Monday, March 28, 2011

:: Simple English Siri 12 - Siaran Rakaman Pertandingan Bercerita

Simple English di Mutiara FM pada 28 Mac 2011 (siri ke-12) menyiarkan rakaman pertandingan bercerita "Simple English : Storytelling Competition". Rakaman yang disiarkan adalah seperti berikut :

Pemenang Tempat Pertama
Muhammad Zulhakimie bin Ahmad Zailani
SK Permatang Pauh
"The Fox and the Wood Cutter"

Pemenang Tempat Kedua
Daniel Amirul bin Amir Hamzah
SRI Al-Masriyah
"The Shepherd and the Wolf"

Pemenang Tempat Ketiga
Amni Qistina binti Rizal Hafiz
SK Padang Menora
"The Little Red Hen"

Ikuti siri ke-13 iaitu siri terakhir Simple English pada minggu hadapan bersamaan 4 April 2011.

Pelajari beberapa tip terakhir, selain mengetahui bagaimana saudara boleh memenangi hadiah buku pembelajaran grammar sumbangan Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd!



Monday, March 21, 2011

:: Simple English : Soalan Kuiz Siri 11

Pada minggu ini, aktiviti bersama pendengar tidak ke udara secara live di konti. Seperti yang diumumkan oleh DJ Nurul Husna, info dan soalan kuiz akan diberikan melalui blog English Bagus ini. Jawapannya juga perlu diberikan melalui blog ini juga!

Kami akan memilih dua orang pemenang sahaja. Jadi, dua orang pertama yang berjaya menjawab dengan tepat adalah pemenang bagi siri kesebelas ini.

Caranya mudah sahaja. Baca dan fahami soalan yang diberikan. Kemudian, taipkan jawapan-jawapannya di ruangan komen di bawah (klik 'Post a Comment' atau 'Comment').

Mohon sertakan alamat e-mel sekali ya ketika menjawab, agar mudah kami menghubungi saudara.

Tip : Boleh rujuk kamus. Kami tak nampak :)

Baik, berikut soalannya :

Pilih perkataan yang memberikan maksud yang tepat dengan perkataan bahasa Melayu di bawah.

1. Senyap/Diam :
(a) Quite.
(b) Quiet.

2. Kecuali :
(a) Accept.
(b) Except.

3. Patah/Patahkan :
(a) Break.
(b) Brake.

4. Pencuci mulut :
(a) Desert.
(b) Dessert.

5. Sudah :
(a) Already.
(b) All ready.


Taipkan jawapan di ruangan komen posting/artikel ini.

All the best!

* Hadiah-hadiah adalah sumbangan Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.


Perbincangan siri kesebelas boleh didapati DI SINI.



:: Simple English : Siri 11 - Pembelajaran Melalui Perbualan

Ini adalah pengisian siri kesebelas daripada 13 siri Simple English yang ke udara di MutiaraFM (Pulau Pinang) pada setiap hari Isnin bermula jam 3:10 petang.

SEGMEN 1 - GRAMMAR TIPS

Dalam siri kesepuluh pada minggu lepas, kita telah bercakap mengenai 'bahasa Inggeris orang Malaysia' yang lebih dikenali sebagai 'MANGLISH'.

Pada minggu ini pula, saya mahu berkongsi dengan saudara tentang penggunaan "I" dan "ME" di dalam ayat. Sebagai contoh :

Adakah :
(a) Ali and me went to the library yesterday; atau
(b) Ali and I went to the library yesterday.

Adakah :
(a) Would you explain that to my mother and me; atau
(b) Would you explain that to my mother and I?

Adakah :
(a) Please join Ali and I for dinner; atau
(b) Please join Ali and me for dinner?

Baiklah. Tip terbaik tentang bagaimana hendak menentukan yang mana satu hendak digunakan, sama ada "I" atau "me" ialah dengan membuang dahulu nama orang lain daripada ayat (dalam kes ini - 'Ali' dan 'my mother').

Lihat contoh-contoh di bawah :

Contoh bagi ayat 1 : Setelah dibuang nama 'Ali', ayat mana satukah yang betul?

(a) Me went to the library yesterday; atau
(b) I went to the library yesterday.

Jawapannya sudah pastilah "I went to the library yesterday."

Masukkan semula nama 'Ali' ke dalam ayat tersebut. Jadi dalam contoh pertama ini, ayat yang betul ialah, "Ali and I went to the library yesterday."

Contoh bagi ayat 2 : Setelah dibuang 'my mother', ayat mana satukah yang betul?

Ayat asal :

(a) Would you explain that to my mother and me?; atau
(b) Would you explain that to my mother and I?

Baik. Seperti yang kita lakukan dalam contoh 1 sebentar tadi, asingkan dahulu 'my mother' daripada ayat. Ia akan menjadi seperti di bawah :

(a) Would you explain that to me; atau
(b) Would you explain that to I?

Ayat mana satukah yang betul? Jawapannya tentu sekali "Would you explain that to me?"

Baik. Masukkan semula 'my mother' ke dalam ayat tersebut. Jadi dalam contoh kedua ini, ayat yang betul ialah, "Would you explain that to my mother and me?"

Dan begitulah seterusnya. Jadi apabila saudara berhadapan dengan ayat-ayat seperti ini, atau saudara tidak pasti sama ada hendak menggunakan "I" atau "ARE", keluarkan dahulu nama atau panggilan orang lain daripada ayat. Saudara pasti mendapat jawapannya selepas itu!

Sekian bagi segmen pertama.

LATIHAN

Ayat mana satukah yang betul?

(a) I want you to send the book to Alia and I.
(b) I want you to send the book to Alia and me.
Jawapan : _____________________________________

(a) My mother and I would love to meet you.
(b) My mother and me would love to meet you.
Jawapan : _____________________________________


SEGMEN 2 : TEKNIK BELAJAR BAHASA INGGERIS MELALUI PERBUALAN

Saudara sedang mendengar segmen kedua rancangan Simple English di mana melalui segmen kedua ini, saya akan memberikan teknik-teknik bagaimana saudara boleh mempelajari bahasa Inggeris dengan mudah, murah dan berkesan.

Pada hari ini, kita akan melihat bagaimana saudara boleh mempelajari bahasa Inggeris melalui perbualan.

Perbualan adalah suatu kebolehan dan kelebihan yang amat diperlukan oleh sesiapa sahaja yang mahu mempelajari bahasa Inggeris. Kemampuan berbual dalam bahasa Inggeris boleh dikatakan lebih penting berbanding penulisan bahasa Inggeris. Ini adalah kerana, semua orang berbual. Tetapi bukan semua orang menulis.

Hanya golongan tertentu sahaja yang memerlukan kecekapan menulis dalam bahasa Inggeris. Sebagai contoh, pelajar, pendidik atau orang berkerjaya yang perlu berutusan surat dan emel dengan orang lain yang menggunakan bahasa Inggeris.

Latihan perbualan perlu dilakukan secara berterusan dan konsisten agar kemampuan saudara meningkat dari sehari ke sehari. Di antara bentuk latihan mudah yang boleh saya cadangkan ialah :

(a) Berbual dengan diri sendiri. Maksudnya, berbual dengan kuat dalam nada percakapan biasa seolah-seolah ada orang di hadapan. Saudara boleh berbual mengenai apa sahaja. Mungkin bercerita mengenai sekolah atau tempat kerja, atau meluah perasaan, masalah dan sebagainya. Tidak mengapa jika saudara tidak fasih atau melakukan banyak kesilapan. Itu boleh diperbaiki dari semasa ke semasa, sedikit demi sedikit. Yang penting saudara membina keyakinan dan melatih lidah berbual dalam bahasa Inggeris.

(b) Berbual dalam bahasa Inggeris apabila berurusan dengan pihak lain melalui telefon. Sebagai contoh, ketika menelefon operator, kedai atau ketika memesan makanan segera, bercakaplah dalam bahasa Inggeris. Yang bagusnya, apabila saudara berlatih berbual melalui telefon, saudara boleh menyediakan skrip perbualan terlebih dahulu sebelum menghubungi pihak yang berkenaan. Sama ada saudara membaca skrip ketika berbual atau menghafal skrip terlebih dahulu sebelum menelefon, kedua-duanya boleh memberi latihan dan meningkatkan keyakinan saudara. Mungkin ketika pertama kali menelefon, saudara 'tergagap-gagap' atau 'tersasul-sasul'. Tetapi jika saudara terus berlatih menggunakan skrip yang sama beberapa kali ketika menelefon, saudara akan menjadi fasih dan tidak lagi memerlukan sebarang skrip.

(c) Berbual dengan ahli keluarga di rumah. Bagi ibu bapa kepada anak-anak kecil yang tidak biasa dengan bahasa Inggeris, saudara boleh memperkenalkan perkataan demi perkataan dahulu. Atau sebaiknya, saudara boleh terus menggunakan dwi bahasa. Sebagai contoh, "Adam nak eat tak? Do you want to eat?" atau "Pergi buat homework. Please do your homework.". Dengan cara ini, saudara berlatih berbual, anak-anak saudara pun begitu.

(d) Banyak bergaul dengan bangsa lain atau dengan bangsa Melayu sendiri yang pandai berbahasa Inggeris. Ingat, JANGAN MALU. Jika masih malu, berlatih menggunakan skrip atau berbual melalui telefon terlebih dahulu.

(e) Berbual dengan DJ radio, hos TV atau jemputan-jemputan mereka. Kita cukup beruntung pada hari ini, terdapat banyak stesen radio dan program TV berbahasa Inggeris yang memberi peluang kepada kita menghubungi mereka untuk berkongsi pandangan dan pengalaman. Atau setidak-tidaknya, membuat permintaan lagu. RTM juga mempunyai stesen radio bahasa Inggerisnya sendiri iaitu TraxxFM (dahulunya Radio 4) yang boleh diikuti melalui frekuensi 98.7 MHz (Pulau Pinang & Kedah). Televisyen juga begitu. Ada rancangan di rangkaian TV RTM yang interaktif dan mesra penonton. Jadi, gunakanlah kit pembelajaran yang ada ini sebaiknya. Jika tidak yakin, sediakan skrip seperti yang dicadangkan sebelum ini. Jika malu, gunakan nama samaran. Tidak salah menggunakan nama samaran.

Terdapat banyak buku di pasaran yang boleh melatih perbualan saudara. Sebagai contoh, buku-buku berdialog mengikut situasi tertentu. Ada yang mengajar saudara dialog-dialog yang boleh saudara gunakan di restoran, ketika membeli barang, ketika melancong dan sebagainya. Dapatkan buku-buku ini dan praktikkan bersama teknik-teknik yang saya kongsikan di atas.

Baiklah saudara, teruskan bersama kami pada minggu hadapan bagi mengikuti tip-tip seterusnya.

Perkongsian pada minggu ini juga boleh diakses di alamat blog http://www.englishbagus.blogspot.com/.

Terima kasih kerana mengikuti Simple English di MutiaraFM. Sama-samalah kita praktikkan dan ingatlah bahawa – BAHASA INGGERIS UNTUK SEMUA!


Nota :

Untuk mendapatkan lebih banyak tip mengenai teknik belajar melalui perbualan, dapatkan buku "English Bagus : Teknik-teknik Mempelajari Bahasa Inggeris Dengan Cara Mudah, Murah & Berkesan" (Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd).

Bagi pembelian daripada penulis, layari http://www.belibacabuku.blogspot.com/ atau e-mel ke sy_amd2001@yahoo.com.



Sunday, March 20, 2011

:: Bengkel Pengajaran Bahasa Inggeris - "Teach & Learn"

InsyaAllah pada awal April ini akan berlangsung bengkel pengajaran bahasa Inggeris di Pulau Pinang seperti berikut.

Bengkel Pengajaran Bahasa Inggeris - "English Bagus : Teach & Learn"

Tarikh : 2 April 2011 (Sabtu)

Masa : 9:30 pagi - 4:30 petang

Tempat : Dewan Masjid Seberang Jaya, Pulau Pinang

Yuran : RM50.00 sahaja termasuk makan, bahan dan sijil.

Pengendali : Syalina Ahmad (pengendali bengkel 'English Bagus', penulis buku 'English Bagus' Utusan Publications, pengendali bersama rancangan 'Simple English' di MutiaraFM, penulis PTS Publications)

Penyertaan dibuka kepada para pendidik, khususnya guru-guru pendidikan awal kanak-kanak, ibu bapa dan sesiapa sahaja yang berminat. Antara pengisian :

~ Get Up & Jiggle.
~ An Hour In Their Shoes.
~ I Gotta Speak Up.... dan lain-lain lagi!

Bengkel dikendali menggunakan dwi-bahasa.

Tempat terhad. Pendaftaran awal amat dialu-alukan. Untuk mendaftar atau pertanyaan lanjut, mohon hubungi sy_amd2001@yahoo.com atau 012-2065872.


Terima kasih.



Wednesday, March 16, 2011

:: Storytelling Competition : TAHNIAH Kepada Semua!



Alhamdulillah, "Simple English : Storytelling Competition" telah berlangsung dengan jayanya pada 13 Mac 2011 yang lepas di Auditorium Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang.

Sebanyak sepuluh buah sekolah dari daerah Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara telah mengambil bahagian iaitu SK Ara Rendang, SK Bukit Teh, SK Kebuh Sireh, SK Mengkuang, SK Padang Menora, SK Permatang Buloh, SK Permatang Pasir, SK Permatang Pauh, SRI Al-Itqan dan SRI Al-Masriyah.

Tiga orang hakim yang cukup berpengalaman iaitu Saudara Mohamad Zulkurnain Abdul Rahman, Saudari Elena Affandi Tan dan Saudari Siti Aishah Ali telah mengadili pertandingan berkenaan. Ketiga-tiga orang hakim ini dilantik dengan kerjasama pihak Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang.

Berikut adalah senarai pemenang dan peserta yang mengambil bahagian :

TEMPAT PERTAMA :
Muhammad Zulhakimie bin Ahmad Zailani
SK Permatang Pauh
"The Fox and the Wood Cutter"

TEMPAT KEDUA :
Daniel Amirul bin Amir Hamzah
SRI Al-Masriyah
"The Shepherd and the Wolf"

TEMPAT KETIGA :
Amni Qistina binti Rizal Hafiz
SK Padang Menora
"The Little Red Hen"

SAGUHATI :

Anis Arifah binti Ahmad Shukri
SK Permatang Buloh
"The Ungrateful Owl"

Iffah Athirah binti Kithar
SRI Al-Itqan
"The Boy and the Apple Tree"

Intan Nurbalkis binti Amirruddin
SK Mengkuang
"The Ant and the Pigeon"

Khairanee binti Iro Iswono
SK Kebun Sireh
"The Tortoise and the Eagle"

Mustazirah binti Othman
SK Permatang Pasir
"The Foolish Miser"

Nur Fariiza binti Ahmad Zukri
SK Bukit Teh
"The Proud Deer"

Nur Syafiqah binti Sabiri
SK Ara Rendang
"The Monkey and the Dolphin"

Pertandingan ini diserikan lagi dengan bacaan doa oleh Adik Ahmad Luqman Siddiqiey bin Harryzan dari Sekolah Rendah Tahfiz Al-Islah (STAIL) dan bacaan puisi oleh Adik Nur Khairina Dayani binti Khalid dari SK Kepala Batas.

"Simple English : Storytelling Competition" telah dianjurkan oleh Pertubuhan IKRAM Seberang Perai Tengah dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang dan MutiaraFM, manakala penaja pula terdiri daripada Munif Hijjaz Sdn Bhd, Hijjaz Records Sdn Bhd, Majalah Asuh (Galeri Ilmu Sdn Bhd), E-Sakinah Studio, Hasani Edar dan Smileyriver Online.

Pertandingan turut dibantu oleh petugas-petugas sukarela daripada Institut Pendidikan Guru Pulau Pinang (i4P) dan Universiti Sains Malaysia (USM). Selain itu, pihak Aqsa Syarif juga telah dijemput bagi membuat pameran dan tayangan video berkenaan Palestin di luar auditorium.

Pertandingan telah dirakam oleh MutiaraFM (RTM Pulau Pinang) bagi siaran dalam rancangan Simple English (siri ke-12 atau ke-13) dan rancangan Junior Genius. Terima kasih kepada Dj Nurul Husna selaku penerbit.

Secara keseluruhannya, pertandingan ini mencapai matlamatnya dalam memberi pendedahan kepada murid dan sekolah. Ada murid yang masih berani menyahut cabaran walaupun terpaksa berlatih sendiri kerana guru berkursus. Syabas kepada mereka semua.

Kami mengucapkan TAHNIAH kepada semua pemenang dan TERIMA KASIH kepada semua pihak yang terlibat menjayakan "Simple English : Storytelling Competition"!

(Klik atas gambar untuk besarkan saiz)






Monday, March 14, 2011

:: Simple English : Siri 10 - English vs Manglish

Ini adalah pengisian siri kesepuluh daripada 13 siri Simple English yang ke udara di MutiaraFM (Pulau Pinang) pada setiap hari Isnin bermula jam 3:10 petang.

SEGMEN 1 - GRAMMAR TIPS

SYALINA : Eh, Nurul. What you doing?
NURUL : Eating lah.
SYALINA : Can eat some more, ah? We late 'ridy'.
NURUL : Alamak! Sure ah?
SYALINA : Yah lor! I told you 'ridy' what.
NURUL : Yes ah? But nevermind lah! For sure they wait one. You eat 'ridy' or not?
SYALINA : I ate 'ridy'. Fasterlah, fasterlah! Eat faster, can or not?
NURUL : Of course can! I can eat faster than tiger.
SYALINA : Wah, you so terror!

Biasa mendengar cara perbualan di atas? Itu adalah contoh perbualan yang mungkin biasa saudara dengar di kaca televisyen, terutamanya dalam drama-drama Inggeris tempatan atau dari Singapura. Atau mungkin juga saudara pernah mendengar ketika berada di dalam bas, ketika membeli belah dan sebagainya.

Sekali pandang atau sekali dengar, ia memanglah seperti 'bahasa Inggeris'. Pun begitu, ia bukanlah 'bahasa INGGERIS' atau 'ENGLISH', tetapi 'MANGLISH' dan 'SINGLISH'. 'MANGLISH' digunakan secara meluas di Malaysia, manakala 'SINGLISH' pula di Singapura.

Kita, sebagai orang-orang yang sedang belajar bahasa Inggeris, perlu berhati-hati dengan 'MANGLISH' dan 'SINGLISH'. Jika kita kerap menggunakannya ketika dalam proses pembelajaran, tidak mustahil kita akan terbiasa dan ia akan 'melekat' di lidah kita.

Sebenarnya tidak susah mempelajari 'MANGLISH'. Kita tidak perlu bimbang mengenai GRAMMAR. Kita tidak perlu bimbang mengenai pembinaan ayat yang betul dan sebagainya. Inilah 'bahasa Inggeris' yang saya panggil 'bahasa Inggeris bedal'. Kita sebut sahaja apa yang kita mahu sebut, cakap sahaja apa yang hendak kita cakap.

Tetapi persoalannya, walaupun senang, adakah ‘MANGLISH’ berbaloi? Kerana salah satu sebab utama mengapa kita belajar bahasa Inggeris ialah untuk berinteraksi dengan orang lain, agar orang lain faham.

'MANGLISH' hanya orang Malaysia atau Singapura sahaja yang faham. Itu pun bukan semua orang Malaysia dan Singapura boleh faham. 'Mat salleh' atau 'orang putih' tidak akan faham. Dan bukankah salah satu matlamat kita mempelajari bahasa Inggeris adalah supaya kita boleh berhadapan dengan 'mat salleh' atau 'orang putih'?

Kemudian, bolehkah 'MANGLISH' membawa kita ke suatu tahap yang lebih tinggi dalam kerjaya? Kerana jika kita terbiasa dengan 'MANGLISH', perbualan kita, penulisan kita dan sebagainya pasti terikut-ikut dengan cara 'MANGLISH'.

Dan percayalah, apabila kita sudah terlalu biasa dengan 'MANGLISH', adalah sukar bagi kita membezakan penggunaan bahasa Inggeris yang betul dengan 'MANGLISH'. Selain itu, ada juga perkataan atau ayat 'MANGLISH' yang mempunyai maksud berbeza. Sebagai contoh :

(a) Terror :

Contoh penggunaan dalam Manglish - "Wah! You so terror." (Wah! Handalnya awak.)

Dalam bahasa Inggeris yang betul, antara maksud 'terror' ialah 'takut' atau 'gerun', tiada kena mengena langsung dengan sebarang perkara yang membawa maksud 'handal' atau 'hebat'!

(b) I'm so boring :

Contoh penggunaan dalam Manglish - "Come we go jalan. I'm so boring." (Mari pergi berjalan-jalan. Saya bosan.)

Dalam bahasa Inggeris yang betul, "I'm so boring" membawa maksud, "Saya amat membosankan"! Sama juga seperti kita berkata, "You are boring" yang membawa maksud "Awak ini membosankan".

Saya mahu berkongsi pengalaman peribadi. Oleh kerana saya kerap bergaul dengan rakan-rakan yang menggunakan 'MANGLISH' dalam perbualan, sedikit demi sedikit saya terikut-ikut sehingga pada suatu tahap, cara sebutan saya, cara susunan ayat saya hampir kesemuanya 'MANGLISH'. Sehingga kini saudara, saya masih kerap 'tersasul' dan kadang-kadang masih menambah 'lah', 'what', 'lor' dan 'one' di dalam ayat. Sebagai contoh :

(a) I know lah.
(b) You can do it youself what!
(c) Yes. Like that lor!
(d) Why you so naughty one?

Baiklah. Mengambil contoh dialog 'MANGLISH' di atas, mari kita lihat perbezaannya jika kita bercakap dengan cara yang lebih baik :

SYALINA : What are you doing, Nurul?
NURUL : I'm eating.
SYALINA : You are still eating? We're already late!
NURUL : Are you sure?
SYALINA : Yes! I already told you, right?
NURUL : You did? But nevermind! I'm sure they'll wait for us. Have you eaten?
SYALINA : Yes, I have. Could you eat faster?
NURUL : Sure!

Percayalah saudara. Tidak berbaloi mengutamakan 'MANGLISH' dan mengabaikan 'bahasa Inggeris' yang tulen. Jika saudara mahu belajar 'MANGLISH' secara suka-suka tidak mengapa. Maklumlah, as a Malaysian, mungkin saudara tidak mahu ketinggalan. Pun begitu, saudara perlu menghadkan penggunaannya. Dan nasihat saya, jauhi 'MANGLISH' pada peringkat awal saudara mempelajari bahasa Inggeris!

Sekian untuk minggu ini.



Monday, March 7, 2011

:: Makluman - "SIMPLE ENGLISH : Storytelling Competition"


[Banner dan design banner adalah sumbangan E-Sakinah Studio Bukit Mertajam, 013-4886178. Klik di atas gambar banner untuk saiz yang lebih besar]


"SIMPLE ENGLISH : STORYTELLING COMPETITION" akan diadakan di Pulau Pinang bersempena cuti sekolah ini. Maklumat lanjut adalah seperti di bawah.

Tarikh :
13 Mac 2011 (Ahad)

Tempat :
Auditorium Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang, Seberang Jaya

Masa :
2.30 petang

Anjuran :
Pertubuhan IKRAM Seberang Perai Tengah

Rakan Kerjasama :
Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang dan MutiaraFM

Rakan Penaja :
Munif Hijjaz Sdn Bhd, Hijjaz Records Sdn Bhd, Hasani Edar Sg Petani, E-Sakinah Studio Bukit Mertajam, Smileyriver Online, Galeri Ilmu Sdn Bhd dan majalah Asuh.

Sekolah-sekolah terlibat :
SK Ara Rendang, SK Bukit Teh, SK Kebun Sireh, SK Permatang Buloh, SK Mengkuang, SK Padang Menora, SK Permatang Pasir, SK Permatang Pauh, SRI Al-Masriyah, SRI Al-Itqan.

* Sekolah-sekolah luar bandar diutamakan. Ada sekolah-sekolah yang dicadangkan sendiri oleh pihak Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang.

* 10 buah sekolah rendah dipilih. Setiap sekolah menghantar seorang sahaja wakil daripada Tahap 2, sama ada daripada Tahun 4, 5 atau 6.

* Pertandingan akan dirakam oleh MutiaraFM dan akan disiarkan dalam siri ke-13 "Simple English".

* Sistem Pemarkahan :

(a) Pronunciation (Sebutan) - 20%
(b) Intonation (Intonasi) - 20%
(c) Fluency (Kelancaran/Kefasihan) - 15%
(d) Confidence (Keyakinan) - 15%
(e) Eye-Contact - 10%
(f) Facial Expression & Gesture (Ekspresi muka & Pergerakan badan) - 10%
(g) Timing (Masa) - 5%
(h) Props & Appearance (Peralatan & Penampilan) - 5%

* Antara objektif pertandingan dan kelebihan bertandingan :

(a) Memberi pendedahan kepada peserta dan sekolah.

(b) Setiap bahagian pemarkahan memberi pendedahan kepada peserta. Semua aspek pemarkahan daripada (a) hingga (h) di atas adalah penting dalam pengucapan awam. Siapa tahu mereka akan menjadi pemimpin pelajar atau negara kelak? Latihan seperti ini boleh membantu. Dan dalam proses pembelajaran bahasa Inggeris sendiri, keyakinan yang tinggi amatlah diperlukan.

Semua dijemput hadir.
Ini adalah non-profit making event.
MASUK ADALAH PERCUMA!

Selain buku-buku dan bahan rujukan lain yang bermanfaat, Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang di Seberang Jaya juga baru sahaja melancarkan 'Lincoln Corner'.

Bukan semua perpustakaan dan tempat mempunyai 'Lincoln Corner'. Jadi, gunakanlah peluang pada 13 Mac 2011 ini bagi membawa keluarga ke sana. Pertandingan bermula pada sebelah petang. Jika datang awal, bolehlah waktu pagi digunakan sebaiknya untuk melihat dan membaca buku-buku di perpustakaan.

Maklumat lanjut mengenai 'Lincoln Corner' boleh didapati di :
http://usembassymalaysia.org.my/lincoln/corner.htm

Bersama-sama kita mendoakan kelancaran dan kejayaan program ini.

Kita berjumpa di sana ya!


Syalina Ahmad


KAMI SEBAGAI PENGANJUR MENGAMBIL KESEMPATAN INI MENGUCAPKAN SYABAS KEPADA PIHAK SEKOLAH DAN PESERTA YANG TERLIBAT DI ATAS KEBERANIAN DAN KESUNGGUHAN YANG DITUNJUKKAN. KAMI JUGA AMAT MENGHARGAI KERJASAMA YANG DIBERIKAN OLEH RAKAN-RAKAN KERJASAMA KAMI, RAKAN-RAKAN PENAJA SERTA PETUGAS-PETUGAS SUKARELA.


NOTA TAMBAHAN - ISTIMEWA DALAM "SIMPLE ENGLISH" :

Bersempena dengan cuti sekolah, siri ke-10 "Simple English" pada 14 Mac 2011 ini mengajak adik-adik (tadika & sekolah rendah) menghubungi konti/studio MutiaraFM di nombor telefon 04-2264244.

Melalui siri khas ini, adik-adik boleh memenangi hadiah istimewa daripada Kak Syalina Ahmad. Apa yang perlu adik-adik lakukan ialah, hubungi DJ Nurul dan Kak Syalina di konti dan sampaikan apa sahaja yang adik mahu dalam bahasa Inggeris.

Adik-adik boleh menyanyi, membaca puisi, bercerita, tuju lagu atau apa sahaja yang adik mahu asalkan dalam bahasa Inggeris. Oh, masa yang diperuntukkan bagi segmen khas ini ialah lebih kurang 10 minit. Kami akan cuba mengambil seberapa ramai pemanggil. Jadi jika boleh, jangan panjang sangat ya persembahannya? :)

Guru-guru, mak dan ayah yang sedang membaca hebahan ini bolehlah memaklumkan perkara ini kepada anak-anak. Selamat berlatih & selamat berjaya ya adik-adik! :)



Sunday, March 6, 2011

:: Simple English : Siri 9 - Pembelajaran Melalui Penulisan (Bahagian 2)

Ini adalah pengisian siri kesembilan daripada 13 siri Simple English yang ke udara di MutiaraFM (Pulau Pinang) pada setiap hari Isnin bermula jam 3:10 petang.

SEGMEN 1 - GRAMMAR TIPS

Melalui segmen Grammar Tips pada minggu lepas, kita telah melihat apakah keadaan atau situasi yang membolehkan kita menggunakan 'would' dan 'could' dalam soalan atau ketika meminta pertolongan daripada orang lain. Pada minggu ini, kita akan bercakap mengenai ucapan 'terima kasih'.

Pada kebiasaannya, apabila orang lain berbuat baik kepada kita atau membantu kita dan sebagainya, kita akan berkata, "Thank you." Betul? Jadi, apakah ayat-ayat atau kata-kata lain yang boleh diucapkan bagi menyampaikan rasa penghargaan kita kepada orang yang membantu kita.

Berikut adalah beberapa contoh :

Tidak Rasmi

Thanks!
Thanks a lot!

Lebih Rasmi

Thank you very much.
Thank you so much.
Thank you kindly.
I can't thank you enough.
I don't know how to thank you.
Thank you for all you help ...... (Contoh lain : sending me these beautiful flowers/asking/helping me dll).

Sekian bagi segmen pertama.


SEGMEN 2 - TEKNIK BELAJAR MELALUI PENULISAN (BAHAGIAN 2)

Melalui segmen kedua ini, saya akan memberikan teknik-teknik bagaimana saudara boleh mempelajari bahasa Inggeris dengan mudah, murah dan berkesan.

Dalam siri yang lepas, saudara telah diberikan teknik pembelajaran bahasa Inggeris melalui penulisan bahagian pertama. Pada hari ini, kita akan sambung dengan bahagian kedua teknik berkenaan.

Mari kita lihat beberapa cara yang boleh saudara gunakan bagi melatih penulisan bahasa Inggeris saudara :

(a) Menulis kepada kenalan, atau istilah yang biasa kita gunakan - 'pen pal'. Jika saya meminta saudara menukar bahasa dalam surat kepada kenalan secara tiba-tiba, mungkin akan menyusahkan saudara. Apatah lagi jika kenalan saudara itu belum bersedia atau tidak mahu menulis dalam bahasa Inggeris. Jadi, jalan paling mudah ialah – tambah lebih ramai kenalan baru. Cuma pada kali ini, pilih kenalan yang boleh berbahasa Inggeris.

Bagaimana hendak tahu sama ada mereka boleh berbahasa Inggeris atau tidak? Salah satu caranya ialah dengan melihat penulisan mereka di blog atau mesej-mesej yang mereka tinggalkan di laman sosial seperti Twitter dan Facebook. Jika saudara tidak pasti, saudara boleh menghantar e-mel atau mesej peribadi (private message) kepada mereka dengan menulis ayat paling mudah iaitu (contoh sahaja) – "Hi, my name is ........... Can I be your friend?" Atau saudara boleh menulis kepada mereka untuk bertanya soalan dan pandangan, atau berkongsi minat.

Jika saudara memilih kenalan daripada kalangan rakyat Malaysia sendiri, maka ia adalah jalan yang selamat kerana saudara boleh menggunakan dwi bahasa. Maksudnya, bagi ayat-ayat yang saudara tidak pasti bagaimana hendak menulisnya, saudara boleh menulisnya dalam bahasa Melayu. Berterus teranglah dengan kenalan baru itu bahawa saudara sedang berusaha memperbaiki penulisan dalam bahasa Inggeris. Mohon teguran dan tunjuk ajar mereka jika ada ayat-ayat yang perlu dibetulkan.

Nota tambahan : Cara mencari kenalan masa kini juga lebih selamat berbanding dahulu. Dahulu, kita perlu memberikan alamat lengkap kepada kenalan. Kini, kita hanya perlu memberikan alamat e-mel dan hanya memberikan alamat lengkap kepada mereka yang benar-benar kita percayai sahaja. Itu pun jika perlu.

(b) Gunakan laman sosial sebaiknya. Saya ambil contoh Facebook. Sebelum ini, saya menggalakkan saudara menulis kepada mereka yang memahami bahasa Melayu. Pun begitu bagi cabaran yang lebih besar, saudara boleh mencari kenalan dari negara luar. Jika saudara masih belum yakin, saudara tidak perlu menulis e-mel atau menghantar mesej peribadi kepada mereka.

Apa yang boleh saudara lakukan ialah, sertai 'page-page' yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya. Sebagai contoh, saudara boleh tekan butang 'Like' di page artis/selebriti luar negara, atau sertai page berkaitan hobi dan minat saudara, atau sertai page berkaitan pembelajaran bahasa Inggeris. Gunakan kata kunci sesuai bagi mencari 'page-page' ini, contohnya 'english' atau 'learn english'. Selepas menyertai 'page-page' tersebut, manfaatkanlah sebaiknya. Berkongsi cerita dan pengalaman saudara di sana, atau memberi respons kepada mesej-mesej orang lain, atau setidak-tidaknya bertanya soalan. Dengan cara ini, saudara akan berlatih menulis, dan tulisan saudara itu akan dibaca pula oleh 'orang putih' atau 'mat salleh'.

(c) Menulis mengenai apa yang berlaku dalam kehidupan seharian saudara. Sebagai contoh, katakanlah ada orang bertanya nama saudara – "What is your name?" Apabila pulang ke rumah, saudara tuliskan begini (di dalam diari/di atas sekeping kertas dll) :

She asked me my name.
"What is your name?"
I told her – "My name is Lina."


Atau katakanlah saudara mahu membeli tomato. Sebelum keluar dari rumah, saudara tuliskan begini :

I want to buy some tomatoes.
I am going to the market now.


Sebaik pulang, tuliskan pula begini :

I am home now.
I bought some tomatoes, eggs and chocolates!


Menulis mengenai aktiviti seharian adalah jauh lebih mudah berbanding karya penulisan lain kerana saudara sudah tahu apa yang hendak ditulis. Usah bimbang mengenai ejaan atau grammar-nya ketika menulis. Saudara boleh menyemaknya kemudian. Apa yang penting ialah saudara menulis dengan konsisten.

Baiklah saudara, teruskan bersama kami pada minggu hadapan untuk mengikuti perkongsian teknik yang baru iaitu teknik pembelajaran melalui perbualan.

Perkongsian pada minggu ini juga boleh diakses di alamat blog http://www.blogger.com/www.englishbagus.blogspot.com.

Terima kasih kerana mengikuti Simple English di MutiaraFM. Sama-samalah kita praktikkan dan ingatlah bahawa – BAHASA INGGERIS UNTUK SEMUA!


Nota :
Untuk mendapatkan lebih banyak tip mengenai teknik belajar melalui penulisan, dapatkan buku "English Bagus : Teknik-teknik Mempelajari Bahasa Inggeris Dengan Cara Mudah, Murah & Berkesan" (Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd).

Bagi pembelian daripada penulis, layari http://www.belibacabuku.blogspot.com/ atau e-mel ke sy_amd2001@yahoo.com.