Sunday, January 2, 2011

:: Simple English : Siri 1 (Pengenalan)

SIMPLE ENGLISH adalah sebuah rancangan baru di MutiaraFM yang akan ke udara pada setiap hari Isnin bermula jam 3:10 petang hingga jam 3:25 petang.

Memandangkan setiap siri Simple English hanya berlangsung selama 15 minit sahaja, sudah pasti banyak perkara tidak dapat diulas sewaktu rancangan ke udara. Oleh itu, saudara pendengar digalakkan melayari blog English Bagus di http://www.englishbagus.blogspot.com untuk kupasan dan perbincangan lanjut. Sebarang pertanyaan juga boleh diajukan di blog ini.

SIRI SATU adalah merupakan siri pengenalan daripada 13 siri di mana melalui 13 siri ini, saya, Syalina Ahmad akan memberikan teknik-teknik dan tip-tip bagaimana pendengar boleh mempelajari bahasa Inggeris dengan cara mudah, murah dan yang paling penting, berkesan.

Dalam siri pengenalan ini, kita akan melihat dahulu apakah faktor-faktor yang membolehkan seseorang itu fasih berbahasa Inggeris berbanding orang lain.

Apabila bertemu dengan orang-orang yang fasih berbahasa Inggeris, ada kemungkinan besar seseorang individu itu akan berasa rendah diri, tidak yakin dan malu. Ini adalah masalah paling besar yang sering dihadapi oleh masyarakat, khususnya masyarakat Melayu.

Jadi, bagaimanakah saudara boleh mengatasi masalah ini? Baiklah. Perkara pertama yang perlu saudara beritahu kepada diri saudara ialah – Mereka yang fasih berbahasa Inggeris juga bermula dari peringkat TIDAK TAHU. Tiada manusia di dunia ini yang boleh berbahasa Inggeris sebaik mereka lahir. Sudah pasti mereka telah melalui fasa-fasa penting yang menyebabkan mereka fasih berbahasa Inggeris.

Pada hari ini, kita akan melihat apakah faktor-faktor yang menyebabkan mereka ini fasih. Terdapat banyak faktor sebenarnya, tetapi saya telah pecahkan kepada 4 faktor utama. Di sini, saya bahagikan mereka kepada 4 golongan :

Golongan Pertama : Mereka lahir dalam keluarga berbahasa Inggeris. Ini termasuklah orang-orang yang kita gelar sebagai 'orang putih' atau 'Mat Salleh' yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda mereka.

Golongan Kedua : Mereka bukan 'orang putih' atau 'mat salleh' tetapi mereka dilatih untuk berbahasa Inggeris sejak dari kecil. Ini termasuklah mana-mana golongan atau bangsa seperti Cina, India, Melayu dan sebagainya. Sebagai contoh, mereka dilatih di rumah dan di sekolah.

Golongan Ketiga : Mereka tidak dilatih oleh ibu bapa dan pendidik tetapi terpaksa belajar bahasa Inggeris kerana di kelilingi oleh masyarakat yang menggunakan bahasa Inggeris. Sebagai contoh, katakan saudara tinggal di Malaysia, langsung tidak boleh berbahasa Inggeris. Pada suatu hari, ayah saudara memberitahu bahawa beliau mahu membawa saudara sekeluarga berhijrah ke Amerika Syarikat. Jadi, sama ada saudara mahu atau tidak, saudara perlu mempelajari bahasa Inggeris kerana orang-orang Amerika semestinya tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Jadi keadaan terdesak ini telah membolehkan saudara berbahasa Inggeris dengan baik.

Golongan Keempat : Mereka tidak mempunyai sebarang kelebihan sebagaimana golongan pertama, kedua dan ketiga. Tetapi mereka boleh berbahasa Inggeris dengan fasih kerana mereka MINAT. Mereka berusaha dan bersabar. Saya yakin ramai daripada kalangan pendengar yang mendengar pada hari ini berada dalam golongan ini, termasuklah diri saya sendiri. MINAT.

Jadi, jika saudara berada dalam golongan keempat ini, maka saudara sudah pun berada di atas landasan yang betul. Minatnya sudah ada, sekarang saudara cuma perlu berusaha dengan sabar.

Sebenarnya, proses mempelajari bahasa Inggeris tidak sukar kerana kelebihan-kelebihan yang ada. Apakah kelebihan-kelebihannya? Tiga kelebihan utama yang paling ketara ialah :

KELEBIHAN PERTAMA, bahasa Inggeris menggunakan huruf rumi seperti bahasa Melayu. Maksudnya, kita sudah pun kenal huruf A, B, C hingga Z. Bandingkan bahasa Inggeris dengan bahasa Jepun, bahasa Korea, bahasa Tamil dan Mandarin yang tidak menggunakan huruf rumi. Kita ambil contoh bahasa Jepun. Bagi mempelajari bahasa Jepun kita perlu belajar dahulu huruf dan tulisannya. Kita perlu belajar Hiragana, Katakana dan Kanji terlebih dahulu. Jadi bagi bahasa Inggeris, saudara sudah ada jalan pintasnya.

KELEBIHAN KEDUA, kita sebenarnya pernah mempelajari bahasa asing selain daripada bahasa Melayu. Bagi pendengar beragama Islam, masih ingatkah bagaimana saudara mula belajar Alif, Ba, Ta sehingga saudara boleh mengaji Al-Quran? Ataupun di zaman sekarang pelajar-pelajar menggunakan kaedah Iqra’? Huruf-huruf tersebut begitu asing pada mulanya tetapi kita semua berjaya mempelajarinya sehingga lancar membaca Al-Quran. Bagi pendengar-pendengar yang bukan beragama Islam yang sedang mendengar, ingatkan semula ketika saudara mula belajar bahasa ibunda. Begitu juga bangsa Melayu sendiri, ingatkan kembali ketika saudara mula belajar huruf rumi. Kita semua berjaya melakukannya. Jadi mengapa tidak dengan bahasa Inggeris?

KELEBIHAN KETIGA, kita di Malaysia beruntung kerana di kelilingi oleh masyarakat berbilang kaum yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Mungkin bukan masyarakat setempat saudara, mungkin bukan jiran-jiran, tetapi apabila saudara berurusan di tempat lain, contohnya di restoran, kedai buku dan sebagainya, cukup jelas bahawa kit pembelajaran ada di mana-mana. Ini bermakna, sumber-sumbernya sudah sedia ada, terpulang kepada kita bagaimana hendak menggunakan sumber-sumber itu sebaiknya.

Saudara, bahasa Inggeris bukan bahasa elit, bukan bahasa orang kaya-kaya. Kita boleh bercakap dalam bahasa Inggeris di kampung-kampung, di kedai kopi, di mana-mana sahaja yang kita mahu.

Ramai daripada kita yang berpandangan negatif terhadap mereka yang menggunakan bahasa Inggeris. Saya pernah melaluinya dan saya yakin ramai daripada saudara pendengar pernah menghadapinya. Sebagai contoh apabila kita bercakap bahasa Inggeris, orang di sekeliling akan menyindir atau mengatakan kita hendak menunjuk, berlagak dan sebagainya.

Mereka tidak mempersoalkannya apabila mereka mendengar orang lain bercakap bahasa Perancis, bahasa Jepun, bahasa German dan sebagainya. Malah, mereka kagum. Tetapi mengapa apabila bahasa Inggeris digunakan, mula timbul prasangka buruk sedangkan bahasa Inggeris adalah bahasa kedua terpenting di Malaysia selepas bahasa Melayu?

Ingatlah, setiap kali saudara berasa tidak yakin atau malu apabila bertemu golongan yang fasih, beritahu diri saudara, mereka juga bermula dari peringkat tidak tahu. Mereka tahu kerana mereka belajar. Jika saudara belajar, saudara juga boleh menjadi seperti mereka.

Sekian untuk siri pengenalan ini. Ikuti siri kedua pada hari dan waktu yang sama minggu hadapan di mana kita akan mengikuti teknik pembelajaran bahasa Inggeris melalui lagu.

Mulai siri kedua minggu hadapan, saudara berpeluang memenangi hadiah yang merupakan buku tajaan Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Tetapi saudara perlu menjalani tugasan yang akan saya berikan di penghujung rancangan. Jadi pastikan saudara bersama Simple English pada hari dan waktu yang sama pada minggu hadapan.

Terima kasih kerana mengikuti Simple English di MutiaraFM. Sama-samalah kita praktikkan dan ingatlah bahawa – BAHASA INGGERIS UNTUK SEMUA!

Nota :
Untuk mendapatkan lebih banyak tip dalam bab pengenalan, dapatkan buku "English Bagus : Teknik-teknik Mempelajari Bahasa Inggeris Dengan Cara Mudah, Murah & Berkesan".

Bagi pembelian daripada penulis, layari http://www.belibacabuku.blogspot.com/ atau e-mel ke sy_amd2001@yahoo.com.



No comments: