Wednesday, September 1, 2010

:: Adakah Kursus Bahasa Inggeris Membantu?

Kursus bahasa Inggeris jangka pendek sering dianjurkan oleh pusat-pusat bahasa. Ia kerap diiklankan di media cetak, tidak kurang juga melalui risalah yang dihantar ke rumah-rumah. Ada kursus yang berlangsung selama beberapa bulan, beberapa minggu mahu pun beberapa hari.

Persoalannya, sejauh manakah kursus seperti ini dapat membantu pembelajaran bahasa Inggeris?

Ia bergantung kepada beberapa keadaan. Saya pernah menghadiri kursus selama 3 bulan ketika berada dalam Tingkatan 5. Katanya sahaja '3 bulan', tetapi diadakan cuma dua kali seminggu, kurang dari dua jam setiap sesi. Jadi ia bukanlah 3 bulan penuh.

Pada kebiasaannya, peserta kursus diminta menghafal skrip atau ayat-ayat tertentu, sebagai contoh apakah ayat-ayat yang sesuai digunakan di restoran, di pawagam atau ketika membeli barang. Selain itu, peserta juga akan diberi tip berkaitan grammar.

Mungkin peserta dikenakan bayaran yang tinggi sehingga mencecah ratusan ringgit. Ia mungkin berbaloi, mungkin tidak. Bagaimana jika anda mendapatkan maklumat lanjut daripada pusat bahasa berkenaan sebelum mendaftar?

Bertanyalah bagaimana kursus tersebut akan dijalankan dan apakah kaedah yang mereka gunakan. Ini adalah kerana jika anda hanya akan disuruh menghafal ayat, anda boleh mempelajarinya sendiri tanpa menghadiri mana-mana kursus pun.

Pada hari ini, terdapat banyak buku dalam pasaran yang mengajar bahasa Inggeris menggunakan kaedah hafalan ini, begitu juga buku-buku mengajar grammar. Jadi perkara-perkara yang diajar di pusat bahasa boleh anda pelajari melalui buku-buku tersebut. Bayangkan jumlah wang yang boleh anda jimatkan!

KELEBIHAN KURSUS BAHASA INGGERIS JANGKA PENDEK

Walaupun mungkin pusat bahasa yang bakal anda hadiri menggunakan kaedah-kaedah di atas, bukan bermaksud ia tidak boleh membantu pembelajaran anda.

Kelebihan paling ketara ialah 'kit pembelajaran' yang terdapat di sana. Kit pembelajaran yang dimaksudkan ialah guru/tutor bahasa anda serta peserta-peserta lain yang menghadirinya.

Semua peserta yang menghadiri kursus selalunya diminta untuk menggunakan bahasa Inggeris di sepanjang sesi berlangsung. Ini memberi peluang kepada anda untuk berlatih bertutur dalam bahasa tersebut.

Selain itu, tutor anda juga boleh membantu anda. Ambillah peluang yang ada untuk bertanya soalan atau meminta seberapa banyak tip yang anda mahu sebelum kursus berakhir. Lebih elok jika anda terus berhubung dengan tutor dan peserta-peserta lain walaupun kursus sudah berakhir kelak. Mereka boleh menjadi kit pembelajaran anda secara berterusan.

Sebagai contoh, saya pernah meminta bantuan tutor saya (ketika menghadiri kursus dahulu) untuk menyemak cerpen bahasa Inggeris yang saya tulis. Tutor berkenaan telah membantu saya tanpa sebarang bayaran.

Selain itu, saya juga menyediakan buku khas bagi mencatit jawapan-jawapan yang diberikan oleh tutor kepada setiap pertanyaan yang saya kemukakan sebagai rujukan masa hadapan.

Ini bermakna, keberkesanan kursus yang dihadiri tidak hanya bergantung kepada kaedah dan tenaga pengajar kursus berkenaan, tetapi juga diri kita!

TIP TAMBAHAN

Adalah baik dan amat membantu jika anda memilih pusat bahasa yang mewajibkan anda menduduki ujian terlebih dahulu. Melalui keputusan ujian tersebut, pusat bahasa yang berkenaan akan menentukan kumpulan/kelas anda.

Tanpa menduduki ujian, amat merugikan jika semua peserta ditempatkan di dalam kelas yang sama. Mungkin peserta A perlu mempelajari bahasa Inggeris dari peringkat paling asas manakala peserta B pula sudah pun mengetahui perkara-perkara yang asas. Jadi, amatlah tidak berbaloi jika peserta B terpaksa membayar ratusan ringgit bagi mempelajari perkara-perkara asas yang sudah pun dia ketahui.

Kursus bahasa Inggeris jangka pendek boleh bertindak sebagai kit pembelajaran anda. Jadi jika anda berkemampuan, anda bolehlah menghadirinya!

Syalina Ahmad



No comments: