Monday, April 18, 2011

:: Bahan Pembelajaran & Kursus

Berikut ialah petikan e-mel saya kepada seorang bapa yang begitu prihatin mengenai pembelajaran bahasa Inggeris anaknya. Ia adalah cadangan bagaimana kita boleh berusaha menaikkan minat anak atau individu lain di bawah jagaan kita. Ada maklumat yang diedit atau ditambah mengikut kesesuaian penyiaran di blog ini.

(a) Kenal pasti mengapa anak tuan lemah bahasa Inggeris. Adakah kerana dia tidak meminati subjek bahasa Inggeris? Atau dia berasa subjek tersebut susah? Membosankan?

(b) Sekiranya anak tuan tidak mendengar lagu-lagu Inggeris, saya mencadangkan agar tuan memberi galakan kepada dia untuk mendengar lagu-lagu Inggeris. Oleh kerana lagu-lagu sekarang banyak liriknya yang kurang elok dan tidak sesuai untuk remaja, maka saya mencadangkan supaya tuan menapis dahulu. Jika mampu, tuan boleh membelikan CD yang sesuai mengikut genre muzik yang diminatinya. Atau dari Internet pun boleh.

(c) Mungkin tuan boleh membawa anak tuan ke pesta-pesta buku yang berdekatan, kerana di sana terdapat banyak syarikat penerbitan dan pusat bahasa yang membuat pameran. Pada kebiasaannya, mereka akan menyediakan staf yang boleh membantu. Tuan boleh bertanya soalan dan kemudian mengenal pasti bahan-bahan pembelajaran yang sesuai sebelum membelinya. Di pesta buku juga, tuan boleh mendapat banyak informasi di bawah satu bumbung.

Saya tidak pasti siapa atau daripada syarikat mana mereka datang. Tuan boleh mencuba. Pun begitu jika ia melibatkan pembelian produk mereka atau perlu mengeluarkan modal yang tinggi, mohon ambil masa untuk berfikir dan berbincang dengan anak tuan sebelum membeli. Adalah baik jika tuan membawa anak tuan bersama. Mungkin mereka mahu menguji dahulu dan sebagainya (saya tidak pasti kerana ia bergantung kepada prosedur mereka).

Pun begitu yang paling penting, anak tuan perlu berada di sana bagi memastikan dia menyukai format pengajaran/produk syarikat yang berkenaan. Kerana jika tuan terus membeli (jika melibatkan produk), mungkin dia tidak akan menggunakannya jika dia tidak berminat. Jika dia ada bersama dan dia menyukainya, mungkin tuan boleh meminta dia berjanji untuk belajar mengikut cadangan syarikat berkenaan.


Syalina Ahmad



No comments: