Wednesday, September 29, 2010

:: Music & Chatting

Kita mempunyai minat dan hobi yang pelbagai. Ada yang suka membaca, menulis, melayari internet, berbasikal, berenang, menyanyi dan sebagainya.

Pada kebiasaannya, bukan semua orang menyukai hobi yang kita suka. Sebagai contoh, orang yang suka berbasikal mungkin tidak suka menyanyi, atau orang yang suka membaca belum tentu suka menulis.

Pun begitu terdapat beberapa hobi yang disukai oleh semua orang. Dua contoh ialah - WE LOVE SONGS/MUSIC and WE LOVE TO CHAT!

(a) MENDENGAR LAGU (SONGS/MUSIC)

Tidak kira dari bangsa mana pun kita, atau dari negara mana, kita mendengar lagu atau muzik. Yang berbeza hanyalah genre atau jenis lagu yang kita dengar, alat muzik yang kita mainkan dan sebagainya.

Semua peringkat umur mendengar lagu/muzik. Bayi dalam kandungan dilagukan dengan lagu-lagu tertentu, begitu juga kanak-kanak di tadika, sekolah rendah dan menengah, seterusnya golongan dewasa dan berusia.

Pada suatu ketika dahulu iaitu ketika saya baru hendak mempelajari bahasa Inggeris, saya sukar mendapatkan sumber lagu yang sesuai. Pada waktu itu, stesen radio berbahasa Inggeris tidak banyak seperti sekarang. Lagu-lagu yang dimainkan pula hanya lagu-lagu yang benar-benar popular sahaja. Bukan semua genre lagu dimainkan. Pun begitu pada hari ini kita beruntung kerana pelbagai genre lagu boleh diakses dengan mudah melalui radio, televisyen dan tentu sekali Internet.

Di dalam buku "English Bagus", diberikan tips lanjut bagaimana hendak menggunakan lagu sebagai kit pembelajaran bahasa Inggeris. Lagu adalah salah satu kit pembelajaran paling berkesan jika dipraktikkan dengan betul. Bahan-bahannya pun boleh diakses dengan mudah sekarang.

Banyak lagu Inggeris yang baik mesejnya, dari genre pop hinggalah ke rock. Lagu dakwah juga sudah banyak genrenya, dari yang hanya menggunakan perkusi dan gendang hinggalah ke hip hop. Ini memudahkan kita memilih lagu yang sesuai mengikut minat kita untuk dijadikan kit pembelajaran!

(b) WE LOVE TO CHAT!

Ya. Kita suka berbual dan bersembang. Walaupun kita dilabel sebagai 'pendiam', percayalah, sesiapa sahaja jika bertemu dengan teman berbual yang sesuai dan topik perbualan pula kena dengan minat dan 'jiwa'nya, pasti akan berbual rancak!

Salah satu teknik mudah dan menyeronokkan untuk berlatih berbual dalam bahasa Inggeris ialah mewujudkan 'kumpulan perbualan'. Anda boleh menamakan kumpulan perbualan itu apa sahaja, sebagai contoh 'Chat Circle', 'Circle of Chatting Buddies' dan lain-lain.

Konsepnya begini : Kumpulkan beberapa orang kenalan yang mahu memperbaiki bahasa Inggeris. Pada masa yang sama, cari seorang guru bahasa Inggeris atau kenalan yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik (saya namakan 'tutor' dalam artikel ini).

Sekali atau dua kali seminggu, adakan 'Chat Circle'. Jemput kenalan-kenalan anda itu (termasuk tutor yang dilantik). Pada setiap sesi, tentukan tajuk perbualan. Sebagai contoh, sesi hari Isnin - "Let's talk about our kids" ('mari berbual mengenai anak-anak kita') dan sesi hari Khamis - "Let's talk about what we did last week" ('mari berbual mengenai aktiviti yang kita lakukan minggu lepas').

Anda juga boleh menetapkan topik secara spontan. Perbualan kosong pun tidak mengapa asalkan setiap orang di dalam circle tersebut bercakap bahasa Inggeris! Mereka wajib bercakap bahasa Inggeris dan dibantu oleh tutor jika perlu.

(Konsepnya seperti 'usrah' cuma pengisiannya adalah perbualan dalam bahasa Inggeris mengikut topik tertentu atau sekadar perbualan kosong)

Jika anda terpaksa membayar tutor berkenaan, anda boleh menetapkan yuran yang bersesuaian. Yuran tersebut boleh digunakan untuk membayar tutor dan menyediakan minuman ringan untuk peserta circle.

Setiap sesi circle boleh berlangsung selama satu jam atau lebih. Pastikan bilangan pesertanya tidak terlalu ramai agar semua peserta berpeluang berbual dalam bahasa Inggeris. Bilangan peserta yang dicadangkan ialah kurang dari 6 orang.

Selamat mencuba!

Syalina Ahmad



No comments: