Wednesday, September 9, 2009

:: TIP - Bahasa Inggeris Untuk Anak-anak

Mengajar anak-anak untuk berbahasa Inggeris amat mencabar. Kadang-kadang kita mahu anak-anak pandai berbahasa Inggeris sehingga memaksa mereka menyukainya. Mungkin kita lupa kata pepatah, "tak kenal maka tak cinta".

Untuk menyukai dan mencintai Bahasa Inggeris, anak-anak perlu mengenalinya dahulu. Apatah lagi jika ia adalah bahasa asing yang tidak pernah ibu bapa gunakan di rumah.

Proses mengenali Bahasa Inggeris pula boleh dibuat secara berperingkat-peringkat, mungkin tanpa sedar. Jika ibu bapa kerap menyuruh anak-anak berbahasa Inggeris, anak-anak mungkin akan menganggap ia suatu beban. Jika terus dipaksa, keseronokan untuk mempelajarinya akan hilang. Malah tidak mustahil, anak-anak akan mula membenci Bahasa Inggeris pula.

Di antara usaha yang boleh dibuat ialah :

(a) Menggalakkan anak-anak menonton kartun dan animasi berbahasa Inggeris. Kurangkan menonton kartun-kartun yang dialihbahasa.

(b) Hadiahkan buku, VCD atau CD berbahasa Inggeris ketika sambutan hari lahir. Lebih elok jika ianya berasaskan pendidikan. Sebagai contoh, hadiahkan Dora the Explorer, Go Diego Go, Barney & Friends, Sesame Street dan sebagainya, bukan Ultraman, Power Rangers atau Crayon Shin-Chan.

(c) Menonton VCD atau mendengar lagu-lagu Inggeris bersama anak-anak. Dengan menonton bersama mereka, kita boleh menggalakkan mereka mengikuti apa yang ditonton. Sebagai contoh, jika watak kartun menyebut "It's a tiger!", kita boleh terus mengajak anak-anak menyebutnya bersama-sama. Jika menonton bersendirian, selalunya anak-anak akan sekadar menonton.

(d) Ajar perkataan demi perkataan, mulakan dengan yang paling mudah ketika melakukan sesuatu aktiviti. Amat elok bagi aktiviti-aktiviti yang berulang seperti ketika makan, sebelum tidur atau ketika mandi. Ini bermakna, perkataan-perkataan yang diajar itu akan diulang penggunaannya setiap hari. Sebagai contoh, "adik nak eat?" atau "jom brush teeth".

(e) Utamakan lagu kanak-kanak atau nursery rhymes yang memerlukan mereka menggayakan sesuatu aksi, sebagai contoh "if you're happy and you know it clap your hands" di mana mereka akan belajar bahawa 'clap hands' itu ialah 'tepuk tangan'.

Amat mencabar. Pun begitu apa jua cabarannya, perkara pokok paling penting ialah - SABAR.

Syalina Ahmad