Wednesday, August 4, 2010

:: Keberkesanan 'Tongue Twisters'

Tongue twisters adalah perkataan-perkataan atau ayat-ayat yang sukar untuk disebut dengan laju.

Ramai yang mengatakan bahawa mereka boleh menulis dalam bahasa Inggeris, tetapi menghadapi kesukaran apabila hendak bertutur dalam bahasa Inggeris.

Ia adalah senario biasa tetapi tidak seharusnya berlaku. Ini adalah kerana apabila bercakap, kita hanya perlu menyuarakan apa yang ditulis itu dalam bentuk lisan.

Pun begitu, ramai daripada kita menghadapi kesukaran ini. Jelas sekali, ia bukanlah kerana masalah "tidak tahu", tetapi kerana "tidak yakin".

Ia boleh diperbaiki dengan membiasakan lidah menyebut perkataan/ayat Inggeris. Sama ada membaca, menyanyi atau bercakap, ia perlu dilakukan dengan menggunakan nada biasa (BUKAN berbisik) agar lidah semakin lancar menyebutnya.

Salah satu cara yang menyeronokkan ialah dengan menyebut/membaca tongue twisters. Bertambah menyeronokkan jika kita berjaya menghafalnya!

Beberapa Contoh Tongue Twisters :

(a) But a bit of better butter makes better batter.

(b) A woodchuck would chuck all the wood a woodchuck could chuck.

(c) Peter Piper picked a peck of pickled peppers.

(d) She sells sea shells by the sea shore. The shells she sells are sure sea shells.

(e) Give Mr. Snipe's wife's knife a swipe.

Nota: Tongue twisters lain boleh didapati dari internet melalui carian di enjin pencari (search engine). Taipkan "tongue twisters" sebagai kata kunci.

Cara Mudah Memahirkan Sebutan :

Salah satu cara mudah untuk memahirkan sebutan tongue twisters, sekali gus menghafalnya ialah dengan menyebutnya dalam tempo perlahan terlebih dahulu.

Selepas mahir menyebut setiap perkataan dengan tepat, tingkatkan tempo sedikit demi sedikit. Bagi tongue twisters yang panjang pula, kita boleh memecahkannya kepada beberapa bahagian. Sebagai contoh :

[She sells]
[sea shells]
[by the]
[sea shore]
[The shells]
[she sells]
[are sure]
[sea shells]


Sebut/hafal setiap bahagian beberapa kali atau sehingga mahir sebelum mulakan dengan bahagian yang lain. Mulakan dengan tempo perlahan, kemudian sederhana dan seterusnya lebih laju.

Akhir sekali, gabungkan kesemuanya. Cubalah. InsyaAllah berhasil.

Apabila tongue twisters berjaya dikuasai, insyaAllah perkataan/ayat-ayat lain juga akan kelihatan mudah untuk dikuasai.
Yang penting, jangan lekas putus asa. Selamat mencuba!

Syalina Ahmad




Wednesday, July 28, 2010

:: Oh, Bahasa SMS!

Budaya menggunakan bahasa SMS (atau word lingo) amat membimbangkan. Bahasa SMS bukan sahaja digunakan ketika menghantar SMS, tetapi juga ketika menghantar e-mel, menulis surat, menulis blog, menulis di laman web sosial seperti Facebook dan Twitter, malah ketika menulis kepada majikan dan pelanggan sekali pun!

Sesungguhnya amat membimbangkan. Bahasa SMS bukan sahaja merosakkan bahasa (BM & BI), tetapi menghancurkan peluang kita untuk mempelajari sesuatu bahasa dengan cepat dan tepat.

Bahasa SMS boleh menyebabkan kita terbiasa mengeja sesuatu perkataan dengan salah, malah boleh menyebabkan kita tidak mengetahui ejaan sebenar jika kita terus menerus menggunakannya.

Mungkin ia nampak 'cool' bagi anak-anak remaja, atau 'tidak ketinggalan zaman' bagi golongan dewasa, tetapi ia tetap suatu perkara besar yang boleh kita label sebagai - MASALAH.

Kita dapat melihat pada hari ini, semakin ramai remaja yang gagal menulis artikel atau karangan dengan baik. Adakalanya, ejaan yang digunakan ketika menulis amat menyusahkan si pembaca. Sebagai contoh, tew (tu), kew/ker (ke), taw (tau), pown (pun), pape pon (apa-apa pun) dan towl (betul).

Itu bahasa Melayu yang menjadi bahasa ibunda. Bayangkan pula bagaimana jika bahasa SMS digunakan ketika sedang mempelajari bahasa Inggeris. Lebih malang lagi, ibu bapa dan pendidik juga ramai yang menulis kepada anak-anak, para pelajar dan ibu bapa pelajar menggunakan bahasa SMS!

Sekiranya ia tidak dikawal, pada suatu hari nanti, anak-anak remaja ini akan menghadapi kesukaran menyediakan surat permohonan pekerjaan. Ia sudah pun berlaku sekarang. Ramai yang menulis kepada bakal majikan dengan menggunakan bahasa dan ejaan-ejaan yang tidak sepatutnya digunakan ketika memohon pekerjaan (selalunya berlaku ketika bertanya mengenai jawatan kosong melalui e-mel).

Berikut ialah beberapa contoh word lingo dalam bahasa Inggeris yang biasa digunakan di Malaysia :

c u = See you.

8 = Ate.

4 = For.

2 = Too/to.

gr8 = Great.

bcuz = Because.

brb = Be right back.

btw = By the way.

4eva = Forever.

Fren/frenz = Friend/friends.

gtg = Got to go.

ilu = I love you.

jeles = Jealous.

Tidak salah menggunakan bahasa SMS untuk suka-suka/for fun, tetapi perlu melihat dahulu senario dan sama ada sesuai atau tidak sesuatu perkataan itu digunakan.

Syalina Ahmad





Wednesday, July 21, 2010

:: Kamus 'Online'

Terdapat banyak kamus dalam talian (online) yang boleh diakses melalui internet.

Ciri-ciri dan perkhidmatan kamus-kamus online ini mungkin sama atau hampir sama. Pasti timbul tanda tanya, bagaimana hendak menentukan kamus yang mana patut digunakan?

Pada peringkat awal, anda boleh mencuba beberapa kamus online untuk mengenal pasti kamus online yang mana bertepatan dengan kehendak anda. Sebagai contoh, kamus online mana menggunakan bahasa dan penerangan yang ringkas serta mudah difahami. Selain itu, mungkin anda mahu mengambil kira sama ada kamus online tersebut ada menyediakan rakaman untuk menyemak sebutan atau tidak.

Ciri-ciri lain mungkin akan mempengaruhi pilihan anda, sebagai contoh ciri-ciri bonus seperti Word of the Day, online games atau ensiklopedia. Malah, ada laman web yang menyediakan perkhidmatan terjemahan sekali gus.

Jadi di dalam memilih kamus online atau laman web mana yang sesuai, ia banyak bergantung kepada setiap individu. Yang penting ialah kerajinan melayari internet untuk mencari yang terbaik. Explore!

Di antara contoh kamus online yang popular ialah (English - English) :

http://www.thefreedictionary.com
http://www.dictionary.cambridge.org
http://www.dictionary.reference.com
http://www.merriam-webster.com
http://www.yourdictionary.com

Manakala bagi kamus online "English - Bahasa Melayu" dan "Bahasa Melayu - English" pula, ada boleh melayari laman web Dewan Bahasa & Pustaka (Pusat Rujukan Persuratan Melayu) seperti berikut :

http://prpm.dbp.gov.my

Sekiranya anda belum pernah menggunakan kamus online Dewan Bahasa & Pustaka sebelum ini, saya ingin mencadangkan supaya anda mencubanya kerana ianya amat membantu, selain pelbagai maklumat boleh diperolehi di sana.

Saya amat suka menggunakan kamus online kerana ia menjimatkan masa. Pun begitu bagi kanak-kanak, adalah amat baik sekiranya kita sebagai orang dewasa melatih mereka menggunakan kamus biasa (bercetak) terlebih dahulu.

Ini dapat membantu mereka dari segi memberi pemahaman mengenai fungsi kamus, selain melatih mereka tentang cara-cara menggunakan kamus dengan tepat agar pencariannya pantas. Bukan sahaja mereka akan cekap menyusun atau mencari perkataan mengikut susunan abjad, mereka juga tidak akan mempunyai masalah sekiranya terpaksa menggunakan kamus bercetak di luar rumah kelak (contohnya di sekolah).

Proses pembelajarannya adalah sama sebagaimana kanak-kanak belajar mengira. Sekiranya mereka diajar menggunakan kalkulator sahaja semata-mata, akan menjejaskan pemahaman mereka terhadap proses/cara pengiraan yang sebenar!


Syalina Ahmad



Sunday, June 20, 2010

:: English Camp di Kepala Batas, Penang

ENGLISH CAMP telah diadakan di Tadika Amal Taman Bertam Indah (Kepala Batas, Pulau Pinang) dari 7 - 9 Jun 2010 bersempena dengan cuti sekolah.

Seramai 15 orang peserta yang terdiri daripada murid-murid Tahun 1 - 6 (dan seorang berusia 6 tahun) hadir di mana program berlangsung dari jam 8:30 pagi - 4:30 petang.

English Camp kali ini memberi fokus kepada English : Speaking Exercises di mana aktiviti-aktiviti yang berlangsung memerlukan peserta banyak bersuara, sebagai contoh teknik pembelajaran melalui nyanyian, bacaan, lakonan dan choral speaking.

Objektif : Menanam minat dan meningkatkan keyakinan mereka melalui aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan agar mereka tidak merasakan bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa yang susah untuk dipelajari atau bahasa yang membebankan.

Alhamdulillah program berjalan lancar. Kami mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada Puan Norlin dari Tadika Amal Taman Bertam Indah selaku penganjur, juga Fasilitator Sara, Fasilitator Mahfuzah dan Fasilitator Sumaiyah serta semua peserta yang hadir.

KLIK SINI untuk melihat gambar-gambar dan video English Camp berkenaan.





Wednesday, April 7, 2010

:: Kit Pembelajaran Di Mana-mana

Alhamdulillah, Malaysia kaya dengan kit pembelajaran bahasa Inggeris. Yang berbayar, yang percuma, semuanya ada. Dengan adanya kit-kit pembelajaran ini, tidak mustahil bagi kita untuk menguasai bahasa Inggeris dalam masa yang singkat.

Terdapat banyak stesen radio tempatan yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya. Stesen TV juga banyak menyiarkan program-program berbahasa Inggeris. Selain mendengar radio dan menonton TV, kita juga boleh berinteraksi dengan DJ radio dan pengacara program. Topik yang dibicarakan juga boleh merangkumi pelbagai topik, dari hiburan hinggalah ke politik. Kita boleh memilih topik yang bersesuaian dengan minat dan pengetahuan kita. Jika malu, gunakan sahaja nama samaran. Ini ternyata suatu kelebihan buat kita.

Ramai terlepas pandang dengan kit pembelajaran yang boleh didapati secara tidak langsung. Menggunakan Facebook dan Wordpress contohnya, boleh membantu penguasaan bahasa Inggeris kita, terutamanya dari segi pemahaman dan penulisan. Pemilihan bahasa memainkan peranan penting. Walaupun Facebook dan Wordpress sudah boleh diekses dalam bahasa Melayu, amat baik jika kita terus mengekalkannya dalam bahasa Inggeris. Kita akan berlatih mempraktikkan penggunaan bahasa Inggeris secara tidak langsung ketika menggunakan Facebook dan Wordpress.

Satu lagi contoh kit pembelajaran percuma ialah ketika membuat pesanan melalui telefon. Ketika menghubungi mana-mana restoran atau francais restoran untuk membuat pesanan, kita boleh menggunakan bahasa Inggeris. Jika tidak biasa atau bimbang melakukan kesilapan ketika berbicara, kita boleh menyediakan skrip. Sebagai contoh, tuliskan ayat "I would like to order ......" atau "Here's my address ...." di atas sekeping kertas. Berlatih menyebutnya beberapa kali sebelum menghubungi restoran berkenaan. Usah bimbang, mereka tidak tahu pun bahawa kita sebenarnya sedang membaca skrip. Jika kerap menggunakan ayat-ayat yang sama berulang kali, insya-Allah selepas ini kita tidak lagi memerlukan sebarang skrip. Bolehlah kita memberi fokus kepada ayat-ayat baru pula.

Selamat mencuba!

Syalina Ahmad



Wednesday, March 31, 2010

:: Bengkel Pelajar di Sg Nibong, Penang

Bengkel "English Bagus" di Sekolah Menengah Kebangsaan Sg. Nibong, Penang adalah program kerjasama di antara Surau An-Nur Sg. Nibong dan JIM Timur Laut. Ia berlangsung pada 27 Mac 2010 (separuh hari) dan melibatkan pelajar-pelajar tingkatan 1 dan 2.

Terima kasih diucapkan kepada Tuan Haji Mohd Nizam yang mewakili Surau An-Nur Sg Nibong, Encik Isahak Ismail dan Encik Md Zabri Md Zain dari JIM Penang/Timur Laut serta Teacher Zurina yang mewakili pengetua SMK Sg Nibong.










:: Bengkel Pendidik di Klang

Bengkel untuk pendidik yang dihadiri oleh para pendidik pendidikan awal kanak-kanak telah diadakan pada 17 Mac 2010 bertempat di Tadika Ceria Az-Zahra, Klang, Selangor Darul Ehsan.

Kami mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada Puan Hajjah Zaharah Awang selaku penganjur dan penyelaras bengkel pada hari tersebut serta guru-guru di Tadika Ceria Az-Zahra.








:: XCELL (JIM) di Penang

Program "XCELL 2010" untuk pelajar-pelajar tingkatan 5 telah dianjurkan oleh pihak Jamaah Islah Malaysia (JIM) selama tiga hari bertempat di Balik Pulau, Penang.

Melalui salah satu slot pada 14 Mac 2010 iaitu "Minda Super", Syalina Ahmad telah berkongsi pengalaman & info mengenai pembelajaran bahasa Inggeris di bawah tajuk "Merangsang Minda Untuk Mencintai bahasa Inggeris".

Terima kasih diucapkan kepada pihak penganjur dan penyelaras program - Encik Shahidan Saaid, Encik Mohd Hafiz Abd Hamid dan Puan Latifah Bee.








Tuesday, November 3, 2009

:: BM vs BI

Ada seorang sahabat bertanya kepada saya tidak lama dahulu, sesuaikah bengkel Bahasa Inggeris dikendalikan di dalam Bahasa Melayu? Jawapan saya, "Sangat sangat sesuai!"

Di dalam sesi tuisyen Bahasa Inggeris yang dikendalikan pun, saya banyak menggunakan Bahasa Melayu berbanding Bahasa Inggeris.

Ketika saya hendak menulis e-book "English Bagus" beberapa tahun lalu, jenuh juga saya mengimbau kembali perjalanan dan pengalaman di sepanjang proses mempelajari Bahasa Inggeris. Oleh kerana proses tersebut bermula seawal umur 8 tahun lagi, maka banyak yang perlu dikenang kembali.

Salah satu perkara yang paling saya ingat ialah rasa bosan setiap kali menghadiri kelas Bahasa Inggeris di sekolah. Saya tidak membenci guru yang mengajar, tetapi kerana tidak memahami apa yang diajar.

Bayangkan, sebagai seorang pelajar yang langsung tidak memahami Bahasa Inggeris, bagaimana dapat saya memberi fokus di dalam kelas? Saya lekas mengantuk ketika guru mengajar, fikiran saya melayang dan adakalanya saya menyiapkan kerja rumah ketika guru mengajar di hadapan!

Teknik-teknik utama yang saya sampaikan melalui Bengkel English Bagus adalah berdasarkan pengalaman yang saya lalui. Untuk itu, saya mengambil keputusan untuk mengendalikan setiap bengkel dan sesi tuisyen di dalam dwi-bahasa di mana Bahasa Melayu diberikan keutamaan.

Adakah ini merugikan peserta/pelajar?

Tidak sama sekali.

Apabila ia dikendalikan di dalam Bahasa Melayu, saya mendapat jaminan bahawa mereka memahami setiap perkataan dan penerangan yang diberikan.

Di dalam sesi tuisyen yang saya kendalikan, setiap sesi akan bermula dengan perbualan, wajib di dalam Bahasa Inggeris. Perbualan ini biasanya dibantu, sebagai contoh, saya akan bertanya kepada setiap pelajar soalan yang sama dan mereka perlu menjawabnya seorang demi seorang.

Dengan cara ini, akan berlaku pengulangan dialog di mana pelajar akan dapat mengingatinya dengan lebih baik kerana dialog yang sama diulang beberapa kali.

CONTOH :

Soalan :

What did you have for lunch?

Jawapan Pusingan Pertama :

I ate [Pelajar sebutkan apa yang dimakan].

Jawapan Pusingan Kedua :

I had [Pelajar sebutkan apa yang dimakan] for lunch today.

Semasa sesi ini berlangsung, sebutan yang salah akan dibetulkan pada waktu itu juga. Pelajar juga dapat melihat bahawa seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris juga mempunyai banyak alternatif perkataan, ayat dan jawapan yang boleh digunakan di dalam perbualan mahu pun penulisan.

Dengan alternatif yang ada, pelajar boleh memilih salah satu yang bersesuaian ketika berbual atau menulis. Jika belum berkeyakinan atau berasa malu, bolehlah menggunakan ayat-ayat ringkas. Dengan latihan yang kerap, pelajar akan dapat menggunakan ayat-ayat yang lebih sukar di masa hadapan.

Selamat mencuba!

Syalina Ahmad



Wednesday, September 9, 2009

:: TIP - Bahasa Inggeris Untuk Anak-anak

Mengajar anak-anak untuk berbahasa Inggeris amat mencabar. Kadang-kadang kita mahu anak-anak pandai berbahasa Inggeris sehingga memaksa mereka menyukainya. Mungkin kita lupa kata pepatah, "tak kenal maka tak cinta".

Untuk menyukai dan mencintai Bahasa Inggeris, anak-anak perlu mengenalinya dahulu. Apatah lagi jika ia adalah bahasa asing yang tidak pernah ibu bapa gunakan di rumah.

Proses mengenali Bahasa Inggeris pula boleh dibuat secara berperingkat-peringkat, mungkin tanpa sedar. Jika ibu bapa kerap menyuruh anak-anak berbahasa Inggeris, anak-anak mungkin akan menganggap ia suatu beban. Jika terus dipaksa, keseronokan untuk mempelajarinya akan hilang. Malah tidak mustahil, anak-anak akan mula membenci Bahasa Inggeris pula.

Di antara usaha yang boleh dibuat ialah :

(a) Menggalakkan anak-anak menonton kartun dan animasi berbahasa Inggeris. Kurangkan menonton kartun-kartun yang dialihbahasa.

(b) Hadiahkan buku, VCD atau CD berbahasa Inggeris ketika sambutan hari lahir. Lebih elok jika ianya berasaskan pendidikan. Sebagai contoh, hadiahkan Dora the Explorer, Go Diego Go, Barney & Friends, Sesame Street dan sebagainya, bukan Ultraman, Power Rangers atau Crayon Shin-Chan.

(c) Menonton VCD atau mendengar lagu-lagu Inggeris bersama anak-anak. Dengan menonton bersama mereka, kita boleh menggalakkan mereka mengikuti apa yang ditonton. Sebagai contoh, jika watak kartun menyebut "It's a tiger!", kita boleh terus mengajak anak-anak menyebutnya bersama-sama. Jika menonton bersendirian, selalunya anak-anak akan sekadar menonton.

(d) Ajar perkataan demi perkataan, mulakan dengan yang paling mudah ketika melakukan sesuatu aktiviti. Amat elok bagi aktiviti-aktiviti yang berulang seperti ketika makan, sebelum tidur atau ketika mandi. Ini bermakna, perkataan-perkataan yang diajar itu akan diulang penggunaannya setiap hari. Sebagai contoh, "adik nak eat?" atau "jom brush teeth".

(e) Utamakan lagu kanak-kanak atau nursery rhymes yang memerlukan mereka menggayakan sesuatu aksi, sebagai contoh "if you're happy and you know it clap your hands" di mana mereka akan belajar bahawa 'clap hands' itu ialah 'tepuk tangan'.

Amat mencabar. Pun begitu apa jua cabarannya, perkara pokok paling penting ialah - SABAR.

Syalina Ahmad