Sunday, January 9, 2011

:: Simple English : Siri 2 - Pembelajaran Melalui Lagu (Bhg 1)

Ini adalah pengisian siri kedua daripada 13 siri Simple English yang ke udara di MutiaraFM (Pulau Pinang) pada setiap hari Isnin bermula jam 3:10 petang. Ia juga boleh diikuti secara online di http://www.mutiarafm.blogspot.com.

SEGMEN 1 : GRAMMAR TIPS

Baiklah. Sebelum kita memulakan segmen pertama ini, adalah baik jika saya memberitahu bahawa walaupun GRAMMAR itu penting, usah sampai ia merungsingkan kita.

Ramai daripada kita takut untuk mempelajari bahasa Inggeris kerana kita menganggap bahawa grammar itu susah. Ini mungkin kerana apabila kita diajar mengenai grammar, apa yang diajar ialah "What are nouns?" (Apa itu nouns?), "What are tenses?" (Present Tense, Past Tense dan sebagainya) dan seterusnya, sehinggakan kita berasa amat susah dan membebankan untuk belajar bahasa Inggeris kerana kita fikir ia adalah syarat wajib dan perlu menghafalnya terlebih dahulu.

Pada hari ini, saya ingin mengajak para pendengar beragama Islam menggambarkan begini. Tajwid itu penting, ia perlu dipelajari agar kita boleh membaca al-Quran dengan baik dan betul. Pun begitu, ramai daripada kita boleh membaca al-Quran dengan begitu baik sekali tanpa mengetahui atau menghafal nama-nama hukum tajwid. Jika kita belajar mengaji al-Quran juga, ustaz dan ustazah akan membetulkan bacaan kita mengikut cara bacaan yang betul tanpa memberitahu kita nama-nama hukum tajwid, kecualilah kelas yang kita hadiri itu kelas belajar tajwid.

Sama jugalah dengan GRAMMAR. Apa yang penting ialah kita bercakap dan menulis dengan betul. Belajar bahasa Inggeris sepatutnya menyeronokkan, bukan membebankan. Bagi pendidik, mungkin ia penting kerana mereka perlu mendidik orang lain. Tetapi bagi kita, apa yang penting ialah bercakap dan menulis dengan betul. Jika kita boleh membina ayat dengan betul dan tahu menggunakan perkataan-perkataan di tempat yang betul, maka itu sudah memadai.

Baik. Kita akan mulakan segmen pertama iaitu GRAMMAR TIPS. Pada hari ini, kita akan melihat penggunaan "AM" di dalam ayat.

"Am" hanya digunakan bagi kata ganti nama "I" sahaja. Contohnya, "I am eating", "I am going to school" dan "I am a girl."

Mari ikuti contoh penggunaannya dalam perbualan telefon berikut :

SYALINA : Hello, Nurul. What are you doing?

DJ NURUL : I am reading a book.

SYALINA : Wow, really? What book are you reading?

DJ NURUL : I am reading a novel.

"I AM" juga boleh dipendekkan menjadi "I'm". Contohnya, "I'm eating", "I'm going to school" dan "I'm a girl."

Semasa memperkenalkan diri juga, kita boleh memperkenalkan diri dengan mudah seperti berikut:

I am Syalina.
I am 35 years old.
I am from Penang.
I am married.
I am here to share some useful English learning tips with you.

Baiklah. Daripada contoh-contoh yang diberikan sebentar tadi, kita dapat melihat bahawa "AM" muncul SELEPAS "I". Pun begitu, kadangkala "AM" akan muncul SEBELUM "I". Ini berlaku apabila kita bertanya soalan. Sebagai contoh, "Am I too thin?", "Am I doing it right?" dan sebagainya.

Sekian bagi segmen pertama.

LATIHAN

Isikan tempat kosong dan terjemahkan perkataan yang dihitamkan ke dalam bahasa Melayu (boleh rujuk kamus jika perlu).

(a) I ____ going to the market.

(b) I ____ too sleepy now.

(c) ____ I a bad boy?

(d) I ____ brave. I ____ not afraid.

(e) ____ I too weak?


SEGMEN 2 : TEKNIK BELAJAR BAHASA INGGERIS MELALUI LAGU (BAHAGIAN 1)

Melalui segmen kedua ini, saya akan memberikan teknik-teknik bagaimana saudara boleh mempelajari bahasa Inggeris dengan cara mudah, murah dan berkesan.

Seperti yang saya janjikan pada minggu lepas, dalam segmen ini saya akan memberikan tip dan teknik bagaimana saudara boleh belajar bahasa Inggeris melalui lagu.

Dalam banyak-banyak teknik, teknik belajar melalui lagu adalah teknik paling mudah dan menyeronokkan. Ini adalah kerana, kita tidak boleh menafikan bahawa semua orang suka mendengar lagu. Yang membezakan kita adalah jenis lagu yang kita dengar.

Kita beruntung pada hari ini, terdapat banyak stesen radio berbahasa Inggeris. MutiaraFM sendiri banyak memutarkan lagu-lagu bahasa Inggeris. Di Internet juga begitu banyak lagu dan lirik. Ini memudahkan kita mendapatkan bahan. Bagaimanapun, ada syarat bagi teknik pembelajaran melalui lagu.

Seperti yang kita sedia maklum, ramai daripada kita mendengar lagu Inggeris bertahun-tahun lamanya, hampir setiap hari. Malah, ada yang hanya mahu mendengar lagu-lagu bahasa Inggeris sahaja, tidak mahu mendengar lagu-lagu Melayu. Tetapi ramai daripada kita masih tidak dapat memperbaiki bahasa Inggeris di sepanjang proses tersebut.

Jadi apakah syarat-syaratnya? Kita lihat dahulu syarat pertama dan kedua pada minggu ini.

Syarat Pertama :

Saudara perlu memilih lagu yang sesuai. Sudah pasti lagu-lagu yang saya maksudkan ialah lagu-lagu berbahasa Inggeris. Pilih lagu yang nyanyiannya jelas agar mudah untuk saudara ikut atau meniru cara nyanyian penyanyi asalnya. Dengan mengikut atau meniru cara nyanyian penyanyi asal, saudara bukan sahaja dapat melatih lidah bagi menyebut perkataan-perkataan Inggeris, tetapi juga jika kerap berlatih, saudara akan mampu menyebut setiap perkataan dalam pelat Amerika. Sebagai contoh, jika penyanyi tersebut menyebut 'GRASS' dan 'WORLD' menggunakan pelat Amerika, saudara juga perlu belajar menyebutnya dalam pelat Amerika seperti penyanyi berkenaan.

Syarat Kedua :

Pilih lagu-lagu Inggeris yang benar-benar diminati sahaja. Tujuannya adalah supaya saudara mahu mendengar lagu tersebut berulang-ulang kali. Apabila saudara mendengar sesebuah lagu itu berulang-ulang kali, bermaksud, saudara akan turut menyanyikannya berulang kali juga. Ini adalah suatu bentuk latihan. Lebih kerap saudara menyanyi, lebih kerap saudara berlatih. Lebih kerap saudara berlatih, lebih cepat saudara mahir. Jadi, pilih lagu yang saudara sukai sahaja.

Baiklah saudara, teruskan bersama kami pada minggu hadapan untuk mengikuti bahagian kedua teknik pembelajaran bahasa Inggeris melalui lagu.

Perkongsian pada minggu ini juga boleh diakses di alamat blog http://www.englishbagus.blogspot.com.

Terima kasih kerana mengikuti Simple English di MutiaraFM. Sama-samalah kita praktikkan dan ingatlah bahawa – BAHASA INGGERIS UNTUK SEMUA!


Nota :
Untuk mendapatkan lebih banyak tip mengenai teknik belajar melalui lagu, dapatkan buku "English Bagus : Teknik-teknik Mempelajari Bahasa Inggeris Dengan Cara Mudah, Murah & Berkesan".

Bagi pembelian daripada penulis, layari http://www.belibacabuku.blogspot.com atau e-mel ke sy_amd2001@yahoo.com.


TEKNIK BELAJAR MELALUI LAGU - MARI PRAKTIKKAN!

Klik http://englishbagus.blogspot.com/2010/10/belajar-melalui-lagu-mari-praktikkan.html untuk mempraktikkan teknik belajar melalui lagu. Jika sukar, mulakan dengan rangkap pertama dahulu sehingga mahir.



Sunday, January 2, 2011

:: Simple English : Siri 1 (Pengenalan)

SIMPLE ENGLISH adalah sebuah rancangan baru di MutiaraFM yang akan ke udara pada setiap hari Isnin bermula jam 3:10 petang hingga jam 3:25 petang.

Memandangkan setiap siri Simple English hanya berlangsung selama 15 minit sahaja, sudah pasti banyak perkara tidak dapat diulas sewaktu rancangan ke udara. Oleh itu, saudara pendengar digalakkan melayari blog English Bagus di http://www.englishbagus.blogspot.com untuk kupasan dan perbincangan lanjut. Sebarang pertanyaan juga boleh diajukan di blog ini.

SIRI SATU adalah merupakan siri pengenalan daripada 13 siri di mana melalui 13 siri ini, saya, Syalina Ahmad akan memberikan teknik-teknik dan tip-tip bagaimana pendengar boleh mempelajari bahasa Inggeris dengan cara mudah, murah dan yang paling penting, berkesan.

Dalam siri pengenalan ini, kita akan melihat dahulu apakah faktor-faktor yang membolehkan seseorang itu fasih berbahasa Inggeris berbanding orang lain.

Apabila bertemu dengan orang-orang yang fasih berbahasa Inggeris, ada kemungkinan besar seseorang individu itu akan berasa rendah diri, tidak yakin dan malu. Ini adalah masalah paling besar yang sering dihadapi oleh masyarakat, khususnya masyarakat Melayu.

Jadi, bagaimanakah saudara boleh mengatasi masalah ini? Baiklah. Perkara pertama yang perlu saudara beritahu kepada diri saudara ialah – Mereka yang fasih berbahasa Inggeris juga bermula dari peringkat TIDAK TAHU. Tiada manusia di dunia ini yang boleh berbahasa Inggeris sebaik mereka lahir. Sudah pasti mereka telah melalui fasa-fasa penting yang menyebabkan mereka fasih berbahasa Inggeris.

Pada hari ini, kita akan melihat apakah faktor-faktor yang menyebabkan mereka ini fasih. Terdapat banyak faktor sebenarnya, tetapi saya telah pecahkan kepada 4 faktor utama. Di sini, saya bahagikan mereka kepada 4 golongan :

Golongan Pertama : Mereka lahir dalam keluarga berbahasa Inggeris. Ini termasuklah orang-orang yang kita gelar sebagai 'orang putih' atau 'Mat Salleh' yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa ibunda mereka.

Golongan Kedua : Mereka bukan 'orang putih' atau 'mat salleh' tetapi mereka dilatih untuk berbahasa Inggeris sejak dari kecil. Ini termasuklah mana-mana golongan atau bangsa seperti Cina, India, Melayu dan sebagainya. Sebagai contoh, mereka dilatih di rumah dan di sekolah.

Golongan Ketiga : Mereka tidak dilatih oleh ibu bapa dan pendidik tetapi terpaksa belajar bahasa Inggeris kerana di kelilingi oleh masyarakat yang menggunakan bahasa Inggeris. Sebagai contoh, katakan saudara tinggal di Malaysia, langsung tidak boleh berbahasa Inggeris. Pada suatu hari, ayah saudara memberitahu bahawa beliau mahu membawa saudara sekeluarga berhijrah ke Amerika Syarikat. Jadi, sama ada saudara mahu atau tidak, saudara perlu mempelajari bahasa Inggeris kerana orang-orang Amerika semestinya tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu. Jadi keadaan terdesak ini telah membolehkan saudara berbahasa Inggeris dengan baik.

Golongan Keempat : Mereka tidak mempunyai sebarang kelebihan sebagaimana golongan pertama, kedua dan ketiga. Tetapi mereka boleh berbahasa Inggeris dengan fasih kerana mereka MINAT. Mereka berusaha dan bersabar. Saya yakin ramai daripada kalangan pendengar yang mendengar pada hari ini berada dalam golongan ini, termasuklah diri saya sendiri. MINAT.

Jadi, jika saudara berada dalam golongan keempat ini, maka saudara sudah pun berada di atas landasan yang betul. Minatnya sudah ada, sekarang saudara cuma perlu berusaha dengan sabar.

Sebenarnya, proses mempelajari bahasa Inggeris tidak sukar kerana kelebihan-kelebihan yang ada. Apakah kelebihan-kelebihannya? Tiga kelebihan utama yang paling ketara ialah :

KELEBIHAN PERTAMA, bahasa Inggeris menggunakan huruf rumi seperti bahasa Melayu. Maksudnya, kita sudah pun kenal huruf A, B, C hingga Z. Bandingkan bahasa Inggeris dengan bahasa Jepun, bahasa Korea, bahasa Tamil dan Mandarin yang tidak menggunakan huruf rumi. Kita ambil contoh bahasa Jepun. Bagi mempelajari bahasa Jepun kita perlu belajar dahulu huruf dan tulisannya. Kita perlu belajar Hiragana, Katakana dan Kanji terlebih dahulu. Jadi bagi bahasa Inggeris, saudara sudah ada jalan pintasnya.

KELEBIHAN KEDUA, kita sebenarnya pernah mempelajari bahasa asing selain daripada bahasa Melayu. Bagi pendengar beragama Islam, masih ingatkah bagaimana saudara mula belajar Alif, Ba, Ta sehingga saudara boleh mengaji Al-Quran? Ataupun di zaman sekarang pelajar-pelajar menggunakan kaedah Iqra’? Huruf-huruf tersebut begitu asing pada mulanya tetapi kita semua berjaya mempelajarinya sehingga lancar membaca Al-Quran. Bagi pendengar-pendengar yang bukan beragama Islam yang sedang mendengar, ingatkan semula ketika saudara mula belajar bahasa ibunda. Begitu juga bangsa Melayu sendiri, ingatkan kembali ketika saudara mula belajar huruf rumi. Kita semua berjaya melakukannya. Jadi mengapa tidak dengan bahasa Inggeris?

KELEBIHAN KETIGA, kita di Malaysia beruntung kerana di kelilingi oleh masyarakat berbilang kaum yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Mungkin bukan masyarakat setempat saudara, mungkin bukan jiran-jiran, tetapi apabila saudara berurusan di tempat lain, contohnya di restoran, kedai buku dan sebagainya, cukup jelas bahawa kit pembelajaran ada di mana-mana. Ini bermakna, sumber-sumbernya sudah sedia ada, terpulang kepada kita bagaimana hendak menggunakan sumber-sumber itu sebaiknya.

Saudara, bahasa Inggeris bukan bahasa elit, bukan bahasa orang kaya-kaya. Kita boleh bercakap dalam bahasa Inggeris di kampung-kampung, di kedai kopi, di mana-mana sahaja yang kita mahu.

Ramai daripada kita yang berpandangan negatif terhadap mereka yang menggunakan bahasa Inggeris. Saya pernah melaluinya dan saya yakin ramai daripada saudara pendengar pernah menghadapinya. Sebagai contoh apabila kita bercakap bahasa Inggeris, orang di sekeliling akan menyindir atau mengatakan kita hendak menunjuk, berlagak dan sebagainya.

Mereka tidak mempersoalkannya apabila mereka mendengar orang lain bercakap bahasa Perancis, bahasa Jepun, bahasa German dan sebagainya. Malah, mereka kagum. Tetapi mengapa apabila bahasa Inggeris digunakan, mula timbul prasangka buruk sedangkan bahasa Inggeris adalah bahasa kedua terpenting di Malaysia selepas bahasa Melayu?

Ingatlah, setiap kali saudara berasa tidak yakin atau malu apabila bertemu golongan yang fasih, beritahu diri saudara, mereka juga bermula dari peringkat tidak tahu. Mereka tahu kerana mereka belajar. Jika saudara belajar, saudara juga boleh menjadi seperti mereka.

Sekian untuk siri pengenalan ini. Ikuti siri kedua pada hari dan waktu yang sama minggu hadapan di mana kita akan mengikuti teknik pembelajaran bahasa Inggeris melalui lagu.

Mulai siri kedua minggu hadapan, saudara berpeluang memenangi hadiah yang merupakan buku tajaan Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd. Tetapi saudara perlu menjalani tugasan yang akan saya berikan di penghujung rancangan. Jadi pastikan saudara bersama Simple English pada hari dan waktu yang sama pada minggu hadapan.

Terima kasih kerana mengikuti Simple English di MutiaraFM. Sama-samalah kita praktikkan dan ingatlah bahawa – BAHASA INGGERIS UNTUK SEMUA!

Nota :
Untuk mendapatkan lebih banyak tip dalam bab pengenalan, dapatkan buku "English Bagus : Teknik-teknik Mempelajari Bahasa Inggeris Dengan Cara Mudah, Murah & Berkesan".

Bagi pembelian daripada penulis, layari http://www.belibacabuku.blogspot.com/ atau e-mel ke sy_amd2001@yahoo.com.



Friday, December 31, 2010

:: Makluman

Terima kasih kerana mengunjungi blog English Bagus. Adalah dimaklumkan bahawa :

(a) Waktu siaran "Simple English" adalah dari jam 3:10 p.m. - 3:25 p.m., bukan 3:15 p.m. - 3:30 p.m. seperti yang diumumkan sebelum ini.

(b) Di sepanjang "Simple English" berlangsung, blog English Bagus akan dikemaskini pada setiap hari Isnin.

Jangan lupa ikuti "Simple English" di MutiaraFM Pulau Pinang pada setiap hari Isnin jam 3:10 p.m. - 3:25 p.m. mulai 3 Januari 2011. Terima kasih atas sokongan dan semoga bermanfaat!

Wednesday, December 22, 2010

:: Hadiah Menanti Pendengar SIMPLE ENGLISH!

Berita baik buat pendengar SIMPLE ENGLISH yang akan ke udara di MutiaraFM Pulau Pinang mulai 3 Januari 2011.

Selain memberikan tip-tip grammar dan teknik-teknik pembelajaran bahasa Inggeris yang mudah, murah dan berkesan, kami juga akan memberikan hadiah kepada pendengar-pendengar bertuah yang berani menyahut cabaran.

Sesi bersama pendengar ini akan ke udara secara live mulai siri kedua SIMPLE ENGLISH pada 10 Januari 2011. Apakah task atau tugasan yang akan diberikan kepada pendengar? Sama-sama kita nantikan!

Terima kasih kepada Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd kerana menaja hadiah-hadiah bagi segmen berkenaan.

Untuk maklumat lanjut mengenai SIMPLE ENGLISH - Klik Sini.

Wednesday, December 8, 2010

:: Merakam Bacaan

Merakam bacaan boleh membantu kita mendengar dan menilai kembali prestasi. Bukan sahaja ketika membaca, kita juga boleh merakam nyanyian, perbualan dan sebagainya.

Sebaiknya setiap rakaman disimpan. Sebagai contoh, anda merakam bacaan pertama pada hari ini. Anda membaca artikel dari akhbar berbahasa Inggeris. Selepas selesai merakam, anda label atau namakan rakaman tersebut 'Bacaan 1'.

Keesokan harinya, anda membaca artikel yang sama. Rakaman tersebut anda labelkan 'Bacaan 2'. Pada hari ketiga, anda terus membaca artikel yang sama dan melabelkannya 'Bacaan 3' dan seterusnya.

Langkah-langkah :

(a) Pilih artikel berbahasa Inggeris dari mana-mana sumber yang anda mahu.

(b) Baca artikel yang sama. Latihan yang berulang boleh memantapkan bacaan, intonasi dan sebutan.

(c) Pilih artikel mengikut subjek/topik yang anda gemari kerana anda akan membacanya berulang-ulang kali. Jika anda memilih bahan bacaan yang salah, anda akan lekas bosan.

(d) Baca dengan kuat ketika merakam. Jangan baca seperti berbisik atau membaca di dalam hati. Anda boleh melatih lidah agar tidak kekok dengan cara ini.

(e) Tidak perlu berlatih dahulu sebelum merakam kerana anda mahu mendengar kembali bacaan pertama anda. Jika anda berlatih, rakamlah latihan tersebut dan terus melabelkannya 'Bacaan 1'.

(f) Jika tiada perakam kaset, anda boleh menggunakan perakam lain seperti sound recorder dalam komputer anda dan sebagainya. Sound recorder lebih mudah sebenarnya. Dalam komputer saya, sound recorder disimpan dalam 'Accessories - Entertainment'. Insya-Allah sama bagi anda. Save kesemua fail (file) rakaman di dalam satu folder agar mudah mencarinya kelak.

(g) Ketika membaca buat pertama kali dan anda berjumpa perkataan yang anda tidak tahu atau tidak pasti bagaimana sebutannya, anda teka sahaja dahulu. Teruskan membaca dan pada masa yang sama, gariskan perkataan tersebut.

(h) Selepas sesi rakaman, anda buat semakan sebutan bagi perkataan tersebut dengan guru, rakan, ahli keluarga atau sesiapa sahaja yang boleh membantu anda.

(i) Mulai rakaman kedua, anda sudah boleh membaca/menyebut perkataan tersebut dengan betul. Maka mulai rakaman kedua ini, anda akan memberi fokus kepada sebutan dan intonasi pula.


Antara Kelebihan :

(a) Dengan merakam bacaan, kita akan dapat mengenal pasti kesilapan dengan mudah. Jika membaca artikel yang panjang, adalah sukar bagi kita mengingat kembali kesilapan-kesilapan yang kita lakukan semasa membaca, apatah lagi banyak perkataan yang kita teka cara sebutannya. Jadi, rakaman tersebut akan membantu kita mengingatnya kembali.

(b) Menyimpan setiap rakaman akan membantu kita menilai prestasi dan peningkatan. Selepas rakaman kelima contohnya, cuba dengar kembali rakaman tersebut bermula dari rakaman pertama, kedua, ketiga, keempat dan kelima. Insya-Allah anda akan dapat melihat peningkatannya.

* Selain bahan bacaan, teknik rakaman juga boleh dipraktikkan semasa anda berlatih berbual, menyanyi dan sebagainya. Sebagai contoh jika anda menelefon konti radio (berbahasa Inggeris) untuk berbual dengan DJ atau jemputan mereka, anda boleh merakamkan perbualan tersebut.


Selamat mencuba!


Syalina Ahmad



Friday, December 3, 2010

:: SIMPLE ENGLISH di Mutiara FM!

Rancangan baru mengenai pembelajaran bahasa Inggeris akan mula ke udara di Mutiara FM (Pulau Pinang) bermula Januari 2011!

Judul Rancangan:
Simple English

Stesen Radio:
Mutiara FM
Frekuensi 95.7 MHz, 93.9 MHz, 90.9 MHz

Jadual Rancangan:
Setiap hari Isnin bermula 3 Januari 2011
3:10 p.m. - 3:25 p.m.

Jumlah Siri:
13 siri

Pengendali:
Syalina Ahmad
bersama DJ Nurul

Penerbit:
Mutiara FM Pulau Pinang
dengan kerjasama Syalina Ahmad
dan Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd

Sasaran Pendengar:
Remaja, pelajar, pendidik, ibu bapa dan sesiapa sahaja yang berminat untuk mempelajari bahasa Inggeris dengan cara mudah, murah dan berkesan!

Keistimewaan:

(a) Pendengar akan diberi teknik-teknik mudah, murah & berkesan.

(b) Dikendalikan dalam bahasa Melayu dan berkonsep santai.

(c) Dibahagikan kepada dua bahagian iaitu 'Grammar Tips' dan teknik pembelajaran.

(d) Isi perbincangan setiap siri akan dimasukkan ke blog English Bagus di http://www.englishbagus.blogspot.com/.

(e) Perbincangan lanjut dan sebarang soalan boleh diajukan di blog English Bagus.

(f) Pendengar boleh berinteraksi dengan pengendali rancangan di blog English Bagus.

(g) Pendengar bertuah yang berani menyahut cabaran akan memenangi hadiah sumbangan Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.


Nantikan ya!


Syalina Ahmad

Wednesday, November 24, 2010

:: "Why you so like that ah?"

SINGLISH... MANGLISH... 'Mat Salleh' mungkin tidak memahaminya tetapi kita boleh memahaminya sesama kita.

SINGLISH adalah English Singapura manakala MANGLISH adalah English Malaysia. Mungkin kita tidak biasa mendengar terma 'Singlish' dan 'Manglish', tetapi saya yakin kita biasa mendengar ayat-ayat berikut :

~ Why you so like that one?
~ Where got...
~ I follow your car.
~ Whose one is this?
~ My one.
~ What lah you!
~ Got or not?
~ How can?
~ Die lah!
~ Wait until you kena.

Kita boleh sahaja mengandaikan SINGLISH dan MANGLISH sebagai 'English rojak'. Kebanyakan ayat SINGLISH dan MANGLISH juga biasanya ditambah 'ah', 'lah', 'meh', 'lor', 'one', 'what' dan sebagainya. Sebagai contoh:

"Oh, like that one ah?"
"Like me lah...,"
"Cannot meh?"
"Yes lor...,"
"Why you so naughty one ah?"
"You took it what... don't remember ah?"

Walaupun terdapat perbezaan di antara SINGLISH dan MANGLISH, perbezaan-perbezaannya tidak ketara. Mungkin berbeza dari segi penggunaan perkataan/ayat tetapi cara pertuturan dan 'lenggok'nya hampir sama. Ketika menonton 'Phua Chu Kang' contohnya, kita tidak berasa janggal mendengar cara pertuturan mereka kerana sudah biasa mendengarnya di Malaysia.

Apa pun keadaannya, SINGLISH dan MANGLISH hanya sesuai dituturkan secara 'informal' sahaja, bukan di dalam majlis-majlis atau ketika berurusan dengan pihak lain terutamanya orang luar. Ini bukan sahaja kerana penggunaan bahasa Inggerisnya yang tidak betul/tepat, tetapi kerana apa yang kita maksudkan ketika bertutur dalam SINGLISH dan MANGLISH mungkin berbeza dengan apa yang difahami oleh pihak lain.

Sebagai contoh apabila kita menyebut, "Where got?" Apa yang kita maksudkan ialah "Mana ada?" atau "That's not true,". Mustahil pihak lain memahaminya.

Untuk itu, jika kita benar-benar mahu mempelajari bahasa Inggeris, carilah bahan pembelajaran yang betul. Usah terikut-ikut dengan cara pertuturan/percakapan SINGLISH dan MANGLISH.

Seandainya pada masa ini anda sedang berusaha mempelajari atau memperbaiki bahasa Inggeris, elakkan SINGLISH dan MANGLISH. Ketika berurusan dengan pihak lain dan mereka menggunakan SINGLISH atau MANGLISH, usah pedulikan cara mereka.

Teruskan menggunakan bahasa Inggeris yang betul seperti yang dipelajari. Ia tidak merugikan, malah menguntungkan kerana bahasa Inggeris yang betul diterima dan difahami oleh semua orang dalam apa jua keadaan, di mana sahaja. Sebaliknya jika kita belajar menggunakan SINGLISH atau MANGLISH sahaja maka kita tidak akan pergi jauh kerana sekelompok kecik sahaja yang memahaminya.

Saya suka mendengar dua lagu di bawah kerana ianya kelakar. Suatu ketika dahulu saya kerap mendengarnya. Boleh dijadikan bahan ketawa sebagai hiburan. Tetapi sebagai bahan pembelajaran bahasa Inggeris, JAUH SEKALI.

Semoga terhibur menonton dua klip di bawah!


WHY YOU SO LIKE THAT AH?


FIGHT SARS "PHUA CHU KANG WAY"



Syalina Ahmad



Wednesday, November 17, 2010

:: Jika Tidak Menyukai 'Nursery Rhymes'....

Nursery rhymes adalah lagu kanak-kanak. Pada kebiasaannya, nursery rhymes adalah lagu-lagu yang mendidik. Ada juga nursery rhymes yang bercerita untuk hiburan semata-mata.

Nursery rhymes amat baik bagi pembelajaran bahasa Inggeris kerana bahasanya teratur dan mudah diikuti. Pun begitu, bukan semua orang dewasa (contohnya ibu bapa) menyukai nursery rhymes terutamanya apabila penyanyinya adalah kanak-kanak.

Oleh kerana ibu bapa tidak menyukai nursery rhymes, maka mereka tidak membelinya untuk anak-anak. Anak-anak selalunya mendengar apa yang ibu bapa dengar. Oleh kerana itulah jika kita bertanya kepada kanak-kanak seawal usia tadika apakah lagu kesukaan mereka, usah terkejut jika judul-judul yang mereka sebut adalah judul-judul lagu dewasa. Malah tidak mustahil mereka boleh menyanyikan lagu-lagu Britney Spears, Justin Bieber, Maroon 5 dan sebagainya apabila disuruh. Jika lirik-lirik lagunya bermesej baik tidak mengapa jugalah. Bayangkan jika mesejnya tidak baik atau tidak sesuai.

Sebenarnya banyak lagi lagu kanak-kanak yang boleh digunakan selain nursery rhymes. Malah, banyak nursery rhymes dirakamkan semula oleh penyanyi dewasa. Jika tidak menggunakan nursery rhymes sekali pun, bagaimana jika kita menggunakan lagu-lagu tema siri kartun televisyen? Bukan sahaja melodinya rancak dan menarik, ia juga akan dimainkan setiap hari atau setiap minggu (bergantung kepada kartun mana yang ditonton). Ini bermakna setiap kali anak-anak menonton siri kartun berkenaan, mereka boleh menyanyikan lagu temanya berulang-ulang kali. Ia akan melatih dan membiasakan anak-anak kepada bahasa Inggeris.

Dengan adanya teknologi Internet, sumber lagu boleh diakses dengan mudah. Gunakan You Tube ataupun mana-mana sumber lain dengan membuat carian di enjin pencari. Berikut adalah satu contoh lagu tema siri kartun 'Postman Pat' berserta lirik.



LIRIK : Postman Pat

Postman Pat, Postman Pat
Postman Pat and his black and white cat
Early in the morning, just as day is dawning
He picks up all the post bags in his van

Postman Pat, Postman Pat
Postman Pat and his black and white cat
All the birds are singing, the day is just beginning
Pat feels he's a really happy man

Everybody knows his bright red van
All his friends will smile as he waves to greet them
Maybe, you can never be sure, there'll be knock (knock knock)
Ring (ring ring)... Letters through your door (Hee Hee)

Postman Pat, Postman Pat
Postman Pat and his black and white cat
All the birds are singing, the day is just beginning
Pat feels he's a really happy man

Di antara lagu tema lain yang pasti digemari oleh anak-anak ialah Spongebob Squarepants, Wonderpets (pastikan versi bahasa Inggeris), Blue's Clues, Go Diego Go, Dora the Explorer dan sebagainya.

Selamat mencuba!


Syalina Ahmad

Wednesday, November 10, 2010

:: Soal Jawab Mengenai "English Bagus"

ADAKAH PENULISAN BUKU "ENGLISH BAGUS" BERDASARKAN PENGALAMAN?

YA. Secara ringkasnya, suatu ketika dahulu saya langsung tidak boleh berbahasa Inggeris. Namun melalui teknik-teknik yang saya praktikkan tanpa saya sedari, saya berjaya mengubah keadaan tersebut. Saya tidak pernah merancang secara bersungguh-sungguh untuk memperbaiki bahasa Inggeris pada waktu itu. Mungkin boleh saya katakan bahawa saya mampu berbahasa Inggeris 'secara tiba-tiba'.

ADAKAH TEKNIK-TEKNIK TERSEBUT MASIH DIPRAKTIKKAN?

YA. Sebenarnya, saya mempunyai pengakuan yang hendak dibuat. Saya berjaya melaluinya seperti yang saya nyatakan di atas. Saya boleh berkomunikasi dan menulis dengan baik. Malah saya berjaya menulis beberapa cerpen remaja dalam bahasa Inggeris dan saya menulis banyak artikel dan puisi.

Saya dapati, apa yang menyebabkan prestasi saya semakin baik hari demi hari ialah 'persekitaran' dan 'konsistensi'. Saya berada dalam bidang kerjaya yang memerlukan saya menggunakan bahasa Inggeris, manakala rakan-rakan kerja saya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Pada waktu itu juga lagu-lagu Inggeris adalah keutamaan saya.

Segalanya berubah apabila saya mula bekerja dengan syarikat yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya. Walaupun saya masih menghubungi rakan-rakan dari tempat kerja lama, situasinya tidak sama. Genre muzik dan lagu-lagu yang saya dengar juga mula berubah. Ini menyebabkan kemampuan saya untuk berbahasa Inggeris semakin hari semakin berkurangan.

Setelah beberapa tahun berada dalam situasi tersebut, saya kembali menyedari bahawa saya telah mengabaikan ilmu yang telah saya pupuk sekian lama sehinggakan saya hampir sahaja kembali ke tahap asal iaitu - ZERO.

UNTUK SIAPAKAH BUKU "ENGLISH BAGUS"?

Untuk ANDA sebagai pembeli/pembaca dan SAYA sebagai penulis. Seperti yang dijelaskan, pada suatu ketika bahasa Inggeris saya amat baik. Pun begitu keadaan persekitaran telah menjejaskannya dari semasa ke semasa.

Saya sebenarnya tidak pernah mengambil tahu akan punca dan sebab saya boleh berbahasa Inggeris dengan baik suatu ketika dahulu kerana segala-galanya berlaku secara spontan. Hanya pada saat saya menyedari bahawa saya perlu memperbaikinya semula, barulah saya mula mengkaji dan mengimbas kembali sebab-sebabnya.

Kebetulan saya hendak belajar menulis e-book dan sedang mencari-cari topik/subjek yang sesuai. Setelah berfikir panjang, akhirnya saya memutuskan bahawa topik terbaik yang boleh saya kongsikan bersama masyarakat di luar sana ialah bagaimana hendak mempelajari atau memperbaiki bahasa Inggeris.

Jika saya yang langsung tidak boleh berbahasa Inggeris serta tidak berkeyakinan boleh melaluinya, mengapa tidak orang lain? Bermula dari situ, saya kaji dan catatkan kembali teknik-teknik yang telah saya gunakan. Bermulalah 'English Bagus'.

Dengan cara itu juga, dapatlah saya mempraktikkan kembali teknik-teknik yang sama bersama pembaca.

ADAKAH ISI KANDUNGAN BUKU "ENGLISH BAGUS" SAMA DENGAN BLOG "ENGLISH BAGUS"?

Ada isi kandungan yang sama, ada yang tidak. Pun begitu asas tekniknya adalah sama seperti apa yang disampaikan di dalam buku. Blog ini adalah saluran interaktif yang digunakan untuk berkongsi info-info tambahan, pengalaman serta sebarang ilmu baru yang saya perolehi ketika mempelajari bahasa Inggeris atau mengendalikan bengkel selepas terbitnya buku "English Bagus".

Seperti yang dinyatakan, saya belum berhenti belajar dan masih menggunakan teknik-teknik yang sama yang saya kongsikan melalui buku. Saya sentiasa mencari bahan dari semasa ke semasa. Bahan-bahan dan pengalaman terkini itulah yang saya kongsikan di blog ini. Ini bermakna perkongsian ilmu tidak terhenti dengan terbitnya buku "English Bagus". Sebaliknya, proses perkongsian akan terus berjalan di sini. Siapa tahu, mungkin maklumat-maklumat tambahan ini akan dibukukan pula dalam "English Bagus - Edisi Kemaskini"? ;) Mudah-mudahan.


Syalina Ahmad

Wednesday, November 3, 2010

:: Nombor, Angka dan Tip Ketika Menulis

Ramai daripada kita sering menggunakan angka dan nombor tetapi selama ini menganggap 'angka' dan 'nombor' adalah sama. Namun pada hakikatnya, 'angka' dan 'nombor' adalah berbeza sama sekali. Begitu rupanya!

Another interesting fact. Kongsikan bersama ahli keluarga, rakan-rakan, anak-anak serta murid/pelajar sekolah, tadika dan taska.

Maklumat di bawah saya salin dari Internet. Tidak banyak maklumat yang boleh kita dapat mengenainya. Entahlah, mungkin perkara ini tidak ditekankan sangat oleh guru-guru di sekolah. Mungkin yang ditekankan hanyalah formula-formulanya sahaja, dan para murid/pelajar pula sekadar menghafal formula untuk lulus peperiksaan. Namun, tiga penerangan di bawah sudah memadai dalam memberi gambaran bahawa maksud Matematik adalah jauh lebih besar dan mendalam.

Saya hampir sahaja menganggap kecemerlangan dalam Matematik adalah 'gifted skills'. Pernah juga ditegur dan dibidas oleh seorang Atheist yang begitu mahir dalam Matematik, tetapi masih sukar mengikiskan tanggapan tersebut.

Mengambil kira betapa pentingnya ilmu Sains dan Matematik, saya fikir perkara pertama yang perlu saya lakukan ialah mengubah persepsi negatif yang ada mengenainya. Tak kenal maka tak cinta. Sebagai seorang ibu kepada anak-anak yang masih kecil, ia amat penting sebagai usaha menerapkan rasa cinta kepada kedua-dua subjek penting ini.

Mohon baca petikan artikel di bawah. Klik juga pada link yang disertakan untuk membaca lebih banyak maklumat mengenainya.


********************


PENERANGAN PERTAMA

ANGKA ialah simbol nombor manakala NOMBOR ialah istilah bilangan seperti "satu" dalam bahasa Melayu sekarang (dahulunya sa atau esa), tetapi wahid dalam bahasa Arab dan one dalam bahasa Inggeris.

Kedua-duanya, angka dan nombor, memang zahirnya pun berbeza daripada satu bangsa dengan bangsa yang lain. Angka bagi nombor "satu" sekarang seolah-olah satu-satunya angka dalam dunia ini (tiada yang lain lagi) kerana popularnya angka Muslim ini. Malangnya orang Malaysia terutamanya mengangapnya angka atau nombor Inggeris sahaja, sedangkan Inggeris pun merujukanya sebagai "Arabic numeral" atau "angka Arab".

Sumber:
Disalin dari artikel wawancara bersama Shaharir Mohamad Zain (Prof. Dr.) : "Menormalkan Sains Islam", http://www.kesturi.net/archives/771


PENERANGAN KEDUA

ANGKA ialah suatu simbol atau kelompok simbol, atau suatu perkataan dalam bahasa tabii yang melambangkan nombor. Angka berbeza dengan nombor seperti mana perkataan berbeza daripada benda-benda yang dimaksudkannya. Simbol-simbol "11", "sebelas" dan "XI" merupakan angka yang berbeza tetapi kesemuanya melambangkan nombor yang sama.

Sumber:
Disalin dari http://ms.wikipedia.org/wiki/Sistem_angka


PENERANGAN KETIGA

Number (nombor) versus numeral (angka). First things first, what is the difference between a number and a numeral? A NUMBER is an abstract concept while a NUMERAL is a symbol used to express that number. "Three", "3″ and "III" are all symbols used to express the same number. One could say that the difference between a number and its numerals is like the difference between a person and her name.

Sumber:
Disalin dari http://www.dailywritingtips.com/10-rules-for-writing-numbers-and-numerals


********************



BEBERAPA TIP KETIKA MENULIS DALAM BAHASA INGGERIS

(a) Ejakan nombor yang kurang dari sepuluh.

Di zaman 'bahasa ringkas', 'bahasa SMS' dan 'bahasa instant message' ini, nombor-nombor yang kurang dari sepuluh sebaiknya dieja. Sebagai contoh, tuliskan 'two' dan 'four', bukannya '2' (biasanya yang dimaksudkan ialah 'to'/'too') dan '4' (dimaksudkan 'for'). Masuk akal juga. Pernah berlaku kepada seorang ahli keluarga saya. Beliau menerima SMS yang di dalamnya mengandungi perkataan - "2 beg". Begitu lama beliau memikirkan mesej yang diterima - "2 beg"? "Beg" apa? "Beg" yang mana? Rupa-rupanya si penghantar SMS maksudkan "to beg" iaitu "bagi merayu".


(b) Jangan mulakan ayat dengan angka (simbol).

Tuliskan "Fourscore and seven years ago," bukannya "4 score and 7 years ago." Jika mahu menggunakan angka di dalam ayat, susunkan semula ayat sebagaimana contoh berikut : Tuliskan "Fans bought 400,000 copies the first day," bukannya "400,000 copies were sold the first day."

Info tambahan mengenai 'Fourscore and seven years ago' : Satu 'score' bersamaan dengan 20. Jadi 'fourscore and seven years ago' membawa maksud '87 tahun'. Ia adalah ungkapan yang pernah digunakan oleh Abraham Lincoln dalam ucapan beliau pada 19 November 1863.

Info dari Internet :
http://wiki.answers.com/Q/What_is_the_meaning_of_four_score_seven_years_ago
http://www.yourdictionary.com/fourscore
http://encyclopedia2.thefreedictionary.com/Four+score+and+seven+years+ago
http://americancivilwar.com/north/lincoln.html


(c) Ejakan abad/dekad.

Sebagai contoh, tuliskan 'the eighties' dan 'nineteenth century'.


(d) Menulis 'peratus' dan 'resepi'.

Bagi tujuan tidak formal, ia boleh ditulis "4% of the children" atau "Add 2 cups of brown rice." Bagi penulisan yang formal pula, ia seharusnya ditulis sebagai "Four percent of the children" atau "Add two cups of brown rice."


(e) Jangan kelirukan pembaca.

Mungkin mengelirukan jika kita menulis "7 13-year-olds." Untuk itu, tuliskan "Seven 13-year-olds."


(f) Konsisten ketika menulis.

Konsisten ketika menulis sesuatu ayat. Sebagai contoh, tuliskan "I have five birds and eighteen cats," bukannya "I have five birds and 18 cats."


Info-info di atas disalin dari sumber http://www.dailywritingtips.com/10-rules-for-writing-numbers-and-numerals. Bagi tip-tip lain, bolehlah melayari laman web berkenaan.


Syalina Ahmad