Info & Pengalaman

:: SOAL JAWAB MENGENAI BUKU "ENGLISH BAGUS"

Adakah penulisan buku "English Bagus" berdasarkan pengalaman?

YA. Secara ringkasnya, suatu ketika dahulu saya langsung tidak boleh berbahasa Inggeris. Namun melalui teknik-teknik yang saya praktikkan tanpa saya sedari, saya berjaya mengubah keadaan tersebut. Saya tidak pernah merancang secara bersungguh-sungguh untuk memperbaiki bahasa Inggeris pada waktu itu. Mungkin boleh saya katakan bahawa saya mampu berbahasa Inggeris 'secara tiba-tiba'.

Adakah teknik-teknik tersebut masih dipraktikkan?

YA. Di sini, saya mahu berkongsi sesuatu yang penting. Saya berjaya melaluinya seperti yang saya nyatakan di atas. Saya boleh berkomunikasi dan menulis dengan baik. Malah saya berjaya menulis beberapa cerpen remaja dalam bahasa Inggeris dan saya menulis banyak artikel dan puisi.

Saya dapati, apa yang menyebabkan prestasi saya semakin baik hari demi hari ialah 'persekitaran' dan 'konsistensi'. Saya berada dalam bidang kerjaya yang memerlukan saya menggunakan bahasa Inggeris, manakala rakan-rakan kerja saya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Pada waktu itu juga lagu-lagu Inggeris adalah keutamaan saya.

Segalanya berubah apabila saya mula bekerja dengan syarikat yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya. Walaupun saya masih menghubungi rakan-rakan dari tempat kerja lama, situasinya tidak sama. Genre muzik dan lagu-lagu yang saya dengar juga mula berubah. Ini menyebabkan kemampuan saya untuk berbahasa Inggeris semakin hari semakin berkurangan.

Setelah beberapa tahun berada dalam situasi tersebut, saya kembali menyedari bahawa saya telah mengabaikan ilmu yang telah saya pupuk sekian lama sehinggakan saya hampir sahaja kembali ke tahap asal iaitu - ZERO.

Untuk siapakah buku & tip-tip "English Bagus"?

Untuk ANDA sebagai pembaca dan SAYA sebagai penulis. Seperti yang dijelaskan, pada suatu ketika bahasa Inggeris saya amat baik. Pun begitu keadaan persekitaran telah menjejaskannya dari semasa ke semasa.

Saya sebenarnya tidak pernah mengambil tahu akan punca dan sebab saya boleh berbahasa Inggeris dengan baik suatu ketika dahulu kerana segala-galanya berlaku secara spontan. Hanya pada saat saya menyedari bahawa saya perlu memperbaikinya semula, barulah saya mula mengkaji dan mengimbas kembali sebab-sebabnya.

Kebetulan saya hendak belajar menulis e-book dan sedang mencari-cari topik/subjek yang sesuai. Setelah berfikir panjang, akhirnya saya memutuskan bahawa topik terbaik yang boleh saya kongsikan bersama masyarakat di luar sana ialah bagaimana hendak mempelajari atau memperbaiki bahasa Inggeris.

Jika saya yang langsung tidak boleh berbahasa Inggeris serta tidak berkeyakinan boleh melaluinya, mengapa tidak orang lain? Bermula dari situ, saya kaji dan catatkan kembali teknik-teknik yang telah saya gunakan. Bermulalah 'English Bagus'.

Dengan cara itu juga, dapatlah saya mempraktikkan kembali teknik-teknik yang sama bersama pembaca.

Adakah isi kandungan buku "English Bagus" sama dengan blog "English Bagus"?

Ada isi kandungan yang sama, ada yang tidak. Pun begitu asas tekniknya adalah sama seperti apa yang disampaikan di dalam buku. Blog ini adalah saluran interaktif yang digunakan untuk berkongsi info-info tambahan, pengalaman serta sebarang ilmu baru yang saya perolehi ketika mempelajari bahasa Inggeris atau mengendalikan bengkel selepas terbitnya buku English Bagus.

Seperti yang dinyatakan, saya belum berhenti belajar dan masih menggunakan teknik-teknik yang sama yang saya kongsikan melalui buku. Saya sentiasa mencari bahan dari semasa ke semasa. Bahan-bahan dan pengalaman terkini itulah yang saya kongsikan di blog ini.

Ini juga bermakna, perkongsian ilmu tidak terhenti dengan terbitnya buku English Bagus. Sebaliknya, proses perkongsian akan terus berjalan di sini. Siapa tahu, mungkin maklumat-maklumat tambahan ini akan dibukukan pula dalam "English Bagus - Edisi Kemaskini"? ;) Mudah-mudahan.

Syalina Ahmad

:: BENGKEL "ENGLISH BAGUS" & INFO PENGENDALI

Bengkel English Bagus dikendalikan oleh Syalina Ahmad. Syalina mempunyai lebih dari 10 tahun pengalaman di dalam bidang pengurusan dan pendidikan.

Syalina bermula dari satu peringkat paling bawah dan melalui pelbagai pengalaman dan cabaran di sepanjang proses pembelajaran bahasa Inggerisnya. Telah banyak teknik dan kaedah yang dicuba, banyak juga buku panduan yang dibaca namun tidak banyak yang membantu.

Akhirnya dia sedar bahawa teknik dan kaedah terbaik yang dicari-cari selama ini sebenarnya berada di hadapan mata, cuma perlu dipraktikkan sebaiknya. Teknik-teknik itulah yang dikongsi melalui bengkel-bengkel English Bagus yang dianjurkan.

Bengkel-bengkel terkini English Bagus memberi fokus kepada latihan dan aktiviti-aktiviti yang praktikal. Bengkel-bengkel yang dikendalikan adalah bagi pendidik dan pelajar.

Daripada seorang yang tidak tahu langsung berbahasa Inggeris, Syalina berjaya memperbaiki keadaan tersebut sedikit demi sedikit sehingga mampu bertutur, menulis dan memahami bahasa Inggeris. Pada ketika itu dia masih remaja dan hanya berusia 16 tahun.

:: PENGALAMAN

1) Menulis buku "English Bagus: Teknik-teknik Mempelajari Bahasa Inggeris Dengan Cara Mudah, Murah & Berkesan" (Utusan), "Emilda" (PTS), "Kem TIMUR" (PTS), "Huhaland Taman Ajaib" (PTS) dan "Putera Dengan Gergasi" (DBP).

2) Menulis lirik lagu "You & I See" (UNIC), "Bahagia Berkasih" (Ahmadi Hassan), "Flow to Jannah" (Simfoni) dan "Erti Bahagia" (Nada).

3) Menterjemah lirik lagu ke dalam Bahasa Inggeris - "La Tahzan/Don't Despair" (Zim Ezuan & Nocturnal Voice) dan "Adiwiraku" (Munsyid Malaysia).

4) Menerbitkan lagu "La Tahzan/Don't Despair" (Zim Ezuan & Nocturnal Voice) dan "Jangan Menghina" (Inteam & Alif Satar).

5) Juara pertandingan mencipta lagu tema Wanita IKRAM.

6) Karya pernah tersiar dalam majalah VISI (IKIM), The Malay Mail dan Youth Quake (New Straits Times).

7) Mengendali program radio "Simple English" di Mutiara FM (RTM P.Pinang) bersama DJ Nurul Husna pada tahun 2011.

8) Menulis lagu "English For Everyone" iaitu lagu tema program radio "Simple English" (MutiaraFM/RTM Pulau Pinang).

9) Menganjurkan "Simple English : Storytelling Competition" dengan kerjasama IKRAM SPT Pulau Pinang, Jabatan Pelajaran Pulau Pinang, Perpustakaan Negeri Pulau Pinang & Mutiara FM, juga bengkel ilmiah seperti "Mantop Akidah, Akhlak, Akademik Bersama Ustaz Zamri", "Asuh Fitrah" dan "English Bagus".

10) Speaker program "Anda Bijak Jauhi Zina" (bersama Raudhatus Sakinah Pulau Pinang) dan program menjelang/pasca UPSR. Antara sekolah - SK Pengkalan Tentera Darat Sg Besi, SK Pdg Menora, SK Mak Mandin, SK Pmtg Buloh, SMK Bertam Perdana, SMK Pmtg Pasir, SMK Dato Kamaruddin Batu Kurau, SMK Tunku Ismail Sg Petani dan MRSM Baling.

:: OBJEKTIF BENGKEL & BUKU "ENGLISH BAGUS"

Bengkel dan buku English Bagus bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan memberi pendedahan tentang pembelajaran bahasa Inggeris yang dikatakan sebagai 'susah', 'mustahil' dan 'elit'.

Melalui modul untuk pelajar, peserta akan didedahkan kepada teknik-teknik dan aktiviti-aktiviti bersesuaian yang boleh dipraktikkan di dalam pembelajaran bahasa Inggeris.

Bagi modul untuk pendidik pula, peserta akan didedahkan kepada teknik, aktiviti dan bahan-bahan bersesuaian yang boleh digunakan di dalam pengajaran bahasa Inggeris. Selain menggunakan teknik-teknik tersebut untuk mengajar, peserta akan didedahkan kepada teknik-teknik yang turut membantu pembelajaran bahasa Inggeris mereka (pendidik). Modul pendidik juga adalah sesuai untuk golongan dewasa bukan pendidik terutamanya bagi ibu bapa.

Di antara objektif utama English Bagus ialah:

(a) Berkongsi ilmu tentang bagaimana hendak memperbaiki bahasa Inggeris dengan cara yang lebih menyeronokkan serta mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih santai tanpa tekanan.

(b) Mendedahkan para peserta kepada teknik-teknik yang sesuai yang boleh digunakan semasa sesi pembelajaran/pengajaran berlangsung.

(c) Meningkatkan kesedaran tentang kepentingan bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian.

(d) Meningkatkan keyakinan bahawa tiada ilmu yang mustahil untuk dipelajari sekiranya disemai inisiatif, azam dan kesungguhan.

(e) Menanam minat dan cinta terhadap bahasa Inggeris yang begitu penting dalam kehidupan dan kerjaya.

(f) Memberi kesedaran tentang kepentingan mengejar ilmu dan betapa pentingnya menimbu ilmu seawal yang boleh.

(g) Melatih dan memberi idea kepada peserta tentang bagaimana hendak meneruskan pembelajaran/pengajaran bahasa Inggeris pada masa hadapan.

:: HASIL PEMBELAJARAN (LEARNING OUTCOMES)

(a) Mengetahui bahawa bahasa Inggeris mudah untuk dipelajari.

(b) Yakin bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa untuk semua.

(c) Mengetahui bahawa terdapat banyak kit pembelajaran yang tidak melibatkan kos besar.

(d) Mengetahui bahawa tidak mustahil untuk mempelajari bahasa Inggeris pada sebarang peringkat usia.

(e) Mengetahui teknik-teknik mudah dan sesuai yang boleh dipraktikkan sendiri untuk pembelajaran di masa hadapan (pembelajaran berterusan).

Nota:

Pengisian bengkel mungkin berubah mengikut kesesuaian, contohnya tahap umur peserta (majoriti) dan jangka masa bengkel. Bengkel dikendalikan di dalam dwi-bahasa di mana bahasa Melayu akan diutamakan bagi memastikan peserta memahami sepenuhnya apa yang disampaikan.

Untuk maklumat lanjut mengenai English Bagus serta penganjuran bengkel, mohon hubungi Syalina Ahmad di alamat e-mel smileyriveronline@gmail.com atau 012-2065872.