Tuesday, November 3, 2009

:: BM vs BI

Ada seorang sahabat bertanya kepada saya tidak lama dahulu, sesuaikah bengkel Bahasa Inggeris dikendalikan di dalam Bahasa Melayu? Jawapan saya, "Sangat sangat sesuai!"

Di dalam sesi tuisyen Bahasa Inggeris yang dikendalikan pun, saya banyak menggunakan Bahasa Melayu berbanding Bahasa Inggeris.

Ketika saya hendak menulis e-book "English Bagus" beberapa tahun lalu, jenuh juga saya mengimbau kembali perjalanan dan pengalaman di sepanjang proses mempelajari Bahasa Inggeris. Oleh kerana proses tersebut bermula seawal umur 8 tahun lagi, maka banyak yang perlu dikenang kembali.

Salah satu perkara yang paling saya ingat ialah rasa bosan setiap kali menghadiri kelas Bahasa Inggeris di sekolah. Saya tidak membenci guru yang mengajar, tetapi kerana tidak memahami apa yang diajar.

Bayangkan, sebagai seorang pelajar yang langsung tidak memahami Bahasa Inggeris, bagaimana dapat saya memberi fokus di dalam kelas? Saya lekas mengantuk ketika guru mengajar, fikiran saya melayang dan adakalanya saya menyiapkan kerja rumah ketika guru mengajar di hadapan!

Teknik-teknik utama yang saya sampaikan melalui Bengkel English Bagus adalah berdasarkan pengalaman yang saya lalui. Untuk itu, saya mengambil keputusan untuk mengendalikan setiap bengkel dan sesi tuisyen di dalam dwi-bahasa di mana Bahasa Melayu diberikan keutamaan.

Adakah ini merugikan peserta/pelajar?

Tidak sama sekali.

Apabila ia dikendalikan di dalam Bahasa Melayu, saya mendapat jaminan bahawa mereka memahami setiap perkataan dan penerangan yang diberikan.

Di dalam sesi tuisyen yang saya kendalikan, setiap sesi akan bermula dengan perbualan, wajib di dalam Bahasa Inggeris. Perbualan ini biasanya dibantu, sebagai contoh, saya akan bertanya kepada setiap pelajar soalan yang sama dan mereka perlu menjawabnya seorang demi seorang.

Dengan cara ini, akan berlaku pengulangan dialog di mana pelajar akan dapat mengingatinya dengan lebih baik kerana dialog yang sama diulang beberapa kali.

CONTOH :

Soalan :

What did you have for lunch?

Jawapan Pusingan Pertama :

I ate [Pelajar sebutkan apa yang dimakan].

Jawapan Pusingan Kedua :

I had [Pelajar sebutkan apa yang dimakan] for lunch today.

Semasa sesi ini berlangsung, sebutan yang salah akan dibetulkan pada waktu itu juga. Pelajar juga dapat melihat bahawa seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris juga mempunyai banyak alternatif perkataan, ayat dan jawapan yang boleh digunakan di dalam perbualan mahu pun penulisan.

Dengan alternatif yang ada, pelajar boleh memilih salah satu yang bersesuaian ketika berbual atau menulis. Jika belum berkeyakinan atau berasa malu, bolehlah menggunakan ayat-ayat ringkas. Dengan latihan yang kerap, pelajar akan dapat menggunakan ayat-ayat yang lebih sukar di masa hadapan.

Selamat mencuba!

Syalina Ahmad