Thursday, July 27, 2017

LAGU : Latihan 5 Dalam 1

Saya sering menekankan bahawa LAGU adalah salah satu kit pembelajaran Bahasa Inggeris yang paling efektif. Bukan sahaja efektif, malah menyeronokkan dan tidak membosankan pelajar.

Setiap bengkel saya akan dimulakan dengan action songs. Saya akan melompat bersama pelajar. Jika saya perlu menjadi 'monkey', maka saya akan menjadi 'monkey' - WAJIB.

Penggunaan sesebuah lagu dalam pembelajaran akan merangkumi 5 perkara iaitu mendengar, menulis, menterjemah, memahami & menyebut - 5 DALAM 1. Saya beri contoh seperti di bawah.



Maaf gambar kurang jelas kerana saya menggunakan telefon murah :) Boleh klik untuk besarkan gambar.

Ini ialah sebahagian daripada lirik lagu "Minecraftable" oleh Abtmelody yang sangat diminati oleh anak saya (Tahun 6). Saya pun minat sebab lagu ini sangat catchy ;) Owh sebelum itu, dimaklumkan bahawa Minecraft ialah sejenis video game (klik sini untuk info). Lagu "Minecraftable" ini juga ialah parodi kepada lagu "Animals" oleh Maroon 5.

Boleh dikatakan setiap hari kami mendengar lagu "Minecraftable". Pada awalnya, anak saya akan ikut menyanyi dan akan 'hentam' menyanyikan bahagian lirik yang kurang jelas atau terlalu laju bagi lidah Melayu. Namun kemudian, saya 'menawarkan' lirik lengkap kepadanya. Apa yang saya buat ialah:

LANGKAH 1:

Saya bacakan lirik dan dia menyalin tanpa melihat lirik berkenaan (zaman sekarang - Google sahaja liriknya). Jika dia ada membuat kesilapan semasa menyalin, diam dan biarkan. Jangan ganggu mood dia. Ini ialah latihan mendengar (fokus) dan menulis (ejaan).

LANGKAH 2:

Sebaik selesai, ambil dan semak. Bulatkan mana-mana kesilapan. Dalam gambar yang disertakan, saya membulatkan perkataan ’effertlesly’ dan ’wonder’. DAN jikalau anda perasan, saya turut membulatkan dua perkataan dengan pen berdakwat merah iaitu hardcore dan badass, atau bad ass.

Selepas membulatkan semua perkataan yang berkenaan, kami membetulkan setiap satunya. ‘Effertlesly' diubah kepada ‘effortlessly' dan 'wonder' kepada 'wander'. Ketika membetulkan perkataan 'wonder', saya turut menjelaskan bahawa ejaan 'wonder' adalah betul tetapi dalam lirik "Minecraftable", konteks sebenarnya ialah 'berjalan' (lebih kurang), bukan 'berfikir' dan sebagainya. Maka, perkataan yang betul ialah 'wander'.

Bagaimana pula dengan perkataan dalam bulatan merah?

Baiklah. Ini ialah bahagian paling penting yang mana kita sebagai pendidik perlu prihatin. Ada lagu Inggeris yang liriknya tidak baik. Ada juga yang bermesej baik tetapi mengandungi perkataan-perkataan yang tidak baik. Pada masa yang sama, ada pula perkataan yang boleh membawa beberapa maksud, iaitu baik dan tidak baik.

Mengambil contoh lagu "Minecraftable" ini, liriknya mengandungi perkataan 'hardcore' dan 'badass'. Selalunya yang diketahui oleh kita, kedua-dua perkataan ini merujuk kepada maksud yang kurang baik, contohnya 'hardcore' yang sering dikaitkan dengan bahan lucah (selalunya dalam slang) .

Bagaimanapun, selepas memahami lagu "Minecraftable", 'hardcore' dalam lagu ini adalah merujuk kepada sesuatu yang 'extreme' atau 'commited', atau maksud-maksud lain yang menjurus ke arah itu. 'Badass' juga sama, lebih kepada 'cool', 'powerful' atau maksud-maksud lain yang 'memuji' game Minecraft.

Maka, saya menjelaskan kepada anak saya bahawa ‘hardcore’ dan ‘badass’ boleh membawa maksud yang tidak baik, jadi jangan gunakan dalam perbualan mahu pun penulisan kerana boleh menyebabkan orang lain salah faham. Saya memberitahu apakah maksud-maksud yang tidak baik itu supaya dia nampak dan faham.

Langkah kedua ini ialah latihan menterjemah dan memahami. Maka, sebaiknya minta pelajar atau anak menterjemah setiap baris lirik menggunakan ayat/bahasa sendiri, contohnya dalam Bahasa Melayu, Cina atau Tamil, terpulang....

Sebagai contoh, saya mahu menterjemah ke dalam loghat Utara:

Baris lirik : "If you come over then you will see"
Terjemahan saya : Kalau hang mai tengok baru hang boleh nampak

*Loghat Utara ini ialah contoh sahaja. Gunakan apa sahaja bahasa atau loghat yang kita, pelajar atau anak-anak selesa.

LANGKAH 3:

Langkah ketiga ialah yang paling best iaitu MENYANYI! Ini ialah latihan menyebut. Saya selalu berpesan, apabila menyanyi, berusahalah menyebut setiap perkataan sebagaimana penyanyi asal. Biar lidah 'tergeliat' sedikit tak apa. No pain, no gain.

Oleh itu, mohon pastikan setiap kali menyanyi, lagu tersebut dimainkan. Maksudnya, menyanyi bersama penyanyi asal. Guna kaedah nyanyian begini bagi semua lagu Inggeris yang kita suka atau dengar. Lama kelamaan, lidah akan menjadi biasa dan tidak mustahil langsung untuk kita pick up 'American accent'. Percayalah!

TIPS TAMBAHAN:

1) Pilih lagu yang kita, pelajar atau anak-anak minat. Kalau tak minat, kita tak akan mendengar lagu tersebut berulang-ulang kali. Kalau tak ulang, bagaimana nak berlatih kan? Practice makes perfect.

2) Pendidik perlu mengenali & menyelami maksud lagu terlebih dahulu. Fahami perkataan-perkataan yang digunakan dalam sesebuah lirik lagu. Jika tak pasti, mohon Google. Pendidik zaman sekarang perlu biasakan diri dengan SLANG. Ada perkataan membawa maksud yang tidak baik kepada kita, tetapi dalam slang, ia mungkin membawa maksud yang berbeza. Kamus slang pun banyak di Internet yang boleh digunakan sebagai rujukan.

3) Jika sesuatu perkataan itu mempunyai beberapa maksud berbeza (baik & tidak baik), terangkan kepada pelajar dan anak-anak supaya mereka tidak menggunakannya pada tempat atau keadaan yang salah, contohnya ketika menulis karangan atau berbual dengan orang yang lebih tua. Ini sangat penting.

Secara asasnya - KENALI setiap lagu yang hendak kita gunakan sebagai kit pembelajaran.

Teknik BELAJAR MELALUI LAGU adalah sangat efektif, insya-Allah. Saya ada berkongsi mengenai teknik ini di dalam buku saya dan di blog English Bagus ini.

Dapatkan lebih banyak tips di blog English Bagus:

http://www.englishbagus.blogspot.com

Saya bukan expert BI, saya cuma HUGE FAN Bahasa Inggeris. Saya juga ada buat perkongsian di program-program. Untuk maklumat lanjut, klik link di bawah:

http://englishbagus.blogspot.my/2017/03/maklumat-bengkel.html


Semoga bermanfaat!