Ini adalah pengisian siri kedua daripada 13 siri Simple English yang ke udara di MutiaraFM (Pulau Pinang) pada setiap hari Isnin bermula jam 3:10 petang. Ia juga boleh diikuti secara online di http://www.mutiarafm.blogspot.com.
SEGMEN 1 : GRAMMAR TIPS
Baiklah. Sebelum kita memulakan segmen pertama ini, adalah baik jika saya memberitahu bahawa walaupun GRAMMAR itu penting, usah sampai ia merungsingkan kita.
Ramai daripada kita takut untuk mempelajari bahasa Inggeris kerana kita menganggap bahawa grammar itu susah. Ini mungkin kerana apabila kita diajar mengenai grammar, apa yang diajar ialah "What are nouns?" (Apa itu nouns?), "What are tenses?" (Present Tense, Past Tense dan sebagainya) dan seterusnya, sehinggakan kita berasa amat susah dan membebankan untuk belajar bahasa Inggeris kerana kita fikir ia adalah syarat wajib dan perlu menghafalnya terlebih dahulu.
Pada hari ini, saya ingin mengajak para pendengar beragama Islam menggambarkan begini. Tajwid itu penting, ia perlu dipelajari agar kita boleh membaca al-Quran dengan baik dan betul. Pun begitu, ramai daripada kita boleh membaca al-Quran dengan begitu baik sekali tanpa mengetahui atau menghafal nama-nama hukum tajwid. Jika kita belajar mengaji al-Quran juga, ustaz dan ustazah akan membetulkan bacaan kita mengikut cara bacaan yang betul tanpa memberitahu kita nama-nama hukum tajwid, kecualilah kelas yang kita hadiri itu kelas belajar tajwid.
Sama jugalah dengan GRAMMAR. Apa yang penting ialah kita bercakap dan menulis dengan betul. Belajar bahasa Inggeris sepatutnya menyeronokkan, bukan membebankan. Bagi pendidik, mungkin ia penting kerana mereka perlu mendidik orang lain. Tetapi bagi kita, apa yang penting ialah bercakap dan menulis dengan betul. Jika kita boleh membina ayat dengan betul dan tahu menggunakan perkataan-perkataan di tempat yang betul, maka itu sudah memadai.
Baik. Kita akan mulakan segmen pertama iaitu GRAMMAR TIPS. Pada hari ini, kita akan melihat penggunaan "AM" di dalam ayat.
"Am" hanya digunakan bagi kata ganti nama "I" sahaja. Contohnya, "I am eating", "I am going to school" dan "I am a girl."
Mari ikuti contoh penggunaannya dalam perbualan telefon berikut :
SYALINA : Hello, Nurul. What are you doing?
DJ NURUL : I am reading a book.
SYALINA : Wow, really? What book are you reading?
DJ NURUL : I am reading a novel.
"I AM" juga boleh dipendekkan menjadi "I'm". Contohnya, "I'm eating", "I'm going to school" dan "I'm a girl."
Semasa memperkenalkan diri juga, kita boleh memperkenalkan diri dengan mudah seperti berikut:
I am Syalina.
I am 35 years old.
I am from Penang.
I am married.
I am here to share some useful English learning tips with you.
Baiklah. Daripada contoh-contoh yang diberikan sebentar tadi, kita dapat melihat bahawa "AM" muncul SELEPAS "I". Pun begitu, kadangkala "AM" akan muncul SEBELUM "I". Ini berlaku apabila kita bertanya soalan. Sebagai contoh, "Am I too thin?", "Am I doing it right?" dan sebagainya.
Sekian bagi segmen pertama.
LATIHAN
Isikan tempat kosong dan terjemahkan perkataan yang dihitamkan ke dalam bahasa Melayu (boleh rujuk kamus jika perlu).
(a) I ____ going to the market.
(b) I ____ too sleepy now.
(c) ____ I a bad boy?
(d) I ____ brave. I ____ not afraid.
(e) ____ I too weak?
SEGMEN 2 : TEKNIK BELAJAR BAHASA INGGERIS MELALUI LAGU (BAHAGIAN 1)
Melalui segmen kedua ini, saya akan memberikan teknik-teknik bagaimana saudara boleh mempelajari bahasa Inggeris dengan cara mudah, murah dan berkesan.
Seperti yang saya janjikan pada minggu lepas, dalam segmen ini saya akan memberikan tip dan teknik bagaimana saudara boleh belajar bahasa Inggeris melalui lagu.
Dalam banyak-banyak teknik, teknik belajar melalui lagu adalah teknik paling mudah dan menyeronokkan. Ini adalah kerana, kita tidak boleh menafikan bahawa semua orang suka mendengar lagu. Yang membezakan kita adalah jenis lagu yang kita dengar.
Kita beruntung pada hari ini, terdapat banyak stesen radio berbahasa Inggeris. MutiaraFM sendiri banyak memutarkan lagu-lagu bahasa Inggeris. Di Internet juga begitu banyak lagu dan lirik. Ini memudahkan kita mendapatkan bahan. Bagaimanapun, ada syarat bagi teknik pembelajaran melalui lagu.
Seperti yang kita sedia maklum, ramai daripada kita mendengar lagu Inggeris bertahun-tahun lamanya, hampir setiap hari. Malah, ada yang hanya mahu mendengar lagu-lagu bahasa Inggeris sahaja, tidak mahu mendengar lagu-lagu Melayu. Tetapi ramai daripada kita masih tidak dapat memperbaiki bahasa Inggeris di sepanjang proses tersebut.
Jadi apakah syarat-syaratnya? Kita lihat dahulu syarat pertama dan kedua pada minggu ini.
Syarat Pertama :
Saudara perlu memilih lagu yang sesuai. Sudah pasti lagu-lagu yang saya maksudkan ialah lagu-lagu berbahasa Inggeris. Pilih lagu yang nyanyiannya jelas agar mudah untuk saudara ikut atau meniru cara nyanyian penyanyi asalnya. Dengan mengikut atau meniru cara nyanyian penyanyi asal, saudara bukan sahaja dapat melatih lidah bagi menyebut perkataan-perkataan Inggeris, tetapi juga jika kerap berlatih, saudara akan mampu menyebut setiap perkataan dalam pelat Amerika. Sebagai contoh, jika penyanyi tersebut menyebut 'GRASS' dan 'WORLD' menggunakan pelat Amerika, saudara juga perlu belajar menyebutnya dalam pelat Amerika seperti penyanyi berkenaan.
Syarat Kedua :
Pilih lagu-lagu Inggeris yang benar-benar diminati sahaja. Tujuannya adalah supaya saudara mahu mendengar lagu tersebut berulang-ulang kali. Apabila saudara mendengar sesebuah lagu itu berulang-ulang kali, bermaksud, saudara akan turut menyanyikannya berulang kali juga. Ini adalah suatu bentuk latihan. Lebih kerap saudara menyanyi, lebih kerap saudara berlatih. Lebih kerap saudara berlatih, lebih cepat saudara mahir. Jadi, pilih lagu yang saudara sukai sahaja.
Baiklah saudara, teruskan bersama kami pada minggu hadapan untuk mengikuti bahagian kedua teknik pembelajaran bahasa Inggeris melalui lagu.
Perkongsian pada minggu ini juga boleh diakses di alamat blog http://www.englishbagus.blogspot.com.
Terima kasih kerana mengikuti Simple English di MutiaraFM. Sama-samalah kita praktikkan dan ingatlah bahawa – BAHASA INGGERIS UNTUK SEMUA!
Nota :
Untuk mendapatkan lebih banyak tip mengenai teknik belajar melalui lagu, dapatkan buku "English Bagus : Teknik-teknik Mempelajari Bahasa Inggeris Dengan Cara Mudah, Murah & Berkesan".
Bagi pembelian daripada penulis, layari http://www.belibacabuku.blogspot.com atau e-mel ke sy_amd2001@yahoo.com.
TEKNIK BELAJAR MELALUI LAGU - MARI PRAKTIKKAN!
Klik http://englishbagus.blogspot.com/2010/10/belajar-melalui-lagu-mari-praktikkan.html untuk mempraktikkan teknik belajar melalui lagu. Jika sukar, mulakan dengan rangkap pertama dahulu sehingga mahir.
No comments:
Post a Comment