau seorang sahaja. Pada minggu lepas, kita melihat bahawa "ARE" digunakan bagi bilangan ramai atau lebih daripada satu atau seorang. Tetapi pada hari ini, kita lihat pula bahawa "IS" adalah untuk satu atau seorang. Sebagai contoh, "She is my mother" dan "The cat is sleeping on the sofa."

Perlu diingatkan di sini bahawa, "IS" tidak boleh diguna pakai bagi "I" kerana seperti yang telah kita sebutkan dalam siri kedua yang lepas, "I", walaupun melambangkan 'seorang', hanya boleh menggunakan "AM" sahaja. Maksudnya jika kita mengatakan "I is a boy", maka ia adalah salah kerana yang betulnya ialah "I am a boy".

I is (Salah)
I am (Betul)
She/He/It is (Betul)

Sebagaimana "AM" dan "ARE" yang kita bincangkan dahulu, adakalanya "IS" ditulis atau disebut dahulu. Ini berlaku dalam pertanyaan. Sebagai contoh, jika tadi kita menyebut "She is my mother", apabila bertanya, kita mungkin akan menyebut, "Is she your mother?" dan sebagainya.

Ikuti contoh penggunaannya melalui perbualan seperti berikut :

SYALINA : Is that your sister?

DJ NURUL : Yes, she is my sister.

SYALINA : I wonder how old she is.

DJ NURUL : Oh, she is twelve years old.

SYALINA : Well, my brother is twelve too!

DJ NURUL : Really? What is his name?

SYALINA : His name is Syukri.

Jadi dalam dialog di atas, kita telah menggunakan beberapa contoh seperti "Is that your sister?", "She is twelve" dan "My brother is twelve" di mana kita merujuk kepada seorang individu sahaja. Oleh sebab itu, kita menggunakan "IS".

Sekian bagi segmen pertama.

LATIHAN

Isikan tempat kosong dengan jawapan yang betul.

(a) Anita ____ coming to my house.

(b) The black dog ____ barking. I ____ afraid of dogs.

(c) ____ he your father?

(d) The book ____ mine. You ____ not allowed to read it without permission.

(e) I ____ Wani, she ____ Thana dan you ____ Mei.


SEGMEN 2 : TEKNIK BELAJAR BAHASA INGGERIS MELALUI BAHAN BACAAN (BAHAGIAN 1)

Ini adalah segmen kedua rancangan Simple English di mana saudara akan diberikan teknik-teknik bagaimana saudara boleh mempelajari bahasa Inggeris dengan mudah, murah dan berkesan.

Pada hari ini, kita akan memulakan pelajaran baru iaitu teknik pembelajaran bahasa Inggeris melalui bahan bacaan.

Saudara, kita tidak boleh menafikan bahawa bukan semua orang minat membaca. Bagaimana pun, membaca adalah salah satu teknik paling berkesan dalam pembelajaran saudara. Untuk itu, marilah kita melihat bagaimana kita, terutamanya saudara yang tidak suka membaca boleh mempraktikkan teknik ini.

Salah satu kelebihan teknik membaca ialah kita dapat membentuk beberapa kemahiran sekaligus, iaitu membaca, menulis dan berbual.

3 langkah paling mudah dalam teknik ini ialah "Membaca – Menghafal – Menulis" [Baca – Hafal – Tulis], iaitu :

(a) Membaca dengan kuat menggunakan sebutan dan intonasi yang betul akan melatih lidah menyebut perkataan-perkataan Inggeris agar tidak kekok serta melatih perbualan.

(b) Menghafal akan melatih ejaan.

(c) Menulis semula apa yang dihafal akan melatih penulisan.

Bagi saudara yang tidak gemar membaca, berikut adalah beberapa cadangan yang boleh saudara praktikkan :

Pertama – Beli sekurang-kurangnya satu akhbar berbahasa Inggeris secara konsisten. Apa yang boleh saudara lakukan ialah tetapkan satu atau beberapa kolum yang saudara sukai. Sebagai contoh, ada akhbar yang menyiarkan kolum parenting (keibubapaan), kolum mengenai gadgets dan kenderaan pada setiap minggu. Jadi, saudara pilih kolum-kolum ini mengikut minat dan hobi saudara. Dan selain daripada kolum-kolum seperti ini, saudara boleh juga memilih artikel atau cerita yang bersambung-sambung kerana ini akan memberi motivasi dan semangat kepada saudara untuk terus membaca kerana saudara ingin mengetahui kesudahan cerita berkenaan. Dengan cara ini, saudara akan membaca dengan konsisten. Bacaan juga akan menjadi aktiviti yang menyeronokkan kerana saudara membaca artikel-artikel yang berkaitan dengan hobi/minat saudara.

Kedua – Saudara boleh pelbagaikan bahan bacaan. Tidak semestinya daripada buku atau majalah. Boleh juga dari Internet, lirik lagu dan sebagainya. Melalui Internet, lebih mudah saudara mencari artikel mengikut minat dan hobi saudara.

Ketiga – Pilih bahan bacaan yang melibatkan aktiviti tertentu. Sebagai contoh jika saudara minat memasak, gunakanlah buku memasak atau resepi yang ditulis dalam bahasa Inggeris. Atau jika saudara sedang belajar membina laman web atau blog, mungkin saudara boleh belajar cara-cara memasukkan video atau lagu ke laman blog saudara. Yang penting, pilih tutorial yang menggunakan bahasa Inggeris. Terdapat banyak tutorial di Internet. Cara ketiga ini akan membantu dan memberi motivasi kepada saudara untuk terus membaca kerana ingin melihat hasilnya. Yang penting, membaca dan memahaminya dengan betul. Jika tersalah baca atau tersalah faham, maka hasilnya juga salah. Dari sudut yang positif, ini akan membantu saudara berusaha untuk memahami apa yang saudara baca.

Nota tambahan : Bagi pengguna Facebook atau mana-mana aplikasi yang menyediakan terjemahan bahasa, adalah baik jika saudara tidak mengubah language setting kepada bahasa Melayu. Kekalkanlah bahasa Inggeris sebagai bahasa pilihan saudara. Saudara akan berlatih menggunakan bahasa Inggeris setiap kali saudara mengunjungi Facebook dan sebagainya.

Baiklah saudara, teruskan bersama kami pada minggu hadapan untuk mengikuti bahagian kedua teknik pembelajaran bahasa Inggeris melalui bahan bacaan.

Perkongsian pada minggu ini juga boleh diakses di alamat blog http://www.englishbagus.blogspot.com/.

Terima kasih kerana mengikuti Simple English di MutiaraFM. Sama-samalah kita praktikkan dan ingatlah bahawa – BAHASA INGGERIS UNTUK SEMUA!


Nota :
Untuk mendapatkan lebih banyak tip mengenai teknik belajar melalui bahan bacaan, dapatkan buku "English Bagus : Teknik-teknik Mempelajari Bahasa Inggeris Dengan Cara Mudah, Murah & Berkesan" (Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd).

Bagi pembelian daripada penulis, layari http://www.belibacabuku.blogspot.com/ atau e-mel ke sy_amd2001@yahoo.com.



Sunday, January 16, 2011

:: Simple English : Siri 3 - Pembelajaran Melalui Lagu (Bhg 2)

Ini adalah pengisian siri ketiga daripada 13 siri Simple English yang ke udara di MutiaraFM (Pulau Pinang) pada setiap hari Isnin bermula jam 3:10 petang. Ia juga boleh diikuti secara online di http://www.mutiarafm.blogspot.com/.

SEGMEN 1 : GRAMMAR TIPS

Melalui segmen Grammar Tips pada minggu lepas, kita telah melihat penggunaan "AM" di dalam ayat. Pada minggu ini, kita akan melihat pula bagaimana kita menggunakan "ARE".

"ARE" digunakan bagi bilangan ramai atau lebih daripada satu/seorang. Sebagai contoh, "They are eating" (They = Mereka) ataupun "Anim and Awin are sisters" (Merujuk kepada 2 orang).

Selain itu, "ARE" juga digunakan bagi "YOU" sahaja. Contohnya, "You are talking too fast", "You are my friend" dan "You are a boy and I am a girl."

Daripada contoh-contoh yang diberikan sebentar tadi, "ARE" muncul SELEPAS "YOU". Pun begitu, kadangkala "ARE" akan muncul SEBELUM perkataan "YOU". Ini berlaku apabila kita bertanya soalan. Sebagai contoh, "Are you going to his house?", "Are you happy?", "Are you sleeping, Brother John?" dan sebagainya.

Ikuti contoh penggunaannya melalui perbualan seperti berikut :

SYALINA : Hi! Hey, I know who you are.

DJ NURUL : You know who I am?

SYALINA : Yes. You are Nurul Husna and you are a DJ.

DJ NURUL : That's right! Are you Syalina?

SYALINA : Yes, I am. I am Syalina Ahmad.

DJ NURUL : What are you doing here?

SYALINA : I'm here to see a friend.

DJ NURUL : Oh, you are here to see your friend.

SYALINA : Yes. Are you going home now?

DJ NURUL : Yes, I am.

SYALINA : Well, okay then. Take care.

DJ NURUL : Thank you. You take care, too.

Sekian bagi segmen pertama.

LATIHAN

Isikan tempat kosong dengan jawapan yang betul.

(a) I ____ going to his house. ____ you?

(b) ____ am from Malaysia. Where are ____ from?

(c) You ____ sitting on my bag.

(d) ____ are my best friend.

(e) ____ you a good person? I know ____ am.


SEGMEN 2 : TEKNIK BELAJAR BAHASA INGGERIS MELALUI LAGU (BAHAGIAN 2)

Melalui segmen kedua ini, saya akan memberikan teknik-teknik bagaimana saudara boleh mempelajari bahasa Inggeris dengan cara mudah, murah dan berkesan.

Pada minggu lepas, saya telah memberikan 2 syarat penting bagi menggunakan teknik belajar melalui lagu. Pada hari ini, kita akan sambung dengan bahagian kedua di mana saya akan memberikan 3 lagi syarat penting kepada saudara yang akan menggunakan teknik ini.

Syarat Ketiga :

Ketika menyanyikan sesebuah lagu Inggeris, menyanyilah dengan kuat. Jangan menyanyi seperti berbisik atau menyanyi di dalam hati. Menyanyi dengan kuat akan melatih lidah sedikit demi sedikit agar saudara tidak kekok menyebut perkataan-perkataan Inggeris.

Syarat Keempat :

Hafal lirik lagu tersebut. Kemudian, tuliskan semula apa yang dihafal itu di atas kertas atau menaipnya di komputer. Semasa menulis kembali lirik ini, jangan merujuk teks asal. Setelah selesai, barulah membuat semakan dengan teks asal tersebut. Teknik ini akan melatih ejaan dan membiasakan penulisan dalam bahasa Inggeris.

Syarat Kelima :

Baca atau sebutkan lirik yang dihafal itu dalam nada biasa seperti sedang bercakap. Bermaksud pada kali ini, bukan menyanyi. Kekalkan cara sebutan yang sudah pun mahir disebut. Ini dapat melatih dan membina keyakinan dalam perbualan.

Baiklah saudara, teruskan bersama kami pada minggu hadapan untuk mengikuti teknik pembelajaran bahasa Inggeris melalui bahan bacaan pula.

Perkongsian pada minggu ini juga boleh diakses di alamat blog http://www.englishbagus.blogspot.com.

PENGUMUMAN :
Ikuti latihan praktikal pembelajaran bahasa Inggeris melalui lagu dalam Siri 7 nanti dengan menggunakan lagu yang paling mudah tetapi berkesan. Nantikan siri ketujuh Simple English hanya di MutiaraFM!

Terima kasih kerana mengikuti Simple English di MutiaraFM. Sama-samalah kita praktikkan dan ingatlah bahawa – BAHASA INGGERIS UNTUK SEMUA!


Nota :
Untuk mendapatkan lebih banyak tip mengenai teknik belajar melalui lagu, dapatkan buku "English Bagus : Teknik-teknik Mempelajari Bahasa Inggeris Dengan Cara Mudah, Murah & Berkesan".

Bagi pembelian daripada penulis, layari http://www.belibacabuku.blogspot.com atau e-mel ke sy_amd2001@yahoo.com.



Wednesday, January 12, 2011

:: Simple English : Siri Khas Untuk Pelajar Sekolah

Khas buat adik-adik dari sekolah rendah dan menengah!

MutiaraFM Pulau Pinang akan menyiarkan satu siri/episod khas Simple English khusus buat adik-adik. Melalui siri khas ini, adik-adik berpeluang memenangi hadiah saguhati sumbangan Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd (UPND) dan juga Kak Syalina Ahmad. Ini bermakna, hanya adik-adik sahaja yang layak memenangi hadiah pada hari tersebut!

Ooya, tetapi ada syaratnya ya ;)

Apa yang perlu adik-adik lakukan ialah menghubungi MutiaraFM ketika siri tersebut berlangsung dan laksanakan tugasan yang kami berikan. Apakah tugasannya? Kak Syalina dan DJ Nurul akan umumkan nanti dalam rancangan Simple English. Pengumuman akan dibuat di antara siri kelima hingga kesepuluh.

Ooops! Bagaimana jika adik-adik tidak dapat mendengar kerana berada di sekolah? Baiklah, ini ada beberapa cadangan :

(1) Mohon pertolongan ibu, bapa, mahu pun guru untuk mendengar Simple English bagi pihak adik-adik bagi mengetahui apakah tugasannya.

(2) Beritahu kepada guru bahasa Inggeris adik-adik di sekolah mengenai Simple English. Kemudian, beritahu kepadanya bahawa adik mahu menyahut cabaran Kak Syalina dan DJ Nurul. Mungkin juga adik-adik boleh mencadangkan kepada guru adik untuk sama-sama mendengar Simple English di sekolah :)

Nota: Maklumat tugasan akan diberikan seminggu sebelum siri khas tersebut ke udara. Jadi, sempatlah adik-adik membuat persiapan yang secukupnya!

Ooooya! Selain daripada hadiah sumbangan Utusan Publications dan Kak Syalina yang akan diberikan kepada adik-adik yang bertuah, sekolah adik-adik juga akan menerima kunjungan daripada Kak Syalina Ahmad. Kak Syalina akan mengadakan sesi bercerita dalam bahasa Inggeris di hadapan adik, guru-guru dan teman-teman sekolah yang lain. Ini bermakna, adik mendapat hadiah, sekolah adik juga mendapat hadiah!

Para ibu, bapa dan guru yang membaca pengumuman ini juga bolehlah memberitahu kepada anak-anak/murid/pelajar mengenai siri khas ini. Mari kita bersama-sama memberikan galakan kepada mereka untuk mencintai bahasa Inggeris!

Teruskan mendengar Simple English pada setiap hari Isnin jam 3:10 petang dan nantikan pengumuman daripada kami!



Tuesday, January 11, 2011

:: Simple English : Senarai Pemenang Segmen Bersama Pendengar

Selain memberikan tip-tip grammar dan teknik-teknik mempelajari bahasa Inggeris yang mudah, murah dan berkesan, Simple English turut memberikan hadiah kepada pendengar-pendengar bertuah yang berjaya menjalani tugasan yang diberikan. Hadiah-hadiah adalah sumbangan Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Segmen bersama pendengar ini akan berlangsung daripada Siri 2 hingga Siri 13. Terima kasih kerana menghubungi kami dan tahniah kami ucapkan!

Nota:

(a) Hadiah akan dihantar selepas tamat siri ke-13 dalam bulan April 2011.

(b) Bagi menggalakkan lebih ramai pendengar mencuba tugasan yang diberi, setiap pemanggil hanya layak memenangi hadiah satu kali sahaja di sepanjang Simple English berlangsung.

Senarai pemenang:

Siri 2 pada 10.01.11
(a) Rosna binti Karim, Tanjong Tokong, Pulau Pinang.
(b) Sabariah binti Ariffin, Butterworth, Pulau Pinang.
(Hadiah sudah dihantar dan diterima oleh kedua-dua pemenang siri kedua)

Siri 3 pada 17.01.11
(a) Norfazilawati Binti Mohamed Nor, Ayer Itam, Pulau Pinang.

Siri 4 pada 24.01.11
(a) Sharifah Noor Binti Syed Othman, Ayer Itam, Pulau Pinang.
(b) Zaharah Binti Ismail, Telok Air Tawar, Butterworth, Pulau Pinang.

Siri 5 pada 31.01.11
(a) Rafizah Binti Mohamed Ibrahim, Sg Pinang, Pulau Pinang.

Siri 6 pada 7.02.11
(a) Saiful Azli Bin Redzuan, Georgetown, Pulau Pinang.
(b) Beh Sai Kim, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Siri 7 pada 14.02.11
(a) Wan Intan Sapinaz Binti Wan Ahmad, Ayer Itam, Pulau Pinang.
(b) Yasrah Binti Ismail, Kepala Batas, Pulau Pinang.

Siri 8 pada 28.02.11
(a) Moharam Beevi Binti Ibrahim, Relau, Pulau Pinang.
(b) Zirriah Binti Ismail, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Siri 9 pada 7.03.11
(a) Puan Maria
(b) Encik Hamzah

Siri 10 pada 14.03.11
(a) Adik Arifah

Siri 11 pada 21.03.11
(a) Fauziah Binti Mohd Din
(b) Abdul Hafiz Bin Mahaboob Ali, Bayan Lepas, Pulau Pinang.
(Kuiz siri ke-11 dibuat secara online melalui blog English Bagus)

Siri 12 pada 28.03.11
- Tiada -
(Siaran rakaman "Simple English Storytelling Competition")

Siri 13 pada 4.04.11
- Akan diisi -


NOTA PENTING : Mohon pemenang Siri 9 (Puan Maria & Encik Hamzah), Siri 10 (Adik Arifah) dan Siri 11 (Puan Fauziah Mohd Din) menghantar maklumat diri seperti nama penuh, alamat lengkap dan nombor telefon ke alamat e-mel sy_amd2001@yahoo.com seberapa segera.



Sunday, January 9, 2011

:: Simple English : Siri 2 - Pembelajaran Melalui Lagu (Bhg 1)

Ini adalah pengisian siri kedua daripada 13 siri Simple English yang ke udara di MutiaraFM (Pulau Pinang) pada setiap hari Isnin bermula jam 3:10 petang. Ia juga boleh diikuti secara online di http://www.mutiarafm.blogspot.com.

SEGMEN 1 : GRAMMAR TIPS

Baiklah. Sebelum kita memulakan segmen pertama ini, adalah baik jika saya memberitahu bahawa walaupun GRAMMAR itu penting, usah sampai ia merungsingkan kita.

Ramai daripada kita takut untuk mempelajari bahasa Inggeris kerana kita menganggap bahawa grammar itu susah. Ini mungkin kerana apabila kita diajar mengenai grammar, apa yang diajar ialah "What are nouns?" (Apa itu nouns?), "What are tenses?" (Present Tense, Past Tense dan sebagainya) dan seterusnya, sehinggakan kita berasa amat susah dan membebankan untuk belajar bahasa Inggeris kerana kita fikir ia adalah syarat wajib dan perlu menghafalnya terlebih dahulu.

Pada hari ini, saya ingin mengajak para pendengar beragama Islam menggambarkan begini. Tajwid itu penting, ia perlu dipelajari agar kita boleh membaca al-Quran dengan baik dan betul. Pun begitu, ramai daripada kita boleh membaca al-Quran dengan begitu baik sekali tanpa mengetahui atau menghafal nama-nama hukum tajwid. Jika kita belajar mengaji al-Quran juga, ustaz dan ustazah akan membetulkan bacaan kita mengikut cara bacaan yang betul tanpa memberitahu kita nama-nama hukum tajwid, kecualilah kelas yang kita hadiri itu kelas belajar tajwid.

Sama jugalah dengan GRAMMAR. Apa yang penting ialah kita bercakap dan menulis dengan betul. Belajar bahasa Inggeris sepatutnya menyeronokkan, bukan membebankan. Bagi pendidik, mungkin ia penting kerana mereka perlu mendidik orang lain. Tetapi bagi kita, apa yang penting ialah bercakap dan menulis dengan betul. Jika kita boleh membina ayat dengan betul dan tahu menggunakan perkataan-perkataan di tempat yang betul, maka itu sudah memadai.

Baik. Kita akan mulakan segmen pertama iaitu GRAMMAR TIPS. Pada hari ini, kita akan melihat penggunaan "AM" di dalam ayat.

"Am" hanya digunakan bagi kata ganti nama "I" sahaja. Contohnya, "I am eating", "I am going to school" dan "I am a girl."

Mari ikuti contoh penggunaannya dalam perbualan telefon berikut :

SYALINA : Hello, Nurul. What are you doing?

DJ NURUL : I am reading a book.

SYALINA : Wow, really? What book are you reading?

DJ NURUL : I am reading a novel.

"I AM" juga boleh dipendekkan menjadi "I'm". Contohnya, "I'm eating", "I'm going to school" dan "I'm a girl."

Semasa memperkenalkan diri juga, kita boleh memperkenalkan diri dengan mudah seperti berikut:

I am Syalina.
I am 35 years old.
I am from Penang.
I am married.
I am here to share some useful English learning tips with you.

Baiklah. Daripada contoh-contoh yang diberikan sebentar tadi, kita dapat melihat bahawa "AM" muncul SELEPAS "I". Pun begitu, kadangkala "AM" akan muncul SEBELUM "I". Ini berlaku apabila kita bertanya soalan. Sebagai contoh, "Am I too thin?", "Am I doing it right?" dan sebagainya.

Sekian bagi segmen pertama.

LATIHAN

Isikan tempat kosong dan terjemahkan perkataan yang dihitamkan ke dalam bahasa Melayu (boleh rujuk kamus jika perlu).

(a) I ____ going to the market.

(b) I ____ too sleepy now.

(c) ____ I a bad boy?

(d) I ____ brave. I ____ not afraid.

(e) ____ I too weak?


SEGMEN 2 : TEKNIK BELAJAR BAHASA INGGERIS MELALUI LAGU (BAHAGIAN 1)

Melalui segmen kedua ini, saya akan memberikan teknik-teknik bagaimana saudara boleh mempelajari bahasa Inggeris dengan cara mudah, murah dan berkesan.

Seperti yang saya janjikan pada minggu lepas, dalam segmen ini saya akan memberikan tip dan teknik bagaimana saudara boleh belajar bahasa Inggeris melalui lagu.

Dalam banyak-banyak teknik, teknik belajar melalui lagu adalah teknik paling mudah dan menyeronokkan. Ini adalah kerana, kita tidak boleh menafikan bahawa semua orang suka mendengar lagu. Yang membezakan kita adalah jenis lagu yang kita dengar.

Kita beruntung pada hari ini, terdapat banyak stesen radio berbahasa Inggeris. MutiaraFM sendiri banyak memutarkan lagu-lagu bahasa Inggeris. Di Internet juga begitu banyak lagu dan lirik. Ini memudahkan kita mendapatkan bahan. Bagaimanapun, ada syarat bagi teknik pembelajaran melalui lagu.

Seperti yang kita sedia maklum, ramai daripada kita mendengar lagu Inggeris bertahun-tahun lamanya, hampir setiap hari. Malah, ada yang hanya mahu mendengar lagu-lagu bahasa Inggeris sahaja, tidak mahu mendengar lagu-lagu Melayu. Tetapi ramai daripada kita masih tidak dapat memperbaiki bahasa Inggeris di sepanjang proses tersebut.

Jadi apakah syarat-syaratnya? Kita lihat dahulu syarat pertama dan kedua pada minggu ini.

Syarat Pertama :

Saudara perlu memilih lagu yang sesuai. Sudah pasti lagu-lagu yang saya maksudkan ialah lagu-lagu berbahasa Inggeris. Pilih lagu yang nyanyiannya jelas agar mudah untuk saudara ikut atau meniru cara nyanyian penyanyi asalnya. Dengan mengikut atau meniru cara nyanyian penyanyi asal, saudara bukan sahaja dapat melatih lidah bagi menyebut perkataan-perkataan Inggeris, tetapi juga jika kerap berlatih, saudara akan mampu menyebut setiap perkataan dalam pelat Amerika. Sebagai contoh, jika penyanyi tersebut menyebut 'GRASS' dan 'WORLD' menggunakan pelat Amerika, saudara juga perlu belajar menyebutnya dalam pelat Amerika seperti penyanyi berkenaan.

Syarat Kedua :

Pilih lagu-lagu Inggeris yang benar-benar diminati sahaja. Tujuannya adalah supaya saudara mahu mendengar lagu tersebut berulang-ulang kali. Apabila saudara mendengar sesebuah lagu itu berulang-ulang kali, bermaksud, saudara akan turut menyanyikannya berulang kali juga. Ini adalah suatu bentuk latihan. Lebih kerap saudara menyanyi, lebih kerap saudara berlatih. Lebih kerap saudara berlatih, lebih cepat saudara mahir. Jadi, pilih lagu yang saudara sukai sahaja.

Baiklah saudara, teruskan bersama kami pada minggu hadapan untuk mengikuti bahagian kedua teknik pembelajaran bahasa Inggeris melalui lagu.

Perkongsian pada minggu ini juga boleh diakses di alamat blog http://www.englishbagus.blogspot.com.

Terima kasih kerana mengikuti Simple English di MutiaraFM. Sama-samalah kita praktikkan dan ingatlah bahawa – BAHASA INGGERIS UNTUK SEMUA!


Nota :
Untuk mendapatkan lebih banyak tip mengenai teknik belajar melalui lagu, dapatkan buku "English Bagus : Teknik-teknik Mempelajari Bahasa Inggeris Dengan Cara Mudah, Murah & Berkesan".

Bagi pembelian daripada penulis, layari http://www.belibacabuku.blogspot.com atau e-mel ke sy_amd2001@yahoo.com.


TEKNIK BELAJAR MELALUI LAGU - MARI PRAKTIKKAN!

Klik http://englishbagus.blogspot.com/2010/10/belajar-melalui-lagu-mari-praktikkan.html untuk mempraktikkan teknik belajar melalui lagu. Jika sukar, mulakan dengan rangkap pertama dahulu sehingga mahir.



Sunday, January 2, 2011

:: Simple English : Siri 1 (Pengenalan)

SIMPLE ENGLISH adalah sebuah rancangan baru di MutiaraFM yang akan ke udara pada setiap hari Isnin bermula jam 3:10 petang hingga jam 3:25 petang.

Memandangkan setiap siri Simple English hanya berlangsung selama 15 minit sahaja, sudah pasti banyak perkara tidak dapat diulas sewaktu rancangan ke udara. Oleh itu, saudara pendengar digalakkan melayari blog English Bagus di http://www.englishbagus.blogspot.com untuk kupasan dan perbincangan lanjut. Sebarang pertanyaan juga boleh diajukan di blog ini.

SIRI SATU adalah merupakan siri pengenalan daripada 13 siri di mana melalui 13 siri ini, saya, Syalina Ahmad akan memberikan teknik-teknik dan tip-tip bagaimana pendengar boleh mempelajari bahasa Inggeris dengan cara mudah, murah dan yang paling penting, berkesan.

Dalam siri pengenalan ini, kita akan melihat dahulu apakah faktor-faktor yang membolehkan seseorang itu fasih berbahasa Inggeris berbanding orang lain.

Apabila bertemu dengan orang-orang yang fasih berbahasa Inggeris, ada kemungkinan besar seseorang individu itu akan berasa rendah diri, tidak yakin dan malu. Ini adalah masalah paling besar yang sering dihadapi oleh masyarakat, khususnya masyarakat Melayu.

Jadi, bagaimanakah saudara boleh mengatasi masalah ini? Baiklah. Perkara pertama yang perlu saudara beritahu kepada diri saudara ialah – Mereka yang fasih berbahasa Inggeris juga bermula dari peringkat TIDAK TAHU. Tiada manusia di dunia ini yang boleh berbahasa Inggeris sebaik mereka lahir. Sudah pasti mereka telah melalui fasa-fasa penting yang menyebabkan mereka fasih berbahasa Inggeris.

Pada hari ini, kita akan melihat apakah faktor-faktor yang menyebabkan mereka ini fasih. Terdapat banyak faktor sebenarnya, tetapi saya telah pecahkan kepada 4 faktor utama. Di sini, saya bahagikan mereka kepada 4 golongan :

Golongan Pertama : Mereka lahir dalam keluarga berbahasa Inggeris. Ini termasuklah orang-orang yang kita gelar sebagai 'orang putih' atau 'Mat Salleh' yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda mereka.

Golongan Kedua : Mereka bukan 'orang putih' atau 'mat salleh' tetapi mereka dilatih untuk berbahasa Inggeris sejak dari kecil. Ini termasuklah mana-mana golongan atau bangsa seperti Cina, India, Melayu dan sebagainya. Sebagai contoh, mereka dilatih di rumah dan di sekolah.

Golongan Ketiga : Mereka tidak dilatih oleh ibu bapa dan pendidik tetapi terpaksa belajar bahasa Inggeris kerana di kelilingi oleh masyarakat yang menggunakan bahasa Inggeris. Sebagai contoh, katakan saudara tinggal di Malaysia, langsung tidak boleh berbahasa Inggeris. Pada suatu hari, ayah saudara memberitahu bahawa beliau mahu membawa saudara sekeluarga berhijrah ke Amerika Syarikat. Jadi, sama ada saudara mahu atau tidak, saudara perlu mempelajari bahasa Inggeris kerana orang-orang Amerika semestinya tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Jadi keadaan terdesak ini telah membolehkan saudara berbahasa Inggeris dengan baik.

Golongan Keempat : Mereka tidak mempunyai sebarang kelebihan sebagaimana golongan pertama, kedua dan ketiga. Tetapi mereka boleh berbahasa Inggeris dengan fasih kerana mereka MINAT. Mereka berusaha dan bersabar. Saya yakin ramai daripada kalangan pendengar yang mendengar pada hari ini berada dalam golongan ini, termasuklah diri saya sendiri. MINAT.

Jadi, jika saudara berada dalam golongan keempat ini, maka saudara sudah pun berada di atas landasan yang betul. Minatnya sudah ada, sekarang saudara cuma perlu berusaha dengan sabar.

Sebenarnya, proses mempelajari bahasa Inggeris tidak sukar kerana kelebihan-kelebihan yang ada. Apakah kelebihan-kelebihannya? Tiga kelebihan utama yang paling ketara ialah :

KELEBIHAN PERTAMA, bahasa Inggeris menggunakan huruf rumi seperti bahasa Melayu. Maksudnya, kita sudah pun kenal huruf A, B, C hingga Z. Bandingkan bahasa Inggeris dengan bahasa Jepun, bahasa Korea, bahasa Tamil dan Mandarin yang tidak menggunakan huruf rumi. Kita ambil contoh bahasa Jepun. Bagi mempelajari bahasa Jepun kita perlu belajar dahulu huruf dan tulisannya. Kita perlu belajar Hiragana, Katakana dan Kanji terlebih dahulu. Jadi bagi bahasa Inggeris, saudara sudah ada jalan pintasnya.

KELEBIHAN KEDUA, kita sebenarnya pernah mempelajari bahasa asing selain daripada bahasa Melayu. Bagi pendengar beragama Islam, masih ingatkah bagaimana saudara mula belajar Alif, Ba, Ta sehingga saudara boleh mengaji Al-Quran? Ataupun di zaman sekarang pelajar-pelajar menggunakan kaedah Iqra’? Huruf-huruf tersebut begitu asing pada mulanya tetapi kita semua berjaya mempelajarinya sehingga lancar membaca Al-Quran. Bagi pendengar-pendengar yang bukan beragama Islam yang sedang mendengar, ingatkan semula ketika saudara mula belajar bahasa ibunda. Begitu juga bangsa Melayu sendiri, ingatkan kembali ketika saudara mula belajar huruf rumi. Kita semua berjaya melakukannya. Jadi mengapa tidak dengan bahasa Inggeris?

KELEBIHAN KETIGA, kita di Malaysia beruntung kerana di kelilingi oleh masyarakat berbilang kaum yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Mungkin bukan masyarakat setempat saudara, mungkin bukan jiran-jiran, tetapi apabila saudara berurusan di tempat lain, contohnya di restoran, kedai buku dan sebagainya, cukup jelas bahawa kit pembelajaran ada di mana-mana. Ini bermakna, sumber-sumbernya sudah sedia ada, terpulang kepada kita bagaimana hendak menggunakan sumber-sumber itu sebaiknya.

Saudara, bahasa Inggeris bukan bahasa elit, bukan bahasa orang kaya-kaya. Kita boleh bercakap dalam bahasa Inggeris di kampung-kampung, di kedai kopi, di mana-mana sahaja yang kita mahu.

Ramai daripada kita yang berpandangan negatif terhadap mereka yang menggunakan bahasa Inggeris. Saya pernah melaluinya dan saya yakin ramai daripada saudara pendengar pernah menghadapinya. Sebagai contoh apabila kita bercakap bahasa Inggeris, orang di sekeliling akan menyindir atau mengatakan kita hendak menunjuk, berlagak dan sebagainya.

Mereka tidak mempersoalkannya apabila mereka mendengar orang lain bercakap bahasa Perancis, bahasa Jepun, bahasa German dan sebagainya. Malah, mereka kagum. Tetapi mengapa apabila bahasa Inggeris digunakan, mula timbul prasangka buruk sedangkan bahasa Inggeris adalah bahasa kedua terpenting di Malaysia selepas bahasa Melayu?

Ingatlah, setiap kali saudara berasa tidak yakin atau malu apabila bertemu golongan yang fasih, beritahu diri saudara, mereka juga bermula dari peringkat tidak tahu. Mereka tahu kerana mereka belajar. Jika saudara belajar, saudara juga boleh menjadi seperti mereka.

Sekian untuk siri pengenalan ini. Ikuti siri kedua pada hari dan waktu yang sama minggu hadapan di mana kita akan mengikuti teknik pembelajaran bahasa Inggeris melalui lagu.

Mulai siri kedua minggu hadapan, saudara berpeluang memenangi hadiah yang merupakan buku tajaan Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Tetapi saudara perlu menjalani tugasan yang akan saya berikan di penghujung rancangan. Jadi pastikan saudara bersama Simple English pada hari dan waktu yang sama pada minggu hadapan.

Terima kasih kerana mengikuti Simple English di MutiaraFM. Sama-samalah kita praktikkan dan ingatlah bahawa – BAHASA INGGERIS UNTUK SEMUA!

Nota :
Untuk mendapatkan lebih banyak tip dalam bab pengenalan, dapatkan buku "English Bagus : Teknik-teknik Mempelajari Bahasa Inggeris Dengan Cara Mudah, Murah & Berkesan".

Bagi pembelian daripada penulis, layari http://www.belibacabuku.blogspot.com/ atau e-mel ke sy_amd2001@yahoo.com.