Sunday, October 24, 2010

:: Bengkel Pelajar di Bukit Mertajam - 13 Nov 2010

Tarikh :
13 November 2010 (Sabtu)

Tempat :
Sekolah Pendidikan Islam Alma Jaya
Bukit Mertajam

Masa :
9:00pg - 12:00tgh (Tahun 4, 5, 6)
2:00 ptg - 5:00 ptg (Tingkatan 1, 2, 3)

Yuran :
RM30.00 seorang
* Termasuk bahan-bahan bengkel.
* Yuran promosi untuk bengkel di BM sahaja.

TEMPAT TERHAD!

Hubungi eSakinah Studio (Penganjur)
013 - 488 6178 / 013 - 433 6178





Thursday, October 14, 2010

:: Bahasa Inggeris vs Bahasa Melayu

Oktober adalah "Bulan Bahasa Kebangsaan". Dapat dilihat bahawa semakin ramai yang bercakap mengenai bulan istimewa ini melalui komen-komen di blog, Facebook dan sebagainya. Mereka memberi komen-komen yang baik. Cuma mungkin segelintir kecil sahaja yang memperlekehkan usaha memartabatkan bahasa Melayu ini. Saya gembira.

Pun begitu ada sesuatu yang tidak sepatutnya dijadikan isu. Banyak juga artikel-artikel dan komen-komen yang saya baca membandingkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris.

Ada yang mempersoalkan sikap bangsa Melayu yang mengutamakan bahasa Inggeris, begitu juga yang lebih selesa mengajar bahasa Inggeris kepada anak-anak mereka. Malah, salah sebuah iklan di televisyen juga mengutarakan perkara yang sama. Iklan yang dilakonkan oleh Puan Julie Dahlan.

Pada saya, ia bukanlah satu isu yang besar. Sejak dari dahulu lagi saya melihat bahawa ramai daripada kalangan masyarakat kita prejudis terhadap bahasa Inggeris sedangkan bahasa Inggeris adalah bahasa kedua terpenting selepas bahasa Melayu. Sebagai contoh, mereka yang berbahasa Inggeris sering dipandang serong oleh pihak lain. Kita boleh nampak perkara ini berlaku dengan jelas apabila kita memasuki bulan Bahasa Kebangsaan.

Bahasa Jepun, German, Perancis, Cina, Hindi, Arab dan Filipina boleh ditutur tanpa pandangan serong oleh masyarakat. Tetapi berlainan dengan bahasa Inggeris. Malah masyarakat berasa kagum jika kita mampu bertutur dalam bahasa-bahasa tersebut, tetapi apabila kita mula bertutur dalam bahasa Inggeris, kita mungkin dilabel sebagai 'berlagak', 'menunjuk', 'mengada-ngada' atau 'pengkhianat bahasa' (percayalah, saya pernah mendengar bermacam-macam panggilan lagi).

Pada saya, ini adalah salah satu penyebab terbesar mengapa ramai daripada kita gagal menguasai bahasa Inggeris dengan baik. Apabila kita mula bercakap dalam bahasa Inggeris, masyarakat mula menyindir atau melabel kita dengan bermacam-macam nama dan panggilan. Ini mematikan semangat dan langkah kita.

Kita amat beruntung sebenarnya kerana di Malaysia, terdapat banyak kit pembelajaran bahasa Inggeris yang boleh diakses seawal alam tadika lagi. Tetapi sayang, sikap masyarakat telah mengaburinya sehingga menghalang potensi kita untuk berbahasa Inggeris dengan fasih.

Ingatlah bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa. It's just a language, not a religion. Sesiapa sahaja boleh mempelajarinya. Sesiapa sahaja boleh menggunakannya. Ia tidak salah, malah ia adalah ilmu pengetahuan yang boleh dituntut oleh sesiapa sahaja.

Tidak bolehkah kita nampak peranan besar bahasa Inggeris? Sebagai contoh untuk mencari ilmu dari buku-buku ilmiah berbahasa Inggeris, mengembangkan perniagaan ke peringkat global, malah untuk berdakwah.

Tidak salah menggunakan bahasa Inggeris asalkan bertempat dan sesuai pada majlis dan keadaannya. Dalam banyak situasi, bahasa Melayu lebih sesuai digunakan.

Sebagai pencinta bahasa Melayu yang memperjuangkan bahasa Melayu, marilah kita berusaha mengutamakan bahasa Melayu yang betul, bukan dialek negeri masing-masing. Mulalah mengeja setiap perkataan bahasa Melayu dengan betul dan belajar menggunakan 'Bahasa Melayu Tinggi'.

Syalina Ahmad



Wednesday, October 6, 2010

:: Toward ATAU Towards?

Beberapa hari lalu, saya membuat semakan ke atas lirik-lirik lama yang saya tulis. Dalam salah satu lirik saya menulis, "towards the light". Kemudian tiba-tiba saya berfikir semula, "towards ATAU toward"? Kerana saya tahu saya pernah mendengar orang menggunakan kedua-duanya.

Sebagai seorang individu yang masih belajar (bahasa Inggeris), adakalanya wujud perkara-perkara yang mengelirukan. Malah bagi perkara-perkara yang pernah/sering digunakan pun boleh mengelirukan jika sudah lama tidak dipraktikkan.

Salah satu contoh ialah penggunaan "toward" dan "towards". Ketika menggunakan perkataan "towards" dalam tahun 2003, saya yakin saya memilih perkataan tersebut kerana ia perkataan yang sesuai dan digunakan di tempat yang betul. Pun begitu seperti yang disebutkan di atas, adakalanya ia membawa kekeliruan apabila jarang digunakan.

FUNGSI ENJIN PENCARI (SEARCH ENGINE)

Enjin pencari adalah salah satu kit pembelajaran paling penting bagi saya. Dalam apa jua jenis penulisan bahasa Inggeris yang saya buat, saya akan merujuk kepada Internet dengan menggunakan enjin pencari.

Salah satu perkara penting yang ditekankan di dalam buku "English Bagus" ialah apabila kita mula berasa sangsi atau terkeliru dengan sesuatu perkataan atau ayat, kita WAJIB menyemaknya.

Sumber semakannya pula bergantung kepada setiap individu. Ada yang selesa bertanya kepada individu lain, ada yang selesa merujuk kamus dan sebagainya. Saya pula suka menggunakan enjin pencari kerana ia cepat dan menyeronokkan. Menyeronokkan kerana ia adalah cabaran bagi saya dan selalunya terdapat banyak perkara baharu yang saya perolehi di sepanjang proses tersebut.

Baik. Bagi memudahkan pemahaman mengenai kaedah menggunakan enjin pencari ini, saya akan ceritakan secara ringkas seperti di bawah bermula dari langkah 1, langkah 2 dan seterusnya.

Satu : Perlu mengetahui mana satu yang betul - TOWARD atau TOWARDS.

Dua : Pergi ke Google - http://www.google.com.

Tiga : Taipkan kata kunci - "toward or towards". Klik 'search'. Kata kunci lain yang boleh digunakan - "difference toward towards".

Empat : Buat semakan di beberapa laman web yang disenaraikan. Utamakan laman web pengajaran/pembelajaran bahasa Inggeris.

Lima : Mendapat jawapan di laman web pertama, sambil membaca artikel tersebut sehingga habis.

Enam : Kembali ke enjin pencari (tekan butang 'back' pada skrin).

Tujuh : Klik laman web seterusnya. Semak jawapan sekali lagi sambil membaca artikel tersebut sehingga habis. Jawapan/penerangannya sama seperti laman web pertama.

Lapan : Jika tidak berpuas hati dan masih perlu buat semakan, kembali ke enjin pencari (butang 'back'). Klik pada laman web ketiga.

Sembilan : Terus membuat semakan menggunakan proses yang sama sehingga berpuas hati dengan jawapan/penerangan yang diberikan.

Sepuluh : Jika kesemua laman web mengatakan perkara yang sama, maka ia adalah betul.

Sebelas : Jika terdapat percanggahan, rujuk kepada jawapan daripada laman web pengajaran/pembelajaran bahasa Inggeris sahaja.

=> Selepas saya melakukan carian/semakan di enjin pencari seperti di atas, saya mendapat jawapannya. Di antara kelebihan paling ketara jika menggunakan enjin pencari ialah :

(a) Belajar perkara baharu dan mendapat info lain ketika membaca artikel-artikel tersebut sehingga habis.

(b) Dapat mengenal pasti laman web-laman web yang sesuai dan berguna untuk rujukan masa hadapan (catatkan alamat laman webnya atau masukkan ke dalam folder 'favorite').

(c) Memahirkan diri menggunakan Internet khususnya enjin pencari.

(d) Memahirkan beberapa teknik "English Bagus" sekali gus, contohnya bacaan, ejaan dan pemahaman.

Nota : Tidak salah merujuk kepada individu lain selain enjin pencari. Kedua-duanya ada pros & cons. Sebagai contoh, merujuk kepada individu manusia adalah interaktif berbanding komputer/Internet. Soalan demi soalan boleh diajukan kepada individu berkenaan sehingga anda faham. Yang penting ialah mencari individu yang tepat untuk dijadikan tempat rujukan.

Oh. Hampir terlupa. Berikut ialah jawapan kepada perbezaan "toward" dan "towards" :

Jawapan - Tiada Perbezaan :)

Menurut beberapa laman web yang saya rujuk, "toward" selalunya digunakan dalam American English manakala "towards" pula selalunya digunakan dalam British English.

Menurut salah satu penerangan juga, "toward/towards" adalah "preposition" (kata sendi nama). Ia bukan "noun" (kata nama). Jadi dengan menambah huruf "s" kepada perkataan "toward" tidak menjadikannya "plural".*

* Inilah yang dimaksudkan dengan info tambahan yang boleh kita dapat melalui artikel-artikel di Internet.

Nota : Jadi, kita boleh menggunakan "toward" dan "towards" kerana kedua-duanya adalah betul. Pun begitu memandangkan di Malaysia kita banyak menggunakan ejaan British, maka sebaiknya kita membiasakan anak-anak dengan ejaan/penggunaan "towards" agar mereka tidak keliru (khususnya anak-anak di tadika dan sekolah rendah).

Lagipun, kita perlu mengambil kira pihak yang akan menyemak kertas jawapan peperiksaan anak-anak nanti. Sebagai jalan selamat, biasakan anak-anak menggunakan ejaan British kerana bukan semua pendidik tahu akan persamaan/perbezaan ejaan American/British.

Sebagai contoh penggunaan "toward" dan "towards" ini. Apabila anak-anak/pelajar sudah faham dan mahir menggunakannya di tempat yang betul, bolehlah kita menerangkan kepada mereka pula tentang persamaan "toward" dan "towards" sebagai info tambahan.

Selamat mencuba!

Syalina Ahmad

***************************

Beberapa rujukan yang saya gunakan untuk mencari info mengenai "toward" dan "towards" :

http://www.differencebetween.net/language/difference-between-towards-and-toward/

http://www.englishrules.com/writing/2005/toward-or-towards/

http://thestar.com.my/lifestyle/story.asp?sec=lifefocus&file=/2010/9/30/lifefocus/7112308

http://grammar.quickanddirtytips.com/toward-versus-towards.aspx



Wednesday, September 29, 2010

:: Music & Chatting

Kita mempunyai minat dan hobi yang pelbagai. Ada yang suka membaca, menulis, melayari internet, berbasikal, berenang, menyanyi dan sebagainya.

Pada kebiasaannya, bukan semua orang menyukai hobi yang kita suka. Sebagai contoh, orang yang suka berbasikal mungkin tidak suka menyanyi, atau orang yang suka membaca belum tentu suka menulis.

Pun begitu terdapat beberapa hobi yang disukai oleh semua orang. Dua contoh ialah - WE LOVE SONGS/MUSIC and WE LOVE TO CHAT!

(a) MENDENGAR LAGU (SONGS/MUSIC)

Tidak kira dari bangsa mana pun kita, atau dari negara mana, kita mendengar lagu atau muzik. Yang berbeza hanyalah genre atau jenis lagu yang kita dengar, alat muzik yang kita mainkan dan sebagainya.

Semua peringkat umur mendengar lagu/muzik. Bayi dalam kandungan dilagukan dengan lagu-lagu tertentu, begitu juga kanak-kanak di tadika, sekolah rendah dan menengah, seterusnya golongan dewasa dan berusia.

Pada suatu ketika dahulu iaitu ketika saya baru hendak mempelajari bahasa Inggeris, saya sukar mendapatkan sumber lagu yang sesuai. Pada waktu itu, stesen radio berbahasa Inggeris tidak banyak seperti sekarang. Lagu-lagu yang dimainkan pula hanya lagu-lagu yang benar-benar popular sahaja. Bukan semua genre lagu dimainkan. Pun begitu pada hari ini kita beruntung kerana pelbagai genre lagu boleh diakses dengan mudah melalui radio, televisyen dan tentu sekali Internet.

Di dalam buku "English Bagus", diberikan tips lanjut bagaimana hendak menggunakan lagu sebagai kit pembelajaran bahasa Inggeris. Lagu adalah salah satu kit pembelajaran paling berkesan jika dipraktikkan dengan betul. Bahan-bahannya pun boleh diakses dengan mudah sekarang.

Banyak lagu Inggeris yang baik mesejnya, dari genre pop hinggalah ke rock. Lagu dakwah juga sudah banyak genrenya, dari yang hanya menggunakan perkusi dan gendang hinggalah ke hip hop. Ini memudahkan kita memilih lagu yang sesuai mengikut minat kita untuk dijadikan kit pembelajaran!

(b) WE LOVE TO CHAT!

Ya. Kita suka berbual dan bersembang. Walaupun kita dilabel sebagai 'pendiam', percayalah, sesiapa sahaja jika bertemu dengan teman berbual yang sesuai dan topik perbualan pula kena dengan minat dan 'jiwa'nya, pasti akan berbual rancak!

Salah satu teknik mudah dan menyeronokkan untuk berlatih berbual dalam bahasa Inggeris ialah mewujudkan 'kumpulan perbualan'. Anda boleh menamakan kumpulan perbualan itu apa sahaja, sebagai contoh 'Chat Circle', 'Circle of Chatting Buddies' dan lain-lain.

Konsepnya begini : Kumpulkan beberapa orang kenalan yang mahu memperbaiki bahasa Inggeris. Pada masa yang sama, cari seorang guru bahasa Inggeris atau kenalan yang boleh berbahasa Inggeris dengan baik (saya namakan 'tutor' dalam artikel ini).

Sekali atau dua kali seminggu, adakan 'Chat Circle'. Jemput kenalan-kenalan anda itu (termasuk tutor yang dilantik). Pada setiap sesi, tentukan tajuk perbualan. Sebagai contoh, sesi hari Isnin - "Let's talk about our kids" ('mari berbual mengenai anak-anak kita') dan sesi hari Khamis - "Let's talk about what we did last week" ('mari berbual mengenai aktiviti yang kita lakukan minggu lepas').

Anda juga boleh menetapkan topik secara spontan. Perbualan kosong pun tidak mengapa asalkan setiap orang di dalam circle tersebut bercakap bahasa Inggeris! Mereka wajib bercakap bahasa Inggeris dan dibantu oleh tutor jika perlu.

(Konsepnya seperti 'usrah' cuma pengisiannya adalah perbualan dalam bahasa Inggeris mengikut topik tertentu atau sekadar perbualan kosong)

Jika anda terpaksa membayar tutor berkenaan, anda boleh menetapkan yuran yang bersesuaian. Yuran tersebut boleh digunakan untuk membayar tutor dan menyediakan minuman ringan untuk peserta circle.

Setiap sesi circle boleh berlangsung selama satu jam atau lebih. Pastikan bilangan pesertanya tidak terlalu ramai agar semua peserta berpeluang berbual dalam bahasa Inggeris. Bilangan peserta yang dicadangkan ialah kurang dari 6 orang.

Selamat mencuba!

Syalina Ahmad



Wednesday, September 22, 2010

:: Sudah Terbit - Buku "English Bagus!"





JUDUL:
"ENGLISH BAGUS! : Teknik-teknik Mempelajari Bahasa Inggeris Dengan Cara Mudah, Murah & Berkesan"


PENERBIT:
Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd


HARGA:
RM14.80 (Semenanjung Malaysia)
RM17.80 (Sabah & Sarawak)


"BAHASA INGGERIS UNTUK SEMUA!"

Inilah slogan yang ingin disampaikan oleh Syalina dan Yusmadi, penulis bersama English Bagus! Mereka ingin menyatakan kepada anda semua bahawa – ANDA BOLEH!

Anda boleh menguasai bahasa Inggeris menggunakan teknik-teknik mudah yang disampaikan oleh mereka dengan menggunakan sumber yang berada di sekeliling anda. Anda boleh menghayati lagu atau mendengar radio dan berbual dengan penyampai radio; melayari internet untuk bahan-bahan bacaan serta rujukan dan menulis blog; serta menonton televisyen dan melakonkan semula watak penyampai asal dalam bahasa Inggeris. Ketahui juga bagaimana bahasa Inggeris basahan di peringkat awal boleh membantu pembelajaran. Sama ada melalui lagu, bahan bacaan, penulisan, perbualan atau lakonan – Semua teknik di dalam buku ini adalah mudah, murah dan berkesan!

Ketika baru hendak mempelajari bahasa Inggeris dahulu, Syalina mendapati bahawa buku-buku yang dijual di pasaran adalah dalam bahasa Inggeris. Ia amat menyukarkan proses pembelajaran. Justeru, buku English Bagus! ditulis dalam bahasa Melayu agar pembaca dapat memahaminya dengan pantas dan bersemangat untuk meneruskan perjuangan menguasai bahasa Inggeris.
Dengan teknik-teknik yang boleh dipraktikkan oleh semua, termasuk teknik-teknik untuk pendidik, tidak mustahil bahasa Inggeris dapat dikuasai oleh sesiapa sahaja – TERMASUK ANDA!

Bagi pembelian melalui penulis, mohon layari :
http://belibacabuku.blogspot.com/2010/09/english-bagus.html







Wednesday, September 8, 2010

:: Latihan Bahasa Inggeris




Saya kerap menggunakan buku "Easy English" ketika mengendalikan kelas tuisyen. Setiap pelajar dibekalkan senaskhah buku ini. Mereka akan menjawab soalan-soalan secara individu, kemudian membincangkannya bersama-sama.

Buku ini adalah buku panduan/latihan grammar yang amat mudah bahasanya. Setiap bab memberi fokus kepada sesuatu topik/subjek sahaja. Sebagai contoh countable dan uncountable nouns, lebih 50 soalan disediakan. Ini bermakna, pelajar boleh berlatih mengenal countable dan uncountable nouns. Sebaik sahaja mereka selesai menjawab semua soalan, selalunya mereka sudah pun mahir menentukan yang mana satu countable noun dan yang mana satu uncountable noun.

* Noun = Kata nama
* Countable noun = Kata nama boleh dibilang.
* Uncountable noun = Kata nama tidak boleh dibilang.


Buku ini bukan sahaja untuk pelajar. Saya turut menggunakannya untuk menguji diri, selain mempelajari perkara-perkara baharu. Guru-guru, ibu bapa dan mana-mana individu dewasa juga boleh menggunakannya.

Ia berharga RM7.00, terbitan Alaf 21. Sekiranya anda sukar mendapatkan buku ini dari kedai, anda boleh menghubungi Alaf 21 di nombor telefon 03-51013839 atau 019-6135162 (Alaf 21).

Syalina Ahmad




Wednesday, September 1, 2010

:: Adakah Kursus Bahasa Inggeris Membantu?

Kursus bahasa Inggeris jangka pendek sering dianjurkan oleh pusat-pusat bahasa. Ia kerap diiklankan di media cetak, tidak kurang juga melalui risalah yang dihantar ke rumah-rumah. Ada kursus yang berlangsung selama beberapa bulan, beberapa minggu mahu pun beberapa hari.

Persoalannya, sejauh manakah kursus seperti ini dapat membantu pembelajaran bahasa Inggeris?

Ia bergantung kepada beberapa keadaan. Saya pernah menghadiri kursus selama 3 bulan ketika berada dalam Tingkatan 5. Katanya sahaja '3 bulan', tetapi diadakan cuma dua kali seminggu, kurang dari dua jam setiap sesi. Jadi ia bukanlah 3 bulan penuh.

Pada kebiasaannya, peserta kursus diminta menghafal skrip atau ayat-ayat tertentu, sebagai contoh apakah ayat-ayat yang sesuai digunakan di restoran, di pawagam atau ketika membeli barang. Selain itu, peserta juga akan diberi tip berkaitan grammar.

Mungkin peserta dikenakan bayaran yang tinggi sehingga mencecah ratusan ringgit. Ia mungkin berbaloi, mungkin tidak. Bagaimana jika anda mendapatkan maklumat lanjut daripada pusat bahasa berkenaan sebelum mendaftar?

Bertanyalah bagaimana kursus tersebut akan dijalankan dan apakah kaedah yang mereka gunakan. Ini adalah kerana jika anda hanya akan disuruh menghafal ayat, anda boleh mempelajarinya sendiri tanpa menghadiri mana-mana kursus pun.

Pada hari ini, terdapat banyak buku dalam pasaran yang mengajar bahasa Inggeris menggunakan kaedah hafalan ini, begitu juga buku-buku mengajar grammar. Jadi perkara-perkara yang diajar di pusat bahasa boleh anda pelajari melalui buku-buku tersebut. Bayangkan jumlah wang yang boleh anda jimatkan!

KELEBIHAN KURSUS BAHASA INGGERIS JANGKA PENDEK

Walaupun mungkin pusat bahasa yang bakal anda hadiri menggunakan kaedah-kaedah di atas, bukan bermaksud ia tidak boleh membantu pembelajaran anda.

Kelebihan paling ketara ialah 'kit pembelajaran' yang terdapat di sana. Kit pembelajaran yang dimaksudkan ialah guru/tutor bahasa anda serta peserta-peserta lain yang menghadirinya.

Semua peserta yang menghadiri kursus selalunya diminta untuk menggunakan bahasa Inggeris di sepanjang sesi berlangsung. Ini memberi peluang kepada anda untuk berlatih bertutur dalam bahasa tersebut.

Selain itu, tutor anda juga boleh membantu anda. Ambillah peluang yang ada untuk bertanya soalan atau meminta seberapa banyak tip yang anda mahu sebelum kursus berakhir. Lebih elok jika anda terus berhubung dengan tutor dan peserta-peserta lain walaupun kursus sudah berakhir kelak. Mereka boleh menjadi kit pembelajaran anda secara berterusan.

Sebagai contoh, saya pernah meminta bantuan tutor saya (ketika menghadiri kursus dahulu) untuk menyemak cerpen bahasa Inggeris yang saya tulis. Tutor berkenaan telah membantu saya tanpa sebarang bayaran.

Selain itu, saya juga menyediakan buku khas bagi mencatit jawapan-jawapan yang diberikan oleh tutor kepada setiap pertanyaan yang saya kemukakan sebagai rujukan masa hadapan.

Ini bermakna, keberkesanan kursus yang dihadiri tidak hanya bergantung kepada kaedah dan tenaga pengajar kursus berkenaan, tetapi juga diri kita!

TIP TAMBAHAN

Adalah baik dan amat membantu jika anda memilih pusat bahasa yang mewajibkan anda menduduki ujian terlebih dahulu. Melalui keputusan ujian tersebut, pusat bahasa yang berkenaan akan menentukan kumpulan/kelas anda.

Tanpa menduduki ujian, amat merugikan jika semua peserta ditempatkan di dalam kelas yang sama. Mungkin peserta A perlu mempelajari bahasa Inggeris dari peringkat paling asas manakala peserta B pula sudah pun mengetahui perkara-perkara yang asas. Jadi, amatlah tidak berbaloi jika peserta B terpaksa membayar ratusan ringgit bagi mempelajari perkara-perkara asas yang sudah pun dia ketahui.

Kursus bahasa Inggeris jangka pendek boleh bertindak sebagai kit pembelajaran anda. Jadi jika anda berkemampuan, anda bolehlah menghadirinya!

Syalina Ahmad



Wednesday, August 25, 2010

:: Phonics (Fonetik)

Salah satu cara berkesan dan menyeronokkan untuk belajar membaca ialah melalui kaedah fonetik (phonics). Mungkin pada hari ini, lebih ramai pendidik yang menggunakan kaedah ini untuk mengajar kanak-kanak membaca. Bilangan ibu bapa yang mengetahui mengenai kaedah ini juga pasti lebih ramai berbanding dahulu.

Terdapat banyak kit pembelajaran di pasaran, baik dalam bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris. Bagi bahasa Melayu, adalah sukar bagi kita mendapatkannya dari internet. Pun begitu bagi bahasa Inggeris, kit pembelajaran kaedah ini boleh diakses secara percuma melalui internet. Bukan sahaja mudah didapati malah bahannya juga pelbagai, daripada yang berbentuk teks hinggalah ke audio dan video!

Anda boleh menggunakan enjin pencari untuk mencari laman web dan bahan yang sesuai. Cuma taipkan kata kunci "phonics", "phonics for kids" dan sebagainya.

Atau anda boleh terus melayari You Tube (http://www.youtube.com) dan mulakan carian video di sana. Anda boleh menggunakan kata kunci yang sama.

Terdapat banyak video pendidikan di You Tube. Anda boleh mencari video yang sesuai dan menontonnya bersama anak-anak!

Tip : Di You Tube bukan sahaja terdapat video pendidikan tetapi juga video-video lain yang mungkin kurang sesuai ditonton oleh anak-anak. Untuk itu, adalah baik setiap kali menggunakan You Tube, ibu bapa/pendidik menontonnya bersama anak-anak atau memantau mereka ketika mereka menggunakannya.

Di bawah adalah salah satu contoh video menarik untuk mempelajari kaedah phonics yang diambil dari You Tube. Jika video tidak dapat diakses di sini, anda boleh klik link berikut - http://www.youtube.com/watch?v=saF3-f0XWAY

Selamat mencuba!

Syalina Ahmad







Wednesday, August 18, 2010

:: Baca - Hafal - Tulis

MEMBACA, MENGHAFAL dan kemudian MENULIS semula apa yang dihafal itu di atas sekeping kertas (atau komputer) boleh membantu anda menguasai bahasa Inggeris. Ia boleh membantu dalam banyak perkara, antaranya:

(a) Memahirkan ejaan. Anda akan dapat menguasai ejaan bahasa Inggeris secara berperingkat-peringkat mengikut bahan bacaan yang dibaca.

(b) Melatih membina ayat. Apabila dihafal, dapat membantu anda menulis ayat yang sama pada masa hadapan tanpa perlu merujuk teks. Ayat-ayat tersebut boleh digunakan di dalam esei, artikel, puisi dan sebagainya mengikut kesesuaian.

(c) Melatih percakapan. Teknik ini juga boleh membiasakan lidah dan memberi keyakinan kepada anda untuk bercakap dalam bahasa Inggeris kelak. Sambil menulis, sebutkan setiap perkataan yang ditulis secara lisan.

Bagi proses yang lebih menyeronokkan, anda boleh menghafal sesuatu yang anda gemari. Sebagai contoh, anda boleh menghafal lirik lagu, petikan ayat dari artikel kegemaran anda atau petikan kata-kata dan ucapan individu/tokoh yang memberi inspirasi kepada anda (quotations), tidak kiralah sama ada tokoh seni, akademik, politik dan sebagainya.

Selamat mencuba!

Syalina Ahmad


Wednesday, August 11, 2010

:: Pendekatan Melalui Lagu & Puisi

Terlebih dahulu, kami mengambil kesempatan ini mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK kepada semua pengunjung blog English Bagus yang beragama Islam.


Lagu kanak-kanak atau nursery rhymes adalah salah satu pendekatan paling menarik untuk membiasakan kanak-kanak dengan bahasa Inggeris. Melalui lagu-lagu tersebut, kanak-kanak dapat mempelajari perkataan-perkataan dan perkara-perkara baharu.

Sebagai contoh, lagu "Old McDonald Had a Farm". Selain mempelajari nama-nama haiwan dalam bahasa Inggeris, mereka juga dapat mengetahui bagaimanakah bunyi haiwan-haiwan berkenaan (Cat = 'Meow', Cow = 'Moo', Bird = "Chirp" dan sebagainya).

Lagu "Hickory Dickory Dock" pula mengajar mereka nombor dan mengira, selain mengajar mereka arah "atas" dan "bawah". Contoh lirik adalah seperti berikut :

Hickory, dickory, dock,
The mouse ran up the clock.
The clock struck one,
The mouse ran down,
Hickory, dickory, dock


*Lagu "Hickory Dickory Dock" boleh bermula dari "one" hingga "ten". Lirik lengkap boleh didapati dari internet dengan menaip kata kunci "hickory dickory dock" di enjin pencari. Mungkin anda akan menemui pelbagai versi lirik. Anda boleh memilih lirik mana yang sesuai.

Selain daripada nursery rhymes, anda juga boleh menulis lirik atau puisi sendiri. Puisi ringkas amat mudah ditulis, apatah lagi di internet terdapat rhyming dictionary bagi memudahkan anda mencari perkataan-perkataan yang sesuai. Sebagai contoh :

Perkataan "Bee" - Rhyming word yang mungkin sesuai ialah "we", "see", "three" atau "free".

Perkataan "Zoo" - Rhyming word yang mungkin sesuai ialah "moo", "do", "who" atau "true".

Berikut ialah puisi ringkas yang saya tulis dan amat sesuai dibaca bersama kanak-kanak :

A.. B.. C.. D.. E.. F.. G..
YOU, I, HE, SHE, ME AND WE
H.. I.. J.. K.. L.. M.. N..
READ OUT LOUD AS FAST AS YOU CAN
O.. P.. Q.. R.. S.. T.. U
MEOW, QUACK, MEOW, QUACK, WOOF, WOOF, MOO
V.. W.. X.. Y.. AND *Z...
NOW EVERYBODY LET'S SING WITH ME!


*Huruf "Z" dalam puisi ini dibaca sebagai "Zee"

Dengan bantuan rhyming dictionary, anda juga boleh menulis puisi anda sendiri.

Selamat mencuba!

Syalina Ahmad