Monday, January 24, 2011

:: Simple English : Siri 4 - Pembelajaran Melalui Bahan Bacaan (Bhg 1)

Ini adalah pengisian siri keempat daripada 13 siri Simple English yang ke udara di MutiaraFM (Pulau Pinang) pada setiap hari Isnin bermula jam 3:10 petang.

SEGMEN 1 – GRAMMAR TIPS

Melalui segmen Grammar Tips pada minggu lepas, kita telah melihat penggunaan "ARE" dalam ayat. Pada minggu ini, kita akan melihat penggunaan "IS" pula.

"IS" hanya digunakan bagi bilangan satu atau seorang sahaja. Pada minggu lepas, kita melihat bahawa "ARE" digunakan bagi bilangan ramai atau lebih daripada satu atau seorang. Tetapi pada hari ini, kita lihat pula bahawa "IS" adalah untuk satu atau seorang. Sebagai contoh, "She is my mother" dan "The cat is sleeping on the sofa."

Perlu diingatkan di sini bahawa, "IS" tidak boleh diguna pakai bagi "I" kerana seperti yang telah kita sebutkan dalam siri kedua yang lepas, "I", walaupun melambangkan 'seorang', hanya boleh menggunakan "AM" sahaja. Maksudnya jika kita mengatakan "I is a boy", maka ia adalah salah kerana yang betulnya ialah "I am a boy".

I is (Salah)
I am (Betul)
She/He/It is (Betul)

Sebagaimana "AM" dan "ARE" yang kita bincangkan dahulu, adakalanya "IS" ditulis atau disebut dahulu. Ini berlaku dalam pertanyaan. Sebagai contoh, jika tadi kita menyebut "She is my mother", apabila bertanya, kita mungkin akan menyebut, "Is she your mother?" dan sebagainya.

Ikuti contoh penggunaannya melalui perbualan seperti berikut :

SYALINA : Is that your sister?

DJ NURUL : Yes, she is my sister.

SYALINA : I wonder how old she is.

DJ NURUL : Oh, she is twelve years old.

SYALINA : Well, my brother is twelve too!

DJ NURUL : Really? What is his name?

SYALINA : His name is Syukri.

Jadi dalam dialog di atas, kita telah menggunakan beberapa contoh seperti "Is that your sister?", "She is twelve" dan "My brother is twelve" di mana kita merujuk kepada seorang individu sahaja. Oleh sebab itu, kita menggunakan "IS".

Sekian bagi segmen pertama.

LATIHAN

Isikan tempat kosong dengan jawapan yang betul.

(a) Anita ____ coming to my house.

(b) The black dog ____ barking. I ____ afraid of dogs.

(c) ____ he your father?

(d) The book ____ mine. You ____ not allowed to read it without permission.

(e) I ____ Wani, she ____ Thana dan you ____ Mei.


SEGMEN 2 : TEKNIK BELAJAR BAHASA INGGERIS MELALUI BAHAN BACAAN (BAHAGIAN 1)

Ini adalah segmen kedua rancangan Simple English di mana saudara akan diberikan teknik-teknik bagaimana saudara boleh mempelajari bahasa Inggeris dengan mudah, murah dan berkesan.

Pada hari ini, kita akan memulakan pelajaran baru iaitu teknik pembelajaran bahasa Inggeris melalui bahan bacaan.

Saudara, kita tidak boleh menafikan bahawa bukan semua orang minat membaca. Bagaimana pun, membaca adalah salah satu teknik paling berkesan dalam pembelajaran saudara. Untuk itu, marilah kita melihat bagaimana kita, terutamanya saudara yang tidak suka membaca boleh mempraktikkan teknik ini.

Salah satu kelebihan teknik membaca ialah kita dapat membentuk beberapa kemahiran sekaligus, iaitu membaca, menulis dan berbual.

3 langkah paling mudah dalam teknik ini ialah "Membaca – Menghafal – Menulis" [Baca – Hafal – Tulis], iaitu :

(a) Membaca dengan kuat menggunakan sebutan dan intonasi yang betul akan melatih lidah menyebut perkataan-perkataan Inggeris agar tidak kekok serta melatih perbualan.

(b) Menghafal akan melatih ejaan.

(c) Menulis semula apa yang dihafal akan melatih penulisan.

Bagi saudara yang tidak gemar membaca, berikut adalah beberapa cadangan yang boleh saudara praktikkan :

Pertama – Beli sekurang-kurangnya satu akhbar berbahasa Inggeris secara konsisten. Apa yang boleh saudara lakukan ialah tetapkan satu atau beberapa kolum yang saudara sukai. Sebagai contoh, ada akhbar yang menyiarkan kolum parenting (keibubapaan), kolum mengenai gadgets dan kenderaan pada setiap minggu. Jadi, saudara pilih kolum-kolum ini mengikut minat dan hobi saudara. Dan selain daripada kolum-kolum seperti ini, saudara boleh juga memilih artikel atau cerita yang bersambung-sambung kerana ini akan memberi motivasi dan semangat kepada saudara untuk terus membaca kerana saudara ingin mengetahui kesudahan cerita berkenaan. Dengan cara ini, saudara akan membaca dengan konsisten. Bacaan juga akan menjadi aktiviti yang menyeronokkan kerana saudara membaca artikel-artikel yang berkaitan dengan hobi/minat saudara.

Kedua – Saudara boleh pelbagaikan bahan bacaan. Tidak semestinya daripada buku atau majalah. Boleh juga dari Internet, lirik lagu dan sebagainya. Melalui Internet, lebih mudah saudara mencari artikel mengikut minat dan hobi saudara.

Ketiga – Pilih bahan bacaan yang melibatkan aktiviti tertentu. Sebagai contoh jika saudara minat memasak, gunakanlah buku memasak atau resepi yang ditulis dalam bahasa Inggeris. Atau jika saudara sedang belajar membina laman web atau blog, mungkin saudara boleh belajar cara-cara memasukkan video atau lagu ke laman blog saudara. Yang penting, pilih tutorial yang menggunakan bahasa Inggeris. Terdapat banyak tutorial di Internet. Cara ketiga ini akan membantu dan memberi motivasi kepada saudara untuk terus membaca kerana ingin melihat hasilnya. Yang penting, membaca dan memahaminya dengan betul. Jika tersalah baca atau tersalah faham, maka hasilnya juga salah. Dari sudut yang positif, ini akan membantu saudara berusaha untuk memahami apa yang saudara baca.

Nota tambahan : Bagi pengguna Facebook atau mana-mana aplikasi yang menyediakan terjemahan bahasa, adalah baik jika saudara tidak mengubah language setting kepada bahasa Melayu. Kekalkanlah bahasa Inggeris sebagai bahasa pilihan saudara. Saudara akan berlatih menggunakan bahasa Inggeris setiap kali saudara mengunjungi Facebook dan sebagainya.

Baiklah saudara, teruskan bersama kami pada minggu hadapan untuk mengikuti bahagian kedua teknik pembelajaran bahasa Inggeris melalui bahan bacaan.

Perkongsian pada minggu ini juga boleh diakses di alamat blog http://www.englishbagus.blogspot.com/.

Terima kasih kerana mengikuti Simple English di MutiaraFM. Sama-samalah kita praktikkan dan ingatlah bahawa – BAHASA INGGERIS UNTUK SEMUA!


Nota :
Untuk mendapatkan lebih banyak tip mengenai teknik belajar melalui bahan bacaan, dapatkan buku "English Bagus : Teknik-teknik Mempelajari Bahasa Inggeris Dengan Cara Mudah, Murah & Berkesan" (Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd).

Bagi pembelian daripada penulis, layari http://www.belibacabuku.blogspot.com/ atau e-mel ke sy_amd2001@yahoo.com.



No comments: