Merakam bacaan boleh membantu kita mendengar dan menilai kembali prestasi. Bukan sahaja ketika membaca, kita juga boleh merakam nyanyian, perbualan dan sebagainya.
Sebaiknya setiap rakaman disimpan. Sebagai contoh, anda merakam bacaan pertama pada hari ini. Anda membaca artikel dari akhbar berbahasa Inggeris. Selepas selesai merakam, anda label atau namakan rakaman tersebut 'Bacaan 1'.
Keesokan harinya, anda membaca artikel yang sama. Rakaman tersebut anda labelkan 'Bacaan 2'. Pada hari ketiga, anda terus membaca artikel yang sama dan melabelkannya 'Bacaan 3' dan seterusnya.
Langkah-langkah :
(a) Pilih artikel berbahasa Inggeris dari mana-mana sumber yang anda mahu.
(b) Baca artikel yang sama. Latihan yang berulang boleh memantapkan bacaan, intonasi dan sebutan.
(c) Pilih artikel mengikut subjek/topik yang anda gemari kerana anda akan membacanya berulang-ulang kali. Jika anda memilih bahan bacaan yang salah, anda akan lekas bosan.
(d) Baca dengan kuat ketika merakam. Jangan baca seperti berbisik atau membaca di dalam hati. Anda boleh melatih lidah agar tidak kekok dengan cara ini.
(e) Tidak perlu berlatih dahulu sebelum merakam kerana anda mahu mendengar kembali bacaan pertama anda. Jika anda berlatih, rakamlah latihan tersebut dan terus melabelkannya 'Bacaan 1'.
(f) Jika tiada perakam kaset, anda boleh menggunakan perakam lain seperti sound recorder dalam komputer anda dan sebagainya. Sound recorder lebih mudah sebenarnya. Dalam komputer saya, sound recorder disimpan dalam 'Accessories - Entertainment'. Insya-Allah sama bagi anda. Save kesemua fail (file) rakaman di dalam satu folder agar mudah mencarinya kelak.
(g) Ketika membaca buat pertama kali dan anda berjumpa perkataan yang anda tidak tahu atau tidak pasti bagaimana sebutannya, anda teka sahaja dahulu. Teruskan membaca dan pada masa yang sama, gariskan perkataan tersebut.
(h) Selepas sesi rakaman, anda buat semakan sebutan bagi perkataan tersebut dengan guru, rakan, ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang boleh membantu anda.
(i) Mulai rakaman kedua, anda sudah boleh membaca/menyebut perkataan tersebut dengan betul. Maka mulai rakaman kedua ini, anda akan memberi fokus kepada sebutan dan intonasi pula.
Antara Kelebihan :
(a) Dengan merakam bacaan, kita akan dapat mengenal pasti kesilapan dengan mudah. Jika membaca artikel yang panjang, adalah sukar bagi kita mengingat kembali kesilapan-kesilapan yang kita lakukan semasa membaca, apatah lagi banyak perkataan yang kita teka cara sebutannya. Jadi, rakaman tersebut akan membantu kita mengingatnya kembali.
(b) Menyimpan setiap rakaman akan membantu kita menilai prestasi dan peningkatan. Selepas rakaman kelima contohnya, cuba dengar kembali rakaman tersebut bermula dari rakaman pertama, kedua, ketiga, keempat dan kelima. Insya-Allah anda akan dapat melihat peningkatannya.
* Selain bahan bacaan, teknik rakaman juga boleh dipraktikkan semasa anda berlatih berbual, menyanyi dan sebagainya. Sebagai contoh jika anda menelefon konti radio (berbahasa Inggeris) untuk berbual dengan DJ atau jemputan mereka, anda boleh merakamkan perbualan tersebut.
Selamat mencuba!
Syalina Ahmad
No comments:
Post a Comment