Wednesday, October 27, 2010

:: Bagaimana 'Nama-Negeri' Membantu Pembelajaran?

Pernah bermain permainan 'Nama-Negeri'?

Terdapat beberapa versi permainan ini terutamanya dari segi pengiraan markah. Permainan 'Nama-Negeri' melibatkan beberapa orang pemain, atau jika bermain secara individu boleh juga untuk menguji pengetahuan dan minda.

Setiap peserta diberi sekeping kertas. Di atas kertas tersebut dilukiskan beberapa ruang kosong (columns). Di dalam setiap ruang itu pula ditulis 'Nama', 'Negeri', 'Buah', 'Tempat' dan sebagainya (bergantung atas persetujuan semua pemain).

Ketika memulakan permainan, pemain pertama akan memberikan satu huruf, contohnya huruf 'B'. Maka semua peserta dikehendaki menulis satu 'nama' (orang), satu nama 'negeri', satu nama 'buah', satu nama 'tempat' dan seterusnya. Selepas selesai proses tersebut, semua peserta akan berkongsi jawapan masing-masing.

Pemberian markah adalah bergantung kepada persetujuan pemain. Pun begitu pada kebiasaannya, jika lebih daripada seorang memberikan jawapan yang sama, maka mereka akan berkongsi markah. Jika jawapan pemain adalah berlainan daripada jawapan-jawapan lain, maka permain tersebut akan memperolehi markah penuh. Ada yang menetapkan '10 markah' bagi jawapan yang betul, ada yang '50 markah' mahupun '100 markah' (bergantung kepada pemain).

Selepas itu, pemain kedua pula akan memberikan huruf berikutnya. Kemudian pemain ketiga, keempat dan seterusnya.

Contoh permainan 'Nama-Negeri' :
(Klik untuk besarkan gambar)







Baiklah. Bayangkan pula bagaimana jika kita menggunakan permainan ini untuk membiasakan anak-anak/pelajar dengan NOUNS. Nouns adalah things, places, animals dan people. Nouns adalah 'Kata Nama'.

Permainan 'Nama-Negeri' boleh dimainkan menggunakan konsep yang sama dengan hanya menukar bahasanya sahaja. Jika mahu memberi lebih cabaran kepada anak-anak/pelajar, kita juga boleh memecahkan nouns kepada beberapa bahagian. Sebagai contoh, memecahkan 'animals' kepada dua bahagian seperti 'land animals' dan 'sea animals'.

Berikut adalah contoh versi bahasa Inggeris :
(Klik untuk besarkan gambar)







Tip Tambahan :

(a) Ia boleh dimainkan dalam kumpulan kecil atau besar. Sebagai contoh, huruf diberikan oleh pendidik dan semua pelajar di dalam kelas dikehendaki menulis jawapan mereka di atas kertas masing-masing. Atau, bahagikan pelajar kepada kumpulan-kumpulan kecil dan setiap kumpulan menulis jawapan melalui perbincangan.

(b) Galakkan anak-anak/pelajar merujuk kamus. Dengan cara ini, mereka bukan sahaja akan belajar mengenai nouns tetapi juga mendapat bonus tambahan iaitu memahirkan diri menggunakan kamus.

(c) Sebagai cabaran, galakkan mereka memberikan jawapan yang mungkin tidak terfikir oleh rakan-rakan yang lain (tidak mustahil jika mereka rajin merujuk kamus). Sebagai contoh, jika 'monkey' dan 'mouse' adalah nama haiwan paling kerap diberikan bagi haiwan berhuruf 'm', apakata jika mereka menulis 'mammoth' atau 'millipede' pula?

(d) Pendidik boleh terlebih dahulu mencari nama-nama nouns melalui internet. Sebagai contoh, taipkan kata kunci 'animals letter f' di enjin pencari dan klik 'search'. Anda akan memperolehi senarai yang cukup panjang untuk rujukan anda.

Jelas sekali, permainan 'Nama-Negeri' versi bahasa Inggeris bukan sahaja memberi kebaikan kepada anak-anak/pelajar, tetapi juga memberi ruang kepada pendidik untuk mengembangkan ilmu pengetahuan sendiri.

Selamat mencuba!


Syalina Ahmad

No comments: